PTSD

Namaku Zalina. Cerita yang bakal aku kongsikan berlaku semasa aku masih di alam pekerjaan, selaku pegawai perubatan siswazah (house officer) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Aku memasuki posting kelima di jabatan pembedahan. Itu merupakan posting kedua terakhir aku sebelum bergelar medical officer (MO).

Aku dilahirkan di Sungai Petani, iaitu satu bandar yang terletak lebih kurang 40 minit daripada Alor Setar. Sememangnya, seorang house officer ini jarang-jarang dapat cuti. Cuti yang aku mohon ini pun sudah ku kumpul sejak aku memulakan kerjaya aku sebagai doktor lagi, daripada posting pertama.

Cuti selama 5 hari aku manfaatkan bersama suamiku di rumah ayah dan ibuku. Bukan mudah nak dapat cuti. Bukan mudah nak meluangkan masa dengan ibu bapa dan orang tersayang apabila ditakdirkan dengan karier sebagai seorang doktor ini.

Semua ibu bapa nakkan anak berjaya, menjadi seseorang yang berbakti kepada masyarakat. Tetapi itulah hakikatnya, masa-masa hidupku sebagai seorang doktor banyak dihabiskan dengan pengajian dan pesakit. Aku kadangkala takut juga apabila memikirkan usia kedua-dua ibu dan ayahku yang semakin meningkat.

“Ina, you okay tak? Kenapa termenung sahaja tu?”, kata suamiku, Hanif. Aku perasan juga dia perhati aku daripada tadi, yang termenung di balkoni luar saat memikirkan tentang kehidupanku yang banyak berbakti kepada pesakit sahaja.

“Takde apa abang, jom kita masuk, I buatkan you kopi”, kataku sambil menarik lembut tangannya ke dalam.

Memang aku rasa aku lah manusia paling bertuah saat bertemu dengan Hanif. Dia bukanlah bekerja di sektor kesihatan, dan memang sejak berkenalan dengan dia sebelum aku dijadikan isterinya yang sah, aku kadangkala risau.

Risau akan keadaanya yang tidak memahami pekerjaan dan karier sebagai seorang doktor. Aku lihat ramai rakan-rakanku bercerai-berai saat berkahwin dengan orang yang tidak bekerja di sektor kesihatan. Akan selalu terjadi risiko pertelingkahan di antara pasangan masing masing.

Mereka yang jadi doktor, jadi jururawat, jadi MA, selalu akan dilabelkan sebagai seseorang yang gila kerja. Obses dengan pekerjaan. Obses dengan pesakit sehingga mengabaikan tanggung jawab keluarga. Tuduhan-tuduhan liar sedemikianlah yang menghancurkan rumahtangga seseorang.

Tetapi, Hanif lain. Hanif seorang yang sangat memahami. Dia menyayangi aku sepenuh hati. Diri aku. Bukannya pangkat aku sebagai seorang doktor. Dia sanggup bekorban dan bersedia melakukan apa sahaja untukku.

Saat aku terpaksa batalkan pelan makan malam bersama, saat aku memaksanya menunggu aku di dalam kereta saat dia ingin menjemput aku pulang. Hampir kesemua saat itu berlaku disebabkan pekerjaan. Disebabkan pesakit. Disebabkan perkara yang tidak diduga.

Pesakit tiba-tiba nak collapse. Tiba-tiba nak sakit. Rakan sekerja yang tiba-tiba cuti sakit. Itulah antara perkara yang tidak diduga. Tetapi Hanif menerima seadanya.Hanif lebih daripada memahami apa yang aku harus lalui. Cabaran-cabaran dan pancaroba sebagai seorang yang bergelar doktor.

Hari itu merupakan hari terakhir aku cuti. Esok, aku bakal masuk kerja seawal 6.30 pagi, dan aku bakal menempuhi lagi liku-liku sepanjang pekerjaan aku menjadi seorang doktor. 6 bulan lagi, aku akan menamatkan latihan. Menjadi medical officer (MO) selepas itu.

Walaupun bebanan kerja mungkin semakin berkurang, namun tanggungjawab lebih besar. Sikit sahaja lagi. Sikit sahaja masa lagi, dan selepas itu, akan ku tumpukan perhatian sepenuh hati terhadap suamiku, dan keluargaku.

Jam 5.30 pagi aku bertolak. Suamiku pula menetap di Sungai Petani kerana pejabatnya, tempat dia bekerja terletak di situ. Aku memandu berseorangan pagi itu.

Kereta aku dilengkapi dengan fungsi auto cruise. Aku menetapkan kepada kelajuan maksimum di lebuhraya yang menghubungkan antara Sungai Petani dan Alor Setar itu, selaju 110 kilometer per jam.
Lampu keretaku yang bewarna putih cukup membantu diriku yang sedikit rabun jauh sepanjang perjalanan di lebuhraya tanpa lampu jalan itu. Gelap gelita. Bukan semua tempat, tetapi sebahagian sahaja. Aku tidak hairan, dan tidak pelik. Itu bukan kali pertama aku memandu seawal pagi. Dah berpuluh-puluh kali sehinggakan setiap lerengan, alunan jalan dan selekoh telah aku hafal.

Bunyi alunan muzik daripada radio menyerikan suasana. Tiba di satu selekoh, sekilas mata aku memandang, ternampak akan satu objek di tengah-tengah lebuhraya itu. Aku memulas stering, membelok ke kiri, mengelak serta menekan brek dengan kuat. Tindakan refleks bagi mengelak objek yang berbentuk kotak itu.

Saat keretaku mula menggelongsor ke kiri jalan menuju ke longkang, aku memulas pula ke kanan. Aku tak tahu mengapa. Tidak sempat aku fikir. Semuanya refleks.

Bunyi brek serta geseran getah tayar dengan jalan raya sempat ditangkap oleh telingaku. Saat itu aku terasa badanku melayang. Daya gravity (G force) ke kanan, kiri, atas dan bawah menuruti satu sama lain, berselang seli. Aku lihat dunia jadi terbalik, dan kemudian betul dan kemudian terbalik semula.
Aku sedar kereta aku berguling. Bumbung kereta di bawah, tayar kereta mendongak ke langit.

“Bam!”, bunyi yang sangat kuat menyebabkan aku hilang kesedaran selama beberapa saat. Aku cuba membuka mata. Ku lihat, segalanya terbalik. Tali pinggang keledar memegang aku erat ke tempat duduk pemandu.

Secepat mana keadaan berlaku, secepat itulah keadaan itu berakhir. Senyap dan sepi. Sunyi. Ku rasakan darah panas mengalir menitik-nitik di tudungku. Sakit dan pedih kepalaku.

Aku cuba membuka tali pinggang keledar. Tangan kiriku terasa begitu sakit. Dalam kegelapan subuh itu, ku lihat cahaya lampu dan bunyi enjin yang sangat kuat menghampiri aku dengan pantas.
Aku kaget. Ku pegang stereng kereta kuat-kuat. Sudahlah kaki ku berada di atas, kepalaku di bawah. Aku bersedia. 2…3 saat. Aku menutup mata,

“Bamm!”satu lagi bunyi dentuman kedengaran. Kurasakan keretaku terhenjak dengan kuat. Tetapi tidaklah sekuat pelanggaran pertama. Sedikit sahaja. Daripada cermin tempat dudukku yang berderai, ku lihat pintu keretanya terbuka. Seorang lelaki berjalan ke arahku.

Dia ibarat tercari-cari. Hairan dan pelik. Serta ingin tahu juga keadaan keretanya dan keretaku saat pelanggaran kedua berlaku. Ku lihat juga, kereta Proton Wira miliknya sedikit kemik dan lampu kanannya pecah. Tiba-tiba hatiku berasa tak sedap. Otak aku ibarat mendesak, memaksa aku keluar segera daripada kenderaan. Ku tekan picu yang memegang tali pinggang keledarku.

Tingkap yang pecah memudahkan aku meloloskan diri, keluar. Ku lihat lelaki yang melanggar keretaku tercengang. Tercengang melihat kot putihku yang dipenuhi darah. Darah merah. Aku merangkak perlahan, cuba sedaya upaya ke tepi lebuhraya. Dia yang tadinya terpaku, mula bergerak ke arahku.

“Bom!”, satu bunyi yang memekakkan telinga dengan tiba-tiba. Aku perhati, aku perhati dengan mata kepala aku sendiri. Lelaki yang tadinya berjalan ke arahku tercampak. 3 meter dia melambung sebelum jatuh berdebuk di sisi keretaku.

Aku bingung. Saat itu baru aku sedari, kereta ketiga telah merempuh lelaki tersebut sebelum berlanggar dengan keretaku yang terbalik.

“Ya Allah!”, deruan adrenalin memaksa diriku untuk berdiri. Berlari ke tepi. Pandangan yang mengerikan apabila kulihat lelaki itu tidak bergerak. Terbaring kaku.

Aku ingin menolong. Tetapi aku sendiri pun rasa susah nak bergerak. Susah. Kakiku lembik. Badanku lemah longlai. Ku usap dahiku. Pedih. Darah mengalir pantas.

“Tolong… aduh, Ya Allah, sakitnya”, ku dengar pemandu kenderaan yang ketiga itu meminta bantuan. Ku lihat air mukanya yang menahan sakit. Berkerut-kerut dahinya. Aku cuba menghampirinya. Tetapi kakiku ibarat kejung. Kaku.

Aku dapat rasakan dunia berpusing-pusing. Mataku berpinar-pinar. Masih aku ingat, bunyi dentuman demi dentuman selepas itu. Aku tidak boleh lihat sepenuhnya. Kurasakan mataku semakin gelap. Ibarat ada kegelapan yang memenuhi pandangan mataku. Semakin lama semakin gelap. Telinga ku berdesing.
Bunyi siren ambulan yang semakin lama semakin kuat membuatkan aku tersedar. Ku buka mataku perlahan-lahan. Memang aku masih dapat merasai darah panas yang keluar daripada bahagian atas kepalaku. Tudungku tadinya yang bewarna cerah, kini bewarna merah kehitaman.

Aku lihat sekeliling, “Masha Allah”, terpacul daripada mulutku.

Saat matahari mula memancar menerangi kegelapan mendedahkan segalanya. Aku kira, satu per satu kereta yang terlibat dalam kemalangan. Ada yang remuk, ada yang terbalik. Bau hangit getah tayar yang terbakar memenuhi ruang udara. Serpihan kaca dan plastik memenuhi ruangan, ibarat medan petempuran. Minyak, air radiator dan pelbagai cecair membanjiri jalan tersebut. Cecair yang sebelum ini memenuhi ruangan enjin dan sistem kereta.

Ada juga mangsa yang terperangkap dalam kenderaan, meronta-ronta kesakitan meminta tolong. Beberapa buah ambulans, bomba dan kereta polis peronda telahpun tiba. Kon-kon merah diletakkan bagi memeberi laluan kenderaan lain di lebuhraya. Sekurang-kurangnya, dapat mengalirkan kesesakan jalan yang semakin teruk, lantaran pemanduan perlahan dan sifat ingin tahu manusia daripada kedua-dua belah arah yang menerukkan lagi keadaan.

Segera aku duduk perlahan-lahan. Seorang lelaki beruniform putih pantas menghampiriku. Aku kenal uniform itu, dia adalah seorang medical assistant (MA). Dipapahnya aku ke ambulans kerana keengganan aku untuk diletakkan di atas stretcher.

Bukan aku sombong mahupun larat, cuma aku rasa lebih baik mereka letakkan lelaki yang dilanggar secara head-on tadi. Terus aku tunjukkan MA mangsa tersebut. DIa lebih memerlukan. Mereka berlari bersama pemandu ambulans sambil menyorong stretcher ke arah mangsa yang aku kira paling teruk dikalangan mangsa-mangsa lain.

Fikiran aku, sekurang-kurangnya mangsa lain berada di dalam kenderaan saat kemalangan berlaku, tetapi dia tidak. Dia sedang berdiri di luar keretanya saat dirempuh kereta yang ketiga.
Selesai meletakkan pesakit di atas stretcher, segera mereka menyorongnya masuk ke ambulans yang terbuka luas. MA itu memberitahu aku untuk menuruti mereka sekali.
“Jom doktor!, jom kita pergi hospital!”, katanya

Dalam hatiku terfikir juga. Mungkin pengalaman cetek aku dalam bidang perubatan boleh membantu mangsa tersebut. Aku segera masuk kedalam ambulans. MA yang aku kira berusia awal 20-an itu memberi aku gauze. Aku letakkan dan beri sedikit tekanan bagi menghentikan pendarahan di kulit kepalaku.

Selepas itu aku memberi tumpuan sepenuhnya kepada mangsa. MA tersebut telahpun meletakkan topeng oksigen di muka mangsa, saat dia perhatikan bahawa kandungan oksigen dalam badan mangsa yang tertera di skrin kurang daripada 92%.

Aku masih lagi sedikit bingung dan memaksa diri aku dan otak aku untuk berfikir. Segera kuberikan perhatian kepada pesakit, yang masih tidak sedar. Kulihat bibirnya yang bewarna kebiru-biruan, cyanosis, konsisten dengan kandungan oksigen dalam badannya yang rendah. Ku lihat alunan dadanya yang tidak simetri saat dia bernafas.

“Ni mesti pneumothorax!” jeritku kepada MA. Dia mengangguk, bersetuju. Aku mengarahkan MA tersebut mengeluarkan jarum brannula yang paling rendah gaugenya, bermaksud jarum yang paling besar.

Needle decompression. Aku ingat-ingat lupa bagaimana nak melakukan prosedur tersebut, ditambah pula dengan kesakitan kepala aku yang berdenyut-denyut, semakin lama semakin kuat. Lagipun berapa kerap sangatlah pesakit memerlukan needle decompression di wad. Hampir tiada. Ku periksa landmark, tempat untuk mencucuk jarum tersebut. AKu fikir, pesakit tak sedar, tak perlu ubat bius, lagipun keadaan amat mendesak.

Aku cucuk dengan tekanan yang cukup, cukup untuk memberi jarum besar itu menembusi kulit pesakit terus ke arah pleuranya, iaitu ruang yang terletak di antara tulang rusuk dan paru-paru.
Dalam kes pneumothorax, aku jangkakan angin yang menghimpit, menghalang pengembangan paru-paru akan keluar melalui jarum yang aku cucuk. Apabila angin itu keluar, barulah paru-paru dapat mengembang sepenuhnya. Tetapi jangkaan aku meleset.

Yang keluar bukannya angin, tetapi darah. MA tadi yang baru sahaja memasang jarum di tangan pesakit turut melihat perkara itu dengan pandangan yang cuak. Ini bukan perkara biasa, ini sudah teruk!.

“Haemothorax”, kataku. Aku sambungkan jarum tersebut dengan tiub intravena, bagi mengeluarkan kesemua darah yang menghimpit paru-paru kiri mangsa. MA tersebut terus menggantungkan satu beg cecair yang mengandungi garam galian dipanggil normal saline disambungkan dengan jarum ditangan pesakit bagi menstabilkan tekanan darah mangsa. Tindakan refleksnya yang pantas mungkin mampu mengubah keadaan.

Aku terfikir, sama ada di dalam ambulans itu ada kelengkapan untuk memasukkan chest tube. Malangnya tiada. Saat itu, aku hanya mampu mengeluarkan darah di pleura pesakit perlahan-lahan, sambil menunggu ketibaan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah, tempat aku bekerja.

Terasa begitu jauh sekali perjalanan itu. Jam 6.15 pagi, ambulans yang dipandu laju tiba di perkarangan wad kecemasan. Ada sedikit kelewatan saat beberapa pemandu-pemandu yang memandu di lorong kecemasan menghalang ambulans daripada bergerak dengan lebih pantas ke hospital.

Tanpa membuang masa, pesakit di bawa ke zon merah. Zon kritikal. Aku ingin membantu, tetapi tidak dibenarkan, Dah cukup ramai doktor dan jururawat serta MA di situ, lagipun aku sendiri pun harus dirawat juga.

Aku menerima 10 jahitan di kepala. Sambil-sambil kepalaku dijahit, sempat juga aku mencuri-curi untuk melihat keadaan pesakit tadi di zon sebelah. Berhempas pulas aku lihat staf di sana. Doktor berlari ke sana sini, arahan demi arahan dikeluarkan. Mereka mencuba dengan usaha yang terbaik, usaha yang bersungguh-sunggub menyelamatkan pemuda itu.

Malang. Jam 7.00 pagi, pesakit menghembuskan nafasnya yang terakhir, dan diisytiharkan meninggal dunia…

Wad kecemasan masih dibanjiri pesakit yang terlibat dalam kemalangan tadi. 10 pesakit jumlahnya, termasuk aku. Patah kaki, patah tangan, abrasion wound, laceration wound dan patah tulang rusuk, itulah antara kecederaan yang mereka alami. Dalam keadaan hiruk-piruk sedemikian, sempat juga aku menghubungi suamiku, Hanif.

“Abang, saya terlibat dalam kemalangan”, kataku saat dia menjawab panggilan.

“Inalillah. Sayang okay tak? Ada kecederaan apa-apa?”, katanya. Suaranya bercakap dalam nada yang resah gelisah”.

“Ina okay abang. Tapi kereta total lost”, kataku.

Aku dah tahu benar perangai suamiku mengenai betapa dia tekankan penjagaan kereta. Calar sikit digilapnya secepat mungkin. Bengkok sedikit, segera dia hantarkan ke mekanik. Sayang dengan keretanya, dan juga keretaku. Aku teringat dia mempunyai satu buku nota kecil, di situ tertulis segala-galanya tentang kereta aku dan dia. Mileage, service terakhir, roadtax, tarikh tamat tempoh pemanduan dan lain-lain. Ala lelaki, kau tahulah saja.

“Tak, abang tak kisah pasal semua tu, yang penting awak… Abang ke tempat sayang secepat mungkin”, katanya. Aku menunggunya di wad kecemasan.

Hanif tiba di hospital sejam kemudian. Dia memeluk erat-erat tubuhku saat betemu di situ. Ku rasakan betapa leganya dia. Betapa tuhan memakbulkan doanya untuk aku. Doa untuk aku selamat. Aku tidak apa-apa. Selamat tanpa kecederaan yang kekal.

Seterusnya aku harus ke balai polis trafik, membuat laporan, menceritakan apakah yang berlaku sehingga menjadi punca penglibatan 6 buah lagi kenderaan dalam kemalangan tersebut.

Laju, gelap dan tidak sempat mengelak.Itulah punca bagaimana satu per satu kenderaan terlibat dengan kemalangan tersebut. Ditambah pula dengan lokasinya yang berdekatan dengan selekoh, menjadi titik buta (blind spot) pemandu-pemandu lain.

Otak aku masih memproses lagi apa yang berlaku. Terlalu laju. Segalanya berlaku dengan pantas. Saat aku kesakitan, perasaan lega akibat masih lagi berpeluang untuk bernafas di bumi tuhan perlahan-lahan bertukar kepada perasaan cuak dan rasa bersalah..

Ditambah pula dengan pihak polis yang menuding jari kepada aku. Menyalahkan aku. Mengatakan akulah puncanya. Akulah sebabnya. Akulah sebabnya kemalangan dan menyebabkan kematian seorang mangsa.

“Kalau bukan pasal awak, tak jadi tau semua benda ni….saya tak tahu awak dapat lesen memandu di mana!”

Ayat seorang inspektor polis trafik tersebut menambah-nambah lagi rasa bersalah dalam diri aku. Saat itu Hanif perasan riak wajahku bertukar. Perhubungan kami selama 2 tahun sudah cukup untuk dia memahami isterinya ini. Apa yang sedang aku fikirkan, apa yang sedang aku rasakan dan lain-lain telah dapat dibaca olehnya.

Dipimpinnya aku keluar daripada balai polis. Aku mula tertanya-tanya, memikirkan ayat yang dikatakan kepadaku oleh inspektor polis itu. Akukah yang bersalah sepenuhnya? Akukah penyebab kematiannya? Tindakan refleks aku mengelak objekdi tengah lebuhraya itu salahkah? Salah sepenuhnya?

Aku meminta Hanif menghantar aku ke hospital semula daripada balai polis trafik. Dia hairan. Seboleh-bolehnya dia ingin membawa aku pulang. Aku pula seboleh-bolehnya ingin ke hospital semula. Aku tak beritahu sebabnya, Sebab mengapa aku ingin ke bilik mayat hospital tersebut. walaupun Hanif tahu apa tujuanku.

Hanif akhirnya akur dengan paksaan dan desakan aku. Dipandunya perlahan ke tempat meletakkan kenderaan yang terletak di belakang hospital. Aku keluar daripada kereta. Hanif menuruti aku daripada belakang.

Aku berjalan ke arah bilik mayat hospital itu. Dalam hatiku cuma satu. Aku nak minta maaf kepada waris pesakit sekiranya mereka berada di situ.. Aku nak minta maaf atas kecuaian aku memandu, atas segalanya yang menyebabkan kematian seorang manusia kalau-kalau dia ada.

Ku lihat seorang wanita berumur 30-an bersama anak kecil di pintu masuk bilik berkenaan. Matanya bengkak. Merah. Dapat kulihat kesan air mata yang telah mengering di pipinya. Anaknya berusia 3 tahun itu tertanya-tanya.

Kenapa ibu menangis? Di mana ayah? Mengapa kita ke sini? Untuk apa? Ibunya memeluknya dengan rapi. Erat. SI kecil termangu-mangu, tak tahu apa-apa.

Budak kecil, apalah yang mereka tahu. Mereka tidak mampu memproses maklumat serumit itu. Ayahnya yang telah ke alam barzakh. Masa depannya yang bakal dipenuhi pancaroba dan liku-liku kehidupan saat membesar tanpa ayah. Tanpa ketua keluarga. Segalanya bakal ditanggung oleh ibunya, yang kini bergelar ibu tunggal.

Ku lihat seorang MO keluar daripada pintu bilik tersebut, membawa borang di tangannya sambil bercakap-cakap dengannya. Habis sahaja ayat itu, si ibu yang tadinya berdiri, tiba-tiba jadi lemah longlai. Dapatkudengari si ibu menangis semula. Semakin kuat. Teresak-esak. Di sisinya, anak perempuannya yang masih bingung. Hairan.

Aku cuba melangkah ke arah mereka berdua. Aku ingin meminta maaf. Ini semua sebab aku. Akulah puncanya. Akulah yang menyebabkan segalanya. Akulah yang membunuh bapa mereka. Aku ingin memohon keampunan.

Langkah ku dapat kurasakan semakin berat, ibarat kaki aku ditambat oleh satu kuasa yang amat kuat. Ibarat ada sauh yang mengikat kedua-dua kakiku. Lebih kurang beberapa meter daripada mereka, langkahku terhenti. Kaku. Kaget. Pergerakkanku ibarat beku. Perasaan bersalah, berbaur dengan rasa simpati, sedih dan hairan mengapakah aku yang diuji sebegini mula bermukim di hatiku.

Perasaan yang akhirnya menyebabkan segala fizikal, pergerakan aku terhenti. Aku terdiam, tergamam. Lidah aku kelu. Tekak aku ibarat kering dengan tiba-tiba. Pahit. Saat itu kurasakan tangan kanan Hanif memegang bahuku.

“Sudah sayang, sudah. Benda dah terjadi. Baik kita jangan hampiri mereka, sekejap lagi semakin teruk pula keadaanya”, bisik suamiku, seakan-akan boleh membaca pemikiran aku yang telah buntu ini.

Dipegangnya tanganku dengan lembut, menarik aku kembali ke kereta. Aku menuruti tanpa membantah. Kurasakan segalanya kosong.

Sekembalinya aku dalam kereta, tiba-tiba sahaja kurasakan perkara ini terlalu berat untuk dipikul. Untuk ditanggung oleh insan bergelar Zalina ini. Air mata mula berjuraian membasahi pipi. Aku mula menangis, melepaskan segalanya yang terbuku di hati. Walaupun perkara ini baru sahaja berlaku beberapa jam yang lepas, kurasakan perkara ini memenuhi segenap ruang pemikiranku seolah-olah terbuku selama puluhan tahun. Kulepaskan segalanya dalam tangisan, dalam rintihan.

Andai tuhan dapat berbicara, akan kulontarkan soalan demi soalan ini. Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain? Adakah ini rahmat? Atau sebagai ujian? Atau ini dugaan? Apakah salahku? Tak cukupkan kau menguji aku dengan cabaran sebagai seorang doktor? Aku mula mempersoalkan segalanya, seolah-olah menyalahkan takdir. Menyalahkan tuhan mengapa aku yang harus tanggung segalanya.

Aku menangis teresak-esak.Hanif hanya mampu memandangku. Pandangan yang simpati. Kasihan. Pandangan yang dia sendiri tahu, tidak dapat menolong aku. Tidak dapat mengundurkan masa. Ku lihat juga, matanya mula berkaca saat dia menggenggam erat tangan kananku.

“Ina… sayang sabar ya”, itu sahaja yang termampu dia ucapkan. Suaranya yang tersekat-sekat jelas menunjukkan bahawa dia juga bersedih.

“Apa-apa yang berlaku sekalipun, abang akan sentiasa ada bersama. Abang janji. Apa-apa hal mari kita balik rumah kita, jumpa ayah dan ibu?”katanya.

Kemudian dia menyambung, “kalau sayang dah bersedia, kita gerak ke Sungai Petani terus. Abang takkan mula memandu selagi sayang tidak bersedia. Abang ada di sini. Sayang kuat, tabah. Kita tempuhi cabaran ini bersama”

Tak kira badai ombak melanda. Tak kira taufan mendatang. Tak kira kilat sabung-menyabung. Tak kira apa sekalipun, Aku tahu Hanif akan sentiasa berada di sisiku. Aku mengenali sikapnya, yang bukan hanya sekadar berkata-kata untuk nak menyedapkan hatiku. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Aku tahu dia sanggup menggadaikan nyawanya untukku. Sanggup bekorban apa saja demi isterinya ini…

Aku mengangguk saat dia bertanya sekali lagi untuk pulang ke rumah, atau kemana-mana sekalipun. Dia turuti. Hanif memandu perlahan. Pulang semula melalui lebuhraya yang sama. Lebuhraya yang berlakunya tragedi. Lebuhraya yang umpama disumpah atas namaku. Lebuhraya yang sial.

Aku didakap kedua-dua ibu bapaku. Berjuraian air mata kasih ibu. Aku tahu, ibu risau. Aku tahu, ibu tak henti-henti berdoa untuk ku. Ku tenung wajah ayah. Wajah tua yang sedikit cengkung, penuh dengan 1001 perasaaan. Penuh dengan rasa kesyukuran taktala memandang anaknya yang masih bernafas, masih boleh berjalan seperti insan normal.

Ayah yang tadinya berdiri diam, menghampiri aku dan ibu yang sedang berpelukan. Dia mendepakan kedua-dua tangan seluas-luasnya. Mendakap ibu dan aku. 2 perempuan yang seolah-olah dunia baginya. Perempuan yang disayanginya, yang membuatkan dia terus kuat untuk hidup.

Aku menuruti mereka masuk ke ruang tamu. Ibu dah pun membancuh air kopi dan pisang goreng kegemaranku. Istimewa. Hanya ibu sahaja yang mampu membuatnya. Tiada yang lain-lain. Tiada yang serupa. Segera aku makan air tangan ibu itu. Terasa betapa laparnya aku. Betapa terbebannya otakku ini yang daripada pagi membakar sekalian kalori dalam tubuhku.

Hanif menyuruh aku ke bilik tidur. Berehat. Terlalu banyak perkara yang telah aku lalui daripada pagi tadi. Otak aku perlukan masa untuk berehat. Perlukan masa untuk meredakan saat pancaran demi pancaran disekalian saraf-saraf otakku mengingatkan aku kembali kemalangan itu. Ku pejam mata di bantal empuk itu.

Kegelapan malam bermula apabila sang mentari membenamkan diri. Tuhan menarik sinaran-sinaran mentari yang menyinari dan menggantikannya dengan jutaan bintang-bintang yang memenuhi ruang angkasa. Cantik. Tambahan pula, keadaan bulan yang penuh, memberi sedikit pencahayaan malam yang gelap itu.

Ku lihat di sekelilingku. Aman dan damai. Kurasakan ada sesuatu yang tak kena. Tiba-tiba bunyi deruman enjin seakan-akan semakin kuat. Bunyi lejang-lejang yang menghimpit udara dan menyebabkan letupan itu semakin nyata. Semakin dekat. Aku menoleh.

Terlihat dua lampu kenderaan meluncur laju ke arahku. Aku terkaget, terdiam. Deruan adrenalin memaku kaki di lantai. Aku tidak boleh bergerak. Semakin lama semakin hampir. Tiba-tiba, bunyi seretan tayar kedengaran. Ibarat ABS (antilocking brake system) gagal sepenuhnya. Tayar terkunci menyebabkan kenderaan gagal terkawal. Bunyi yang memekikkan telingaku. Aku menjerit

“Ya Allah, tolong!!”

Aku terduduk. Tersedar daripada alam mimpi. Badanku bermandi peluh. Nafasku tercungap-cungap. Hanif memegang tanganku.

“Sayang okay?”, jawabnya, yang sedikit mamai. Dia pun sudah tidur daripada tadi. Dipegangnya bahuku. Ditepuk-tepuk perlahan. Aku mengangguk.

Dia pun nampak mukaku yang pucat lesi, ibarat tiada darah. Ibarat baru nampak hantu. Segala yang aku nampak seperti perkara yang nyata. Seperti berlaku di dunia. Bukan mimpi. Realistik.

Aku mula merebahkan diri semula saat aku menyedari yang berlaku seketika tadi hanyalah mainan tidur. Aku juga merasakan badanku terlalu letih. Ku letakkan kembali kepalaku ke bantal. Angin sejuk daripada penghawa dingin memudahkan aku untuk terlena.

Tak semena-mena, bayangan seorang lelaki muncul di depanku, berdiri tegak di hadapan katilku. Ku lihat wajahnya. Aku kenal. Dialah lelaki yang meninggal pagi tadi. Matanya terpaku melihat aku. Aku jadi cuak. Takut yang amat. Kulihat mulutnya yang berkumat-kamit. Semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin dapat ku dengar apa yang dia katakan.

“Semuanya kau punya pasal!!”, dia menengking.

Sekali lagi aku terjaga. Kali ini lebih teruk daripada tadi. Aku dapat rasakan degupan jantungku begitu pantas. Bagai nak pecah dadaku. Memang bermula daripada hari itu, segalanya berubah. Aku jadi terlalu takut. Takut akan perkara yang tidak masuk akal.

Aku takut nak masuk kereta. Aku takut apabila ternampak kenderaan melintas di hadapanku, dan yang paling teruk, aku takut nak tidur. Sudah 1 minggu keadaan aku sebegitu. Aku tahu, aku mesti dah kena Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD). Tapi aku tak mahu mengaku. Aku berlakon di hadapan Hanif, kononnya semuanya tiada masalah.

Ibu bapaku menyarankan Hanif membawaku berjumpa bomoh. Berjumpa ustaz. Aku bukan tak mahu, tetapi sebab aku tahu penyebabnya. Aku dapat medical certificate (MC) selama seminggu, dan MC aku hampir tamat. Esok aku bakal bekerja semula. Hanif memerhati sahaja perbuatanku, dia tahu aku tidak boleh. Dia tahu aku masih lagi tidak sihat.

Secara fizikalnya, aku nampak okay. Jahitan di kulit kepalaku pun dah mula pulih. Hanya terdapat pengumpulan darah beku di situ sahaja. Tiada masalah. Namun secara mental, memang ternyata sudah koyak.

Aku tak boleh tidur. 2 – 3 jam sahaja yang mampu aku tidur semalaman. Pasti bayangan arwah menerpa aku, pasti aku akan terlihat lampu-lampu kenderaan menderu laju ke arahku. Aku takut. Lebih menerukkan lagi, aku tak boleh masuk ke dalam kereta.

Serta-merta jantungku laju. Flashback atau bayangan kejadian itu berulang-ulang. Aku jadi mudah tersentak. Apabila ada sahaja bunyi yang kuat, aku akan terkejut, dan terkejutnya aku itu lebih daripada orang lain. Aku mula mengasingkan diri daripada orang ramai. Itu semua aku fikir kesan daripada penyakit ini, bergabung dengan kesan daripada tak cukup tidur.

Akhirnya tiba saat aku bakal memulakan tugas semula. Hanif ingin menghantar aku. Sudah seminggu aku tak keluar menaiki kenderaan. Terlalu takut. Dah cuba, namun tidak berjaya. Subuh itu, Hanif sudahpun berada di tempat duduk pemandu. Aku masuk dan duduk di sebelahnya.

Tak semena-mena aku termuntah-muntah. Aku jadi terlalu takut. Aku trauma sangat-sangat. Segera aku keluar daripada kereta saat aku ternampak cahaya lampu kereta yang menderu, entah dari mana walaupun di dunia nyata, cahaya itu tidak wujud.

“Sayang, that’s it, jangan degil dah. Jom kita jumpa psychiatrist”, kata Hanif dengan nada tegas. Ini kerana aku degil. Dah berkali-kali diajak, tak mahu. Aku takut, lagipun bukannya ada pakar psychiatrist berdekatan dengan tempat tinggalku. Segera dia bawa aku berjumpa dengan seorang doktor di klinik yang terletak lebih kurang 200 meter daripada rumahku. Klinik swasta.

Setelah diperiksa doktor, dan menceritakan segalanya, doktor itu memberi aku ubat penenang. Cuma 3 biji sahaja dia beri. Aku faham sebab ubat ini sering disalahgunakan, dan boleh menyebabkan ketagihan tak terkawal. Aku sebenarnya tidak faham, apa gunanya Hanif membawa aku ke klinik ini?

“Cuma 3 biji sahaja, itu pun boleh bertahan 2 hari paling lama pun, then what?”, kataku menyoal Hanif.

“Takpe, lepas awak makan ubat tu, awak dah tenang sikit, saya bawa awak jumpa psychiatrist”, kata
Hanif. Aku hairan juga, bagaimana dia boleh mengetahui apa yang perlu dibuat sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit seperti ini. Tanpa sempat aku menyoal, terus dia berkata

“Awak ni dah kena PTDS ni”, katanya dengan begitu yakin.

“Maksud abang PTSD?”, kataku. Saat itu aku tersenyum juga melihat gelagatnya yang cuba mengingati huruf demi huruf.

“Ya, ya, PTSD. Abang dah periksa kat internet. Abang pun ada tanya kawan-kawan abang yang kerja hospital, sampaikan Hospital Sultanah Bahiyah tu pun abang dah call, dapatkan tarikh. Sepatutnya lusa, tapi kata jururawat di situ, boleh bawa terus sekiranya keadaan memaksa. Jadi, abang rasa keadaan pun dah memaksa ni. Jadi, awak makan ubat tu dulu, lepas tu kita pergi”, kata Hanif.

Kemudian dia menyambung, “Abang perasan Ina asyik terkejut, terjaga tengah malam. Bukan abang tak tahu, tetapi abang cuma tak tahu apa yang harus abang lakukan untuk membantu. Itulah sebabnya abang buat semua ini”.

Kata-katanya menyebabkan aku lebih menyayangi dia. Common sense dan usaha nak rawat aku dah pun dia laksanakan di belakangku. Aku tak tahu nak kata apa dengan dia, aku mula bersedih lagi, seolah-olah apa yang aku alami, walaupun aku cuba berahsia dengan Hanif, dia suamiku. Dia tahu segala-galanya.

Terasa diriku ini bodoh dan melakukan perkara yang tidak masuk akal. Buat apa aku nak berahsia? Aku tak mahu jadi anjing di dalam peribahasa anjing tersepit, kerana saat itu aku betul-betul memerlukan pertolongan. Mungkin kerana aku tak mahu Hanif terbeban. Dia dengan tanggungjawabnya, pekerjaannya, ibu dan ayahnya, aku tak mahu menambah lagi bebanannya. Namun, aku tahu, dia suamiku. Apa-apa, dia adalah syurgaku, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aku, dan aku juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dia.

“Terima kasih abang”, kataku. Terus aku makan sebiji pil bewarna merah jambu itu. Tak sampai 10 minit, aku rasa kesan ketenangannya. Aku tahu, kesan itu tidak bertahan lama. Ubat itu pun aku tahu, memang digunakan untuk short-term effect sahaja. Paling lama pun 6 jam.

Taktala aku dah bertenang, segera aku masuk ke dalam kereta dan memanggil Hanif pula.

“Jom abang, jom kita gi jumpa psychiatrist”, kataku yang tiba tiba agak bersemangat. Maklumlah, itu hanyalah neurotransmitter dan bahan kimia di dalam otakku yang berkata-kata. Yang menambah semangat dan yang menyebabkan aku tak gentar. Cumanya aku tahu kesannya sementara sahaja. Hanif tersenyum sambil menghela nafasnya dalam-dalam, nafas kelegaan.

Sepanjang perjalanan aku tidur. Lena. Itulah tidur yang paling nikmat aku rasakan sejak daripada tragedi yang berlaku, seminggu lalu. Sampai sahaja, pantas sahaja jururawat mengarahkan aku berjumpa terus dengan seorang pakar psikiatri, Dr Lidya. Jururawat tersebut telahpun sedia maklum saat Hanif menelefon sendiri mereka. Lagipun, cerita mengenai kejadian ini tersebar di akhbar dan berita sewaktu itu, jadi aku tak hairan kalau mereka sudah pun kenal siapa aku.

Dr Lidya masih muda, namun pengalaman dan kelulusannya menjadikan dia seorang pakar seawal itu. Aku berjumpa dengannya bersama Hanif. Kuceritakan segalanya kepada doktor. Senyum sahaja Dr Lidya mendengar penceritaan aku.

Mimpi buruk, flashback, gejala-gejala fizikal seperti berdebar-debar, berpeluh-peluh dan tercungap-cungap tanpa sebab. Apabila aku terbangkit daripada tidur, aku rasakan ibarat nak mati. Ibarat takut yang amat. Degupan jantung aku yang terlalu laju membuatkan aku risau, risau kalau tiba-tiba jantungku berhenti. Aku ceritakan segalanya tanpa hijab. Tanpa menyembunyikan apa-apa.

Persoalan untuk mendiagnos keadaan aku ini menjadi semakin mudah apabila aku menceritakan, ini semua berlaku selepas daripada tragedi itu. Sebelum itu aku sihat walafiat. Ternyata sahih lagi benar, sudah terang lagi bersuluh, kejadian itulah yang menyebabkan segalanya. Bagaikan rantaian satu kejadian ke satu kejadian sehingga kini.

Ternyata tanggapan suamiku dan diriku benar. PTSD. Itulah diagnosis yang diberikan. Doktor Lidya memberi aku 2 jenis ubat-ubatan. Satu jika perlu, dan satu lagi harus aku makan setiap hari. Ubat yang ‘jika perlu’ itu sama dengan ubat yang diberikan oleh doktor di klinik swasta.

Ubat tersebut juga perlu aku makan memandangkan aku harus pulang ke Sungai Petani. Sewaktu itu, aku tidak berani duduk di kuarters berseorangan. Terlalu takut. Sekurang-kurangnya, ada Hanif di sisi boleh menemani aku. Namun Hanif perlu bekerja, dan pejabatnya di sana. Mahu tak mahu, memang aku harus pulang.

Dr Lidya menyambung MC aku seminggu lagi, dan tarikh akhir MC tersebut aku pula berjumpa dengannya untuk rawatan susulan.

Tiba di rumah, waktu itu sudah petang, terus aku makan satu jenis ubat lagi. Namun, hari pertama tiada kesan lagi. Memang Dr Lidya pun dah pesan, ubat ini mungkin mengambil masa 5-7 hari untuk mula menunjukkan kesan. Terjaga juga aku berkali-kali malam demi malam. Namun tidak mengapa, aku ada ubat “jika perlu” itu.

Ubat “jika perlu” itu ada 10 biji. Bolehlah aku mengambilnya sekiranya aku terdesak. Hari-hari berikutnya sama sahaja. Flashback mula berkurangan. Mimpi buruk juga semakin jarang. Aku mula sedikit demi sedikit memaksa diriku untuk masuk ke dalam kereta di tempat penumpang. Dan berjaya, namun aku masih lagi mempunyai masalah untuk memandu kereta aku.

Selepas 2-3 minggu aku cuti, akibat keadaan mental aku yang menekan ini, akhirnya Dr Lidya menghubungi aku. Dia kata dia nak ke rumah aku. Aku pelik juga pada asalnya. Yalah, Alor Setar dengan Sungai Petani bukannya dekat. Sejam setengah kemudian dia tiba.

Ibuku menghidangkan air kopi panas kepadanya. Selepas memperkenalkan dirinya dan bersembang dengan ibuku, Dr Lidya menjamu selera juga. Habis menjamu selera, terus dia mengajak aku keluar. Tanpa sempat aku nak berkata apa-apa, segera dia duduk di tempat penumpang keretanya. Mahu atau tidak, aku duduk di tempat pemandu.

Dia menyuruh aku memandu ke satu mall terdekat. Aku merasakan diri aku tak boleh, namun di hadapan Dr Lidya, aku cuba sedaya upaya aku. Mungkin atas dasar hormatkan dia sebagai seorang pakar dan malu, kerana aku hanyalah seorang houseman. Aku mengundurkan kenderaan, membelok keluar memandu keretanya daripada perkarangan rumahku.

Tiba-tiba aku jadi cuak semula. Pucat tak semena-mena. Jantungku berdegup pantas. Dr Lidya yang memerhati aku terus memegang bahuku.

“Bertenang, awak boleh”, katanya sambil tersenyum.

Aku masih tak boleh lagi. Aku rasa sedikit susah untuk memandu. Takut tiba-tiba tanpa punca. Aku mula rasa nak muntah. Nadas aku jadi laju.

“Tarik nafas dalam-dalam sambil kira sampai empat, tahan dan kira sampai empat, kemudian hembus sambil kira sampai empat dalam hati”, kata Dr Lidya mengajar aku breathing exercise.

Selepas beberapa kali mencuba, aku berjaya juga mengikuti teknik pernafasan yang diajarkan itu. Satu, dua, tiga sehingga sepuluh kali aku buat, aku jadi semakin yakin semula. Ketakutan aku walaupun masih ada, berkurangan daripada tadi. Aku mulai tenang. Setibanya di mall, Dr Lidya belanja aku di sebuah kafe yang terletak di luar mall tersebut.

“See? Awak pasti boleh Zalina. Awak kuat. Tengok, ni kita dah sampai ke sini. Jauh ni tau. Pencapaian dan progress yang bagus”kata Dr Lidya sambil mengacau kopi yang terhidang.

“Ya doktor, saya rasa agak okay sedikit, especially lepas breathing exercise tadi”, kataku.

“Ya, awak praktikkan selalu perkara itu. Sedikit demi sedikit, dengan bantuan ubat, sokongan suami awak, ibu dan ayah, serta saya, awak pasti boleh get through masalah ini”, katanya.

Semenjak hari itu, hari demi hari dia menemani aku. Memandu, semakin lama semakin jauh. Asalnya ke mall, tidak lama kemudian ke Alor Setar pula. Dr Lidya juga memohon kuarters untuk aku, supaya aku boleh bekerja semula, sebabnya kuarters itu dan hospital hanya walking distance sahaja.

Aku tak boleh bayangkan betapa banyaknya dan besarnya pengorbanan Dr Lidya. Dia seorang pakar. Namun, dia sanggup berbuat sedemikian untuk menyelamatkan karier aku. Untuk memberi pertolongan bagi diriku.

“Tidak apa Zalina, inilah tanggungjawab saya. Hari ini saya menolong awak, esok lusa apabila saya atau mungkin anak saya susah, mungkin giliran awak pula”, kata Dr Lidya apabila aku mula bertanya dan berterima kasih atas pertolongannya.

Setelah 2 bulan aku bercuti, akhirnya aku berjaya. Aku berjaya mengatasi penyakit PTSD ini. Walaupun aku masih lagi makan ubat setiap hari, namun dosnya semakin lama semakin berkurangan. Satu per empat sahaja daripada dos yang asal. Aku tiada masalah memandu kereta pulang ke kampung, kereta baru yang aku dapat semula saat syarikat insurans menggantikan kereta lamaku yang sudah total lost.

Memang tujuan asal Dr Lidya bukanlah untuk membuat aku terus melupakan tragedi itu, tetapi lebih kepada membuang elemen trauma dan stress apabila terigatkan perkara itu. Jadi, apabila aku teringat sekalipun, aku hanya sekadar teringat sahaja, tidak stress, tidak gelisah dan tidak takut.
Hari-hari selepas itu, apabila aku mula bekerja, badan pun memang penat. Alah, kerja jadi doktor, memang begitulah adatnya. Aku mudah tertidur malam kerana kepenatan. Asalnya aku memerlukan ubat tidur, namun kini tidak lagi. Apabila aku bekerja, mental aku perlu fokus untuk mengubati pesakit. Merawati pesakit.

Sedikit demi sedikit, lama kelamaan, genap 6 bulan selepas kejadian itu, aku tidak lagi memerlukan ubat-ubatan. Memang aku tak nafikan, kadangkala aku ada juga teringat dan terbayangkan tragedi itu, terbayangkan muka arwah, namun aku atasinya dengan teknik pernafasan yang diajarkan oleh Dr Lidya.
Walaupun kejadian ini menjadi titik hitam dalam riwayat hidupku, namun perkara ini juga seolah-olah memberitahu aku, bahawa aku perlu bersyukur, saat-saat sebegini, aku masih ada ibu bapa, dan suami yang memahami. Yang sabar melayan kerenah aku semasa aku sedang sakit. Betapa beruntungnya aku di dunia ini.

Kini, aku sudahpun berjaya menamatkan latihan aku sebagai pegawai perubatan siswazah dan bergelar pegawai perubatan (Medical Officer). Aku kongsikan pengalaman ini supaya pembaca semua boleh mendapat inspirasi bahawa walau bagaimana teruk sekalipun rintangan dan ujian yang melanda, Allah pasti akan memberikan penyelesaiannya. Daripada situ, kita akan dapat tahu siapa yang bersusah payah membantu sewaktu kita susah, dan siapa yang tidak memperdulikan kita langsung.

TAMAT…

Confession ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar sahabat saya, seorang doktor yang bekerja di jabatan pembedahan dahulu bersama saya. Beliau secara sukarela menceritakan kejadian yang berlaku sekitar tahun 2013, apabila beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan 7 buah kenderaan dan beberapa orang mangsa.

Nama beliau ditukar walaupun lokasi kejadian latar masa adalah berdasarkan kejadian yang berlaku. Beliau kini sudahpun bergelar seorang medical officer dan masih berkhidmat di hospital kerajaan.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *