Pujuk Hati dan Diri Untuk Kecapi Bahagia II

Terima kasih admin sudi siarkan confession saya. Terima kasih kalian yang sudi memberi respond, moga ada kebaikan untuk kita semua. Selepas confession saya, (https://iiumc.com/pujuk-hati-dan-diri-untuk-kecapi-bahagia/) tak plan pun nak confess lagi. Tapi mungkin sebab terkejut dengan respond tu, maka saya memilih untuk buat confession ini. Pada yang hendak berkenalan, saya hargai. Maaf sebab saya berkongsi kisah yang agak peribadi, saya lebih selesa untuk tidak dikenali.

Buat semua, yakin dan percaya kita mampu melalui apa juga rintangan dan halangan yang mendatang. Pencipta kita pasti lebih tahu yang terbaik untuk kita. Hargai dan sayangi diri kita, rajin-rajin pujuk diri dan hati. Bahagia dan gembira boleh kita cipta tanpa mengharap sesiapa. Hidup ini anugerah dan amanah yang perlu dijaga, di akhirat sana akan Allah tanya.

Renung sejenak, pasti kita pernah melalui masalah yang terasa besar dan mendukacitakan. Mungkin terdetik dihati kita tak mampu untuk ujian sehebat itu. Masa berlalu, ujian itu kini jadi kenangan. Itulah bukti kita mampu menghadapi apa juga rintangan.

Bila mak ayah Allah panggil pulang, itulah ujian yang aku rasa sungguh menyiksakan. Saat aku bertatih mengenal hidup, saat remaja yang mahu lebih perhatian dan bimbingan Allah uji aku dengan kehilangan. Kecewa dan bertanya kenapa aku? Saat diuji seringkali kita bersikap begitu.

Pujuklah hati dan diri segalanya penuh hikmah. Aku kehilangan ibu ayah, hilanglah antara doa mustajab untuk aku. Tapi, aku juga hilang peluang jadi anak derhaka. Tiada peluang membuat ibu ayah berkecil hati, dan sudah pasti tidak berpeluang juga buat mereka rasa tersisih.

Maaf pada agamawan, andai kisah ustaz yang hadir dalam kisah aku, memberi pandangan jelik.

Setiap ujian, adalah ujian kita bersama. Allah hadirkan ustaz tu, sebagai ujian untuk aku memahami watak dan perwatakan manusia. Tidak adil untuk kita menghakimi sesiapa. Kerana hakikatnya, kita seringkali punya watak berbeza.

Anak yang baik, mungkin bukan sahabat yang baik. Sahabat yang baik belum tentu jiran yang baik. Jiran yang baik mungkin bukan pekerja yang baik. Pekerja yang baik belum tentu pasangan yang baik. Demikianlah kita, tidak perlu menghakimi sesiapa. Siapa pun yang hadir dalam hidup kita, pasti ada sesuatu untuk kita belajar darinya. Kalau dia buat kita rasa sakit hati, maka kita sedang belajar untuk tidak buat orang lain sakit hati. Kalau orang buat kita rasa gembira, maka kita sedang belajar bagaimana untuk buat orang lain rasa gembira. Sebarkan kebahagiaan, rasa benci tidak perlu diteruskan.

Aku suka bermonolog, memujuk diri dan hati. Di alam nyata, di kalangan rakan dan kenalan aku orang yang periang boleh berkawan dengan siapa saja. Aku memilih untuk tidak punya bestfriend atau geng sekepala. Pada aku, hidup harus fleksibel. Ketawa dan gembira dengan siapa saja. Maka seringkali aku dikata, orang yang tiada masalah. Selalu menjadi tempat meluah, aku dengar saja. Pesan pada diri, Allah bagi peluang untuk aku muhasabah setiap kisah dan cerita. Menjadi orang yang amanah. Apa yang aku mampu, saling mengingatkan kita semua punya ujian berbeza. Yakinkan hati dengan ketentuanNya.

Ramai yang kata aku bertuah hidup sentiasa gembira. Aku senyum saja, dalam hati berdoa ya Allah izinkan aku bermunajat cukup pada Mu ku adukan setiap lelah. Pada air mata aku berpesan, jangan mengalir di hadapan ciptaan Tuhan. Mencurahlah saat menghadap tuhan. Lalu aku kerap dapat title keras hati, lantaran cerita dan situasi apa pun susah untuk aku mengalirkan air mata dihadapan manusia.

Aku hanya guru biasa, agak keras dan tegas dengan ibu bapa. Aku menolak alasan susah dan keperitan hidup. Pada aku untuk pendidikan harus ada pengorbanan. Ins.Allah dengan pendidikan mampu untuk mengubah kehidupan. Bila murid tak bayar yuran, bayarkan saja tanpa perlu war-warkan. Ada juga yang aku cuba follow up untuk dapat bayaran, sekadar mahu melihat kesungguhan ibu bapa. Kalau mereka bayar adalah rezeki anak didik ku. Kalau mereka tak bayar, maka peluang aku bersedekah.

Rezeki, walaupun aku hanya guru biasa. Bermesyuarat, taklimat, seminar di kementerian dan terlibat dengan pelbagai program pendidikan seluruh negara perkara biasa. Aku anggap peluang tambah ilmu dan pengalaman. Nampak macam hebat, ujiannya kenalah aku hadap ‘kicauan’ dan pertikaian rakan-rakan. Pujuk hati dan diri, tak semua perlu dilayan. Jalan terus. Jangan biarkan negativiti mengganggu langkah dan kerja.

Dapat pelbagai jawatan dan kerja perkara biasa. Rasa terbeban? Itu sudah pasti. Pujuk diri dan hati kalau kerja tu dapat kat orang yang tak bertanggungjawab, mesti banyak yang akan susah. Esok-esok Allah tanya nak jawab apa?

Aku agak lantang bersuara, aku pernah menegur ketirisan dalam pentadbiran. Sudahnya, aku menjadi pemerhati setia melihat rakan-rakan menerima pelbagai anugerah dan penghargaan. Ada yang baru sahaja berkhidmat. Aku? Pujuk diri dan hati. Kerja biar kerana Allah, bukankah Dia pemilik rezeki. Allah sedang uji keikhlasan hati. Mahu ucapan tahniah dari manusia atau rahmat dan berkat dari yang Esa. Raikan saja rakan-rakan, tidak perlu dipertikaikan masing-masing dengan ujian.

Soal jodoh, sesuatu yang aku tawakal. Perlu usaha? Ya sudah semestinya. Maka aku berusaha untuk menjadi yang baik moga dikurniakan yang baik juga. Andai ada yang rasa teruji, usahlah terlalu menanti mungkin saja ajal kita lebih dulu bertemu. Yakin dan percaya, andai tiada di dunia pasti ada di akhirat sana. Kita semua layak bahagia.

Hakikat kehidupan, kita semua punya kisah dan cerita. Ada yang perlu diluah, ada yang boleh dikongsi bersama ada banyak cukup kita dengan Allah. Sesibuk mana pun kita, setiap kita dapat 24 jam sehari. Berapa jam kita peruntukan bersama tuhan? Pujuk diri dan hati, jalan hidup kita telah tersusun indah. Panduan bahagia juga ada. Segalanya akan indah pada waktunya. Sabar sikit lagi.

Bukan masalah yang utama, tapi bagaimana cara kita melihat dan menanganinya. Setiap kali melihat orang tersenyum, dalam hati berdoa ya Allah sungguh kau sedang pinjamkan dia kekuatan. Maka pinjamkanlah juga aku kekuatan. Doa senjata dan hadiah terindah. Bahagia tidak perlu dicanang sini sana, masalah tidak perlu dikhabar seantero dunia.

Lagu layar keinsafan dendangan mestica sering menjadi lagu muhasabah diri. Maaf salah silap, rajin-rajin pujuk hati dan diri sabar sikit lagi. Hidup bukan untuk dunia yang ini. Kerana dunia, bukan tempat kita tinggal. Tapi tempat kita meninggal. Apa khabar iman?bagaimana persiapan ramadhan? Panjatkan doa penuh kehambaan agar kita layak masuk ke syurga idaman.

– Kenanga

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *