Assalamualaikum, pembaca-pembaca IIUMC. Aku H. Aku memilih untuk tulis di sini sebab aku tahu ramai pembaca yang prihatin dan boleh bagi nasihat yang terbaik.
Aku ada cerita pada kawan-kawan baik aku tapi lately, aku rasa serba salah nak bercerita dengan kawan-kawan. Mereka pun ada hidup sendiri dan sekarang kami semua tengah serabut dengan macam-macam tugasan. Selain daripada buntu nak cerita pada siapa, aku juga stres sebab banyak memendam perasaan. Btw, aku minta maaf kalau panjang sangat cerita aku. Aku tak tahu nak susun cerita macam mana.
Aku anak sulung dalam keluarga. Jadi, bila ada masalah, ibu ayah dan adik-adik mesti akan cerita pada aku. Aku tak nafikan, sebagai yang sulung, itu dah jadi tanggungjawab pada aku. Aku tak nak berkira dengan keluarga sebab itulah kunci keberkatan hidup aku. Tapi, sekarang aku banyak sakit kepala fikir masalah keluarga. Air mata, sakit hati semua berkumpul dalam diri aku.
Puncanya, ayah aku yang sedang ada masalah di tempat kerja. Ayah aku, seorang yang kelakar, suka bergaul dengan masyarakat (typical ayah2 kot) dan family-man. Itu antara sikap ayah yang aku suka. Tapi, itu dulu. Sekarang, ayah aku berfikiran negatif sepanjang masa, takda masa untuk keluarga dan aktiviti-aktiviti masyarakat dan senang kata, semua benda negatif pada dia sekarang. Ini dah berlaku hampir setahun dalam keluarga aku.
Ayah aku diduga di tempat kerja. Antara puncanya, dia difitnah, dipulau hanya kerana gaji dia yang lebih selesa daripada orang lain. Manusia, DENGKI. Tak bersyukur dengan rezeki sendiri, kacau rezeki orang pula. Dulu, aku tak percaya ada manusia macam ni sebab ibu aku selalu suruh sangka baik dengan orang. Bila dah jadi depan mata sendiri, terduduk aku dengan ibu tengok ayah yang dah hilang semangat untuk bekerja. Ibu banyak nasihat ayah dan tolong ayah untuk bangkit semula.
Walaupun, macam takda perubahan pada ayah. Aku bersyukur, ibu baik sangat pada ayah. Aku kagum dengan ibu terutama kesabaran ibu. Ibu bekerja, balik rumah, tengok ayah macam tu, ibu masih lagi setia pujuk dan bagi nasihat pada ayah. Kadang-kadang, ayah sampai tak balik rumah sebab bekerja. Tinggallah ibu seorang di rumah (aku dan adik-adik belajar jauh). Tetap juga, ibu sambut ayah dengan senyuman, memahami ayah dan bersabar dengan ayah.
Nampak macam ibu tabah kan? Tak juga, sebenarnya. Bila aku sesekali balik rumah, ibu menangis cerita dengan aku tentang ayah. Ibu nak luah pada adik-adik, mungkin mereka tak faham. Hanya pada aku, ibu boleh berkongsi cerita. Sejak akhir-akhir ni, bukan luahan hati ibu saja yang aku dengar. Aku juga jadi pendengar setia cerita ayah dan saksi, gugurnya air mata ayah yang dah hilang punca dengan kehidupan dia sendiri.
Aku dan ibu nasihatkan dia untuk berhenti kerja sebab jujur aku cakap, hati aku sakit tengok ayah macam tu. Sakit hati marah dan sedih. Ayah cakap, dia cuba bertahan sebab fikirkan adik-adik aku yang masih sekolah di asrama dan aku, yang masih belajar dan belum ada pendapatan sendiri . Semua masih dalam tanggungan ayah.
Tapi, sampai bila? Sampai bila ayah kena hidup macam tu? Aku sebagai yang sulung, kesian pada adik-adik yang kurang faham situasi sekarang. Yelah, nak jumpa ayah pun susah sebab ayah asyik kerja. Aku kesian juga pada ibu yang kena berhadapan dengan ayah dalam keadaan macam tu seorang diri sebab aku jauh. Banyak urusan penting dalam keluarga kena buat seorang. Bayangkan, ibu aku drive jauh-jauh nak ambil adik-adik aku. SEORANG! Sesekali, aku ada bolehlah aku tolong. Tapi, kebanyakannya aku tak dapat nak tolong. Kesian ibu.
Aku selalu stres fikir masalah ni. Aku jadi tak suka pada diri sendiri yang selalu ‘sakit’ bila dalam situasi ni. Pada masa yang sama, tanpa aku sedar, aku jadi tak ikhlas nak melalui dugaan ni dengan keluarga aku. Aku jadi marah dan rimas dengan ayah yang selalu cerita masalah yang sama selama hampir setahun ni. Aku jadi marah bila ayah masih takde perubahan bila aku dan ibu nasihat macam-macam. Ajak pergi jumpa doktor pun tak nak!
Sampai bila ayah aku nak jadi macam tu? Aku jadi marah pada ayah sebab aku rasa ayah punca masalah dia sendiri. Bagi aku, macam-macam cara ibu dan aku cuba untuk tolong ayah. Tapi, ayah sendiri yang tak nak bangun semula. Aku jadi marah juga pada diri sendiri sebab aku marah ayah. Aku jadi serba salah dalam situasi ni. Jahat ke aku sebab marah ayah? Rimas dengan ayah?
Aku tak nak cakap ayah aku depressed sebab takut, itu jadi doa. Tapi, banyak tanda-tanda depression ada pada dia. Aku ada berbincang dengan seorang psychologist tentang keadaan ayah aku. Dia cakap kemungkinan ayah depressed. Tapi, macam mana aku nak tolong ayah sekarang ni? Sebab dia sendiri pun tak nak jumpa pakar untuk tolong dia dan dia sendiri pun tak nak tolong diri dia.
Tolong aku. Aku nak ayah aku yang dulu.
– Anak
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit