Putar Belit Media Menimbulkan Kebencian

Assalamualaikum. Dah beberapa hari aku fikir sama ada nak hantar confession ini atau tak. Tapi aku rasa benda ni sepatutnya diperbetulkan. Izinkan aku menumpang confession disini. Terima kasih.

Aku orang Malaysia yang sedang belajar di Indonesia dalam bidang perubatan. Ya, disini sedang berlaku rusuhan. Ramai yang meninggal dunia kerana dipukul pihak berkuasa disini tanpa kasihan. Aku yang pada awalnya mengamalkan sifat tidak ingin masuk campur, akhirnya aku kasihan.

Kenapa? Sebab ini telah melanggar perikemanusiaan. Mereka sedang berperang darah untuk tumbangkan yang diatas. Ibu bapa terima anak yang dah tidak bernyawa, tidak dibenarkan mempersoalkan bagaimana kematian mereka.

Tetapi aku sangat terkilan, akhbar di Malaysia telah menulis tajuk yang sangat salah!

“Ribuan pelajar Indonesia bantah undang-undang haramkan seks bebas dan perkahwinan sesama jenis”

Ini adalah salah! Macam mana media terfikir tajuk ni, aku pun tidak tahu. Tapi yang penting, banyak komen-komen yang kurang sedap dibaca. Menggelar pelajar-pelajar ini anak haram dan sebagainya.

Mereka membantah kerana pejabat anti rasuah disana akan dihapuskan. Maksudnya apa? Kalau orang terima rasuah takkan ada yang nak menyiasat!

Undang-undang baru mengatakan presiden akan dikecualikan dari dikenakan hukuman kalau berbuat salah. Ini maksudnya apa? Kalau dia bunuh orang, takkan ada undang-undang yang boleh lawan.

Jadi disebabkan ini mahasiswa-mahasiswa ini buat rusuhan. Untuk masa depan generasi mereka sendiri. Komen-komen orang Malaysia di akhbar tu telah disebarkan disini menerusi aplikasi whatsapp. Menyebabkan orang sini makin marah dengan kita.

Tapi bukan lah salah orang yang komen. Tapi salah media yang memutar belitkan keadaan! Kenapa ingin tulis tentang keadaan luar negara kalau tidak tahu apa yang terjadi?

Ya, walaupun ini bukan masalah kita. Tapi untuk menulis tajuk begitu dan menulis komen-komen seperti itu adalah sangat tidak patut bagi aku. Mereka seagama Islam dengan kita. Mereka dipukul tanpa belas kasihan.

Mereka sedang berperang demi negara mereka. Jangan lah kita menulis sesuatu yang kita tidak tahu. Kalau tidak boleh bantu, cukuplah dengan mendoakan kami disini. Mendoakan supaya negara mereka pulih.

Aku sangat malu berhadapan dengan mereka, bila mereka membaca media kita. Sedangkan aku tahu apa yang terjadi.

Tentang jerebu, janganlah percaya media bulat-bulat juga. Ini hanya menimbulkan kebencian antara 2 buah negara. Kadang apa yang dikhabarkan itu bukan lah yang sebenarnya berlaku.

Harap yang komen, kecam mahasiswa buat rusuhan haritu, padamlah komen anda. Sekian..

– Muhammad (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *