Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Ibu dan ayah saya kedua-duanya bangsa Melayu, makanya saya pun adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang tiada darah campuran dari bangsa lain kebiasaannya memang lahir dengan genetik kulit yang berwarna sawo matang. Ada juga bangsa Melayu yang kulitnya berwarna kuning langsat, dan kulit cerah kemerah-merahan. Tetapi majoritinya bangsa Melayu memang mempunyai genetik kulit yang berwarna sawo matang.
Saya bukanlah pakar genetik, pakar kulit mahupun doktor. Namun mengikut apa yang telah saya pelajari dalam subjek sains mahupun subjek genetik itu sendiri, bahawa warna kulit seseorang itu diwarisi daripada genetik kedua ibu bapanya.
Maka, kalau ibu bapa kita mempunyai kulit berwarna sawo matang, justeru itu kita juga akan mewarisi warna kulit sedemikian.
Lainlah kalau kita mempunyai ibu bapa, atau keturunan nenek moyang kita dahulu mempunyai darah campuran daripada bangsa yang mempunyai kulit yang berwarna putih atau cerah. Justeru itu, barulah kita akan dapat mewarisi warna kulit yang sedemikian juga.
Saya dapati masyarakat Melayu di Malaysia pada hari ini, sukar ataupun tidak mahu menerima hakikat tentang asal-usul warna kulit mereka sendiri.
Bahkan masyarakat kita sendiri yang telah menanamkan dalam minda kita bahawa orang yang berkulit sawo matang ataupun hitam manis itu sebagai orang yang tidak cantik.
Kita hari ini lebih menyanjungi dan mengidam-idamkan warna kulit yang cerah, putih dan gebu.
Sehinggakan sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar nilainya untuk mendapatkan kulit yang cerah, putih dan gebu dengan membeli produk-produk yang kita sendiri tidak pasti kandungannya sama ada selamat ataupun tidak, bukan sahaja untuk kesan jangka masa pendek bahkan untuk kesan jangka masa panjang.
Maka tidak hairanlah produk-produk “pemutihan” ini muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Hadirnya dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk krim, pil, jus, susu, sabun, dan dalam bentuk suntikan.
Sedangkan kita sendiri tidak tahu latar belakang pendidikan pengasas sesuatu produk itu, sama ada mereka betul-betul pakar dan mempunyai kelayakan yang sepatutnya dalam bidang tersebut ataupun tidak.
Bahkan ada yang lebih teruk, produk itu hanya diambil dari sesebuah kilang pemprosesan yang membekalkan produk yang sama sahaja kandungannya, cuma hadir dengan jenama berbeza tanpa melalui penyelidikan ataupun “research and development” untuk memastikan keselamatan bahan yang dirumus di dalam produk tersebut tanpa memberikan kemudharatan kepada pengguna.
Ada yang lebih teruk, produk itu diimport dari negara luar, kandungannya yang kita tidak pasti sama ada halal ataupun tidak. Lalu kita suntik, telan,minum masuk ke dalam tubuh badan kita, menjadi darah dan daging.
Hanya kerana inginkan atau obses dengan kulit yang cerah, putih dan gebu, kita mengabaikan soal halal dan haram, mengabaikan kesihatan dan keselamatan organ dan tubuh badan kita sendiri.
Hari ini, tular atau ‘viral’ di Facebook dan Twitter berkenaan produk “pemutihan” yang diberikan oleh si ibu sehingga 4 biji sehari kepada anaknya yang masih kanak-kanak, hanya kerana anaknya berkulit kurang cerah, putih dan gebu.
Apabila doktor-doktor bersuara di Facebook,Instagram,Twitter dan media sosial yang lain berkenaan bahayanya produk-produk sebegini, mereka dikecam hebat bahkan diburukkan nama dan diancam oleh sebahagian pengasas-pengasas dan pengedar-pengedar produk sebegini yang hanya atau lebih mementingkan keuntungan perniagaan mereka tanpa memikirkan kesan buruk yang akan diterima dan ditanggung oleh pengguna.
Sedangkan niat doktor-doktor ini adalah niat yang baik untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat untuk menjadi pengguna yang bijak, yang menjaga kesihatan dan keselamatan diri daripada bahan-bahan yang tidak pasti keselamatannya untuk tubuh badan. Tidak ada sebarang kepentingan atau keuntungan pun yang akan diperoleh doktor-doktor ini untuk diri mereka, bahkan mereka berjuang untuk kebaikan masyarakat kita juga.
Ubahlah ‘mindset’kita bahawa berkulit sawo matang mahupun hitam manis itu sebagai orang yang huduh. Manakala orang yang berkulit cerah, putih dan gebu sahaja yang cantik.
Buatlah pilihan yang bijak. Mahu kulit yang cerah, putih dan gebu hasil daripada produk-produk ‘pemutihan’ lalu akhirnya buah pinggang rosak dan perlu bergantung dengan dialisis?
Ataupun bersyukur dengan kulit yang sawo matang dan hitam manis tanpa produk-produk ‘pemutihan’ dan hidup sihat bahagia bebas bergerak?
Pilihan di tangan anda.
– Dayang Senandung
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit