Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau sudi kongsikan confession aku lagi. Confession yang dulu tajuk ‘Jangan Pilih Kasih’, (https://iiumc.com/jangan-pilih-kasih-2/).
Aku baca komen ada yang kecam, ada yang memahami.. yang tak paham cerita tapi terus hentam pun ada jugak! Tapi sebenarnya childhood memories sedikit sebanyak membentuk perwatakan, tingkahlaku, personaliti diri serta kesan emosi sehingga kau dewasa.
Aku nak berkongsi tentang merancang keluarga. Pertama sekali aku nak mohon maaf sebab niat aku bukan nak kecam pasangan suami isteri yang mempunyai anak yang ramai sebab Mak Abah aku pun ada 9 orang anak. Selalunya bilangan anak yang meriah dalam sesebuah keluarga tu tiada langsung jarak. Bahasa mudahnya, Mak beranak setiap tahun!
Aku percaya setiap seorang anak itu sudah tertulis rezekinya. Tapi bukan bermakna kita sebagai ibu bapa tidak perlu merancang keluarga. Aku sangat simpati melihat keadaan Mak aku menjaga & menguruskan kami adik beradik. Mak seorang surirumah, Abah bekerja sebagai guru yang pada zaman tu, gaji tak seberapa.
Abah bekerja 2 kali ganda lebih keras untuk mencukupkan keperluan kami semua. Selain daripada mengajar di sekolah, Abah juga menjadi private tutor kepada seorang anak YB. Abah buat macam-macam kerja termasuklah bisnes Multi Level Marketing (MLM). Tapi sikap Abah berubah selepas terjebak dengan bisnes tu. Segala urusan rumahtangga, dilepaskan kepada Mak.
Waktu cuti sekolah, kami adik beradik memerap di rumah atau bermain di padang dekat kawasan rumah saja. Abah selalu outstation buat bisnes MLM. Aku ingat lagi, ketika usia aku 11 tahun..Mak kata perutnya sakit dan dia pitam semasa berjalan masuk ke tandas. Aku amat terkejut melihat darah yang mengalir daripada kain batik yang Mak pakai masa tu.
Aku jerit memanggil Along, kami sangat panik tengok keadaan Mak. Darah berketul-ketul semakin laju mengalir keluar. Along cuba telefon Abah, tapi panggilan masuk ke voice mail. Lalu Along telefon panggilan kecemasan untuk bantuan ambulans. Pihak ambulans datang ke rumah membawa Mak ke hospital & Along pun ikut untuk menemani Mak.
Aku tinggal di rumah untuk menjaga 5 orang adik. Masa tu kami baru 7 beradik. Adik ketujuh berumur 6 bulan ketika kejadian. Aku telefon Tok Chik bagitahu tentang Mak ke hospital dengan ambulans. Tok Chik suruh aku bersabar & tunggu dia datang ke rumah selepas dia pergi ke hospital untuk uruskan Mak.
Berjurai air mata aku ketika aku memberus kain batik Mak yang berlumuran darah. Aku fikir mungkinkah Mak akan meninggalkan kami semua? Tapi aku terpaksa kuatkan hati untuk menjaga adik-adik aku yang masih kecil waktu tu. Tok Chik datang ke rumah dan membawa Along balik dari hospital. Mak admitted di wad. Rupanya Mak mengandung 3 bulan masa tu. Mak keguguran & mengalami tumpah darah.
Di mana Abah waktu kejadian tu? Dia outstation buat bisnes. Entah kat ceruk mana sehingga banyak kali panggilan telefon kami asyik masuk ke voice mail. Dah malam baru Abah sampai rumah..itu pun sebab Tok Chik berkali-kali tinggalkan pesanan dalam voice mail.
Sungguh aku rasa trauma melihat pengalaman Mak. Mak sangat taat atau mungkin takut sebab Abah seorang yang tegas & garang. Abah melarang Mak mengambil sebarang ubat perancang kehamilan pun Mak ikut saja. Kononnya ubat-ubatan tu melawan kuasa Allah. Abah kata dia suka anak ramai..sebab bila tua nanti tak susah, ada ramai yang boleh membantu, menjaga dia & Mak.
Tapi Abah tak pernah membantu Mak menguruskan kerja rumah..apatah lagi nak menjaga anak-anak. Abah seorang lelaki Melayu dengan tipikal mindset : kerja rumah, jaga anak tu kerja isteri, kerja suami cari rezeki. Bayangkan betapa penatnya Mak aku menguruskan kami semua yang ramai ni tanpa bantuan Abah? Jadi aku & Along sebagai anak yang tua akan sedaya upaya menolong Mak setelah kami balik dari sekolah. Tapi selepas Along masuk SBP, aku sorang lah yang jadi babysitter adik-adik merangkap bibik di rumah.
Abah ambil keputusan berhenti mengajar untuk fokus dengan bisnes. Kalau dulu masa Abah jadi cikgu, Abah outstation ketika hujung minggu & cuti sekolah..lepas Abah berhenti kerja, dalam seminggu nak tengok Abah ada kat rumah pun susah! Kami semua hanya berteman Mak saja di rumah setiap hari. Betul kata orang, lelaki diuji bila memiliki harta..sama jugak yang berlaku pada Abah. Dia abaikan tanggungjawab terhadap Mak & kami semua.
Abah jadi sangat berkira untuk memberi nafkah & membeli barang keperluan kami. Sentiasa dengan alasan outstation sampai sebulan tak balik rumah.. duit belanja pun tak cukup, sehingga Mak terpaksa keluarkan duit simpanan anak-anak di bank untuk membeli barang dapur. Abah pulak senang hati belanja makan kawan-kawan bisnes dia. Dia lebih pentingkan kawan serta bisnes saja berbanding isteri & anak-anak. Ada tak korang rasa Abah aku ada isteri lain? Yes, memang ada pun! Tapi takpe lah..aku rasa tak perlu aku cerita pasal tu.
Selepas aku melahirkan anak sulung, Mak pesan supaya aku menjarakkan beberapa tahun sebelum mengandung lagi. “Angah jangan jadi kilang macam Mak..badan tak dapat nak rehat langsung.” Kalau Mak tak keguguran 3 kali, sedozen lah adik beradik aku weh!
Since aku & suami tak berhasrat pun ada anak ramai, jadi kami refer pakar untuk contraceptive method yang sesuai. Dengan izin Allah, kami dapat jarakkan 3 tahun untuk setiap seorang anak. Yang sulung sekolah menengah, 2 orang sekolah rendah & yang bongsu dah masuk tadika. 4 orang anak kami, cukuplah tu.
Aku tahu ada yang hidup lebih susah berbanding aku. Aku sangat bersyukur parents aku tidak bercerai walaupun jiwa Mak sangat terseksa. Mak bertahan sebab fikirkan kami semua. Terima kasih Mak, kerana tabah mengharungi ujian rumahtangga yang pedih. Terima kasih Abah, akhirnya Abah pilih permata berbanding kaca yang nampak cantik berkilat tapi melukakan diri. Iktibar yang aku dapat daripada kisah rumahtangga Mak & Abah aku, merancang keluarga bukan melawan kuasa Allah.
Kesimpulannya, berbaloikah mempunyai anak ramai sehingga tiada masa berkualiti untuk keluarga & memudharatkan kesihatan tubuh badan? Terpaksa bekerja lebih keras sehingga badan terlalu penat, balik rumah lewat malam, terus berehat dan tak dapat melihat wajah anak-anak pun dalam 1 hari?
Bila terlalu sibuk mencari harta di luar rumah, kita terlupa anugerah paling bernilai sebenarnya ada di dalam rumah sendiri. Apa-apa pun, Allah sebaik-baik perancang.. kalau sudah tertulis rezeki anak yang ramai, jangan abaikan mereka. Sayangi & lindungi mereka selayaknya.
– Angah
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit