Aku seorang Fresh Grad 23 tahun yang baru sahaja habis degree dan kini masih menunggu segala sijil untuk diproses dan diambil.
Memandangkan U aku tak pasti ade graduation atau tak jadi aku pilih untuk ambil dahulu sahaja sijil terlebih dahulu bagi memudahkan urusan aku mohon kerja.
Namun aku belum bersedia untuk tinggalkan dunia belajar. Aku berasal di Johor dan belajar di ibu kota, di sana aku mendapat sedikit kebebasan daripada kongkongan keluargaku.
Ya. Kongkongan hanya sebabkan aku, Cempaka, seorang perempuan. Namun bukan kisah itu yang ingin aku fokuskan.
Quarter Life Crisis. Aku rasa benda itu lawak semasa umurku menginjak 20 tahun namun kini aku merasainya. Aku keliru bila dah habis belaja, patutkah aku kerja? Atau sambung lagi belajar?
Tambahan pula bf aku yang aku telah kenal selama setahun lebih mengajak ku kahwin untuk menghalalkan hubungan kami. Keluarganya bersetuju namun keluarga ku atau lebih tepat lagi kedua ibu bapaku tidak?
Kenapa? Kerana perbezaan umur dan keadaan bf aku yang masih belum lagi stabil meskipun usianya hampir mencecah 30-an.
Aku juga baru habis belajar dan belum mempunyai peluang pekerjaan. Emak bf aku memberikan ku cincinnya untuk dipakai sebagai persetujuan hubungan kami.
Dengan cincin itu, aku memberitahu tentang bf aku, keluarganya dan hasrat kami untuk berkahwin namun tidak diendah dan ditolak. Lebih sayu, ayah melarang aku untuk memakai cincin itu.
Aku? Aku lagi keliru. Ikutkan hati aku ingin sahaja terus kerja dan tidak memilih mana-mana tawaran atau pekerjaan. Namun aku merupakan pelajar tajaan JPA di bawah program PBU (Pinjaman Boleh Ubah).
Di pendekkan cerita, aku perlu kerja kontrak dalam sektor kerajaan selama 4 tahun untuk mengubah pinjaman selama aku belajar degree kepada biasiswa.
Aku mendapat tawaran bekerja di ibu kota dengan gaji yang bagiku mencukupi, dan satu lagi tawaran bekerja dengan gaji yang lebih lumayan daripada rakan ku di FB. Namun kedua ibu bapaku melarang ku untuk menerima kedua-dua tawaran itu.
Tawaran pertama itu adalah bidang yang berlainan daripada bidang belajar ku manakala tawaran kedua itu daripada rakan yang tidak dikenali secara semuka. Aku akur perintah mereka.
Aku cemburu dengan kawan-kawan yang sudah bekerja. Ada jua rakanku yang sama-sama mengambil PBU di bawah JPA dan kini sudah bekerja di sektor kerajaan. Aku juga sedar, kesihatan ku semakin lama semakin merosot.
Sebelum ini, aku sendiri pergi ke klinik, membeli ubat, membuat check up dengan wang pinjaman itu. Namun kini, aku hanya berdiam diri. Aku tidak berani meminta ibu bapaku atau lebih tepat lagi aku malu.
Mungkin juga geram kerana aku tidak mempunyai kebebasan dan wang sendiri seperti mana aku belajar dulu. Walaupun hakikatnya wang itu hanyalah pinjaman, tetapi dengan wang itulah aku membayar yuran, perbelanjaan, dan ubat-ubatan ku.
Ibu bapaku ada juga memberi wang saku dan aku juga ada membuat khidmat transporter/ runner ketika belajar dulu.
Sekarang? Aku hanya duduk di rumah mencari kerja tetapi banyak kali berputus asa kerana aku fikirkan kedua ibu bapaku yang tidak akan approve pekerjaan aku dan juga hasrat aku untuk berkahwin.
Ibu bapaku juga menyatakan hasrat mereka untuk mengerjakan umrah pada Januari tahun depan dan menyuruhku menangguhkan keinginan untuk memohon atau mencari kerja sehinga mereka balik.
Aku terkilan. Aku sakit hati. Aku geram. Namun apakan daya, mereka kedua ibu bapa ku.
Kini aku di rumah makan hati murun, merajuk, aku hanya berkurung di dalam bilik dan membantu serba sedikit kerja rumah.
Kalau mood aku lebih bercelaru dan aku banyak kali fikir ingin melarikan diri dari rumahku, aku kurung diriku dalam bilik.
Seharian tidak makan pun aku sanggup kerana aku penat dan sakit hati melihat muka kedua ibu bapaku. Salah kah aku? Aku buntu. Apa patut aku buat sekarang?
Aku duduk sahaja di rumah di larang keluar kecuali jika ayahku ingin pulang ke kampung halaman. Namun itu juga masih meyakitkan aku.
Adakah aku yang bermasalah? Aku ingin bebas. Ingin keluar seperti mana abangku ketika habis belajar dahulu. Keluar dari petang balik waktu pagi tiada siapa kacau tiada siapa membantah. Aku? Nasibku malang dilahirkan sebagai seorang perempuan.
Ingin membeli keperluan sendiri pun termaksa meminta-minta. Bahkan perkara asas sehingga sabun mandi dan tuala wanita aku perlu meminta pada ibuku.
Jika aku dibenarkan keluar, hanya berteman dengan ayah atau ibuku. Itupun mereka tidak ikhlas, selalu menyuruhku cepat kerana menganggapku hanya membazir masa.
Aku buntu. Sudah banyak tawaran kerja yang aku cari, tetapi aku hanya mampu menangis ketika mengisi permohonan. Aku terfikir-fikir permintaan kedua orang tua ku yang inin pergi ke umrah itu. Peritnya pengorbanan sebagai seorang anak perempuan.
Tolonglah aku. Aku sungguh sudah buntu, terlalu sakit hati.
Terlalu murung sehinggakan aku relapse semula pada perbuatan mencederakan diri sendiri setelah hampir setahun aku cuba untuk membersihkan diri daripada perbuatan itu hanya kerana quarter life crisis ini.
– Cempaka (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit