Rabiatul Adawiyah

“Ya ilahi, apabila aku menyembahMu kerana takut akan siksa nerakaMu, bakarlah diriku dengan apinya. Bila sujudku padaMu kerana mendambakan syurga, tutuplah pintu syurga itu. Namun, bila ibadahku demi Engkau semata, jangan sesekali palingkan wajahMu, aku rindu menatap abadinya keindahanMu.”

“Ya Robbi, bintang-bintang bersinar bergemerlapan. Manusia sudah tidur nyenyak dan raja-raja telah menutup pintunya. Tiap orang sedang bercinta asyik dengan kesayangannya dan di sinilah aku menyendiri bersamaMu.”

“Damaiku, wahai saudara-saudaraku. Dalam kesendirianku, dan kekasihku bila selamanya bersamaku, kerana cintaNya itu tak ada duanya. CintaNya itu mengujiku di antara keindahan yang fana ini. Pada saat aku merenungi keindahanNya, dialah mihrabku. Dialah kiblatku. Jika aku mati karena cintaku sebelum aku mendapatkan kepuasanku, alangkah hinanya hidupku di dunia ini. Wahai pelipur jiwa yang terbakar ghairah, juangku bila menyatu denganMu telah melipur jiwaku. Wahai kebahagianku, telah kutanggalkan semua keindahan fana ini dariku, harapku dapat menyatu denganMu kerana itulah hidup yang kutuju.”

Allah, setiap bait-bait doa rabiatul adawiyah itu betul-betul meruntun jiwaku. Hidupnya semata-mata kerana Allah, jiwanya dipenuhi cinta hanya untuk Allah dan impiannya hanya untuk bertemu Allah. Sedangkan aku? Setebal mana rasa cintaku utk Allah? Sebanyak mana kesungguhan ku membuat persediaan untuk bertemu Allah?

Solat ku?
Ya, aku solat. Ya, Cukup 5 waktu.
Tapi, solatku di hujung waktu. Solatku selepas kerja-kerja dunia aku siapkan. Ku tunda solatku sehingga iklan tv muncul, ku tunda solatku selepas habis berwhatsapp. Jadi, di mana letaknya, Allah dihatiku? Hatta, drama pun mendahului allah dihatiku, bagaimana pula dengan yang lain?

Alquran ku?
Ya, aku baca. Ya, hari-hari aku baca.
Tapi, fahamkah aku apa yang aku baca? Sefaham novelkah apa yang aku fahami? Sesedih dramakah aku menangis? Atau sekadar aku baca, faham dan lupa?

Ibadah sunatku?
Ya, aku buat. Ya, aku laksanakan.
Tapi, kadang-kadang. Bila aku rajin, bila aku lapang, bila hidup aku susah, aku laksanakan. Disitulah letaknya allah dihatiku. Ya Allah, betapa tidak bersyukurnya aku, dengan segala nikmat yang diberi, hanya secebis itu yang aku persembahkan padaMu. Aku malu padaMu ya Allah. Ampuni Aku. Betapa terlalu jauh bezanya aku dan rabiatul adawiyah.

Ya, aku tahu, dia seorang sufi. Wali Allah yang mulia. Sedangkan aku, hamba yang penuh dosa. Penuh kealpaan. Tapi jauh disudut hatiku, cukuplah walau secebis rasa kecintaan dan keikhlasan untuk Allah dari hati rabiatul adawiyah itu timbul dihatiku.

Aku benar- benar belajar sesuatu dari diri seorang rabiatul adawiyah. Seorang wanita yang kekuatannya dari Allah dan hanya untuk Allah. Hatinya diserahkan hanya utk Allah. Bagaimana hari-harinya berlalu dengan hanya merindui kekasihnya Allah. Bagaimana seorang hamba telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwanya. Allahuakhbar. Aku ingin sekali mempunyai hati sepertinya. Doakan aku.

Akhir kata, aku tutup nukilan aku ini dengan satu coretan yang aku ambil dari seorang sahabatku,

“Kita akan selalu diuji dengan apa yang kita cintai. Maka cintailah sekadarnya, boleh jadi yang teramat cinta itu, akan menjadi pudar suatu hari nanti. Boleh jadi yang teramat cinta itu, boleh meninggal pergi suatu hari nanti. Boleh jadi yang teramat cinta itu, boleh bertukar berpaling pada yang lain nanti.

Cintailah kerana allah. Untuk allah. Demi allah. Maka apa jua yang diuji dengan cinta, kita akan selalu ingat pencinta yang utama.

Allah yang lebih layak dari segalanya. Allah yang lebih perlu dicintai dari semua makhluknya. Allah yang memegang segala rasa dijiwa. Maka, tiada lagi hampa dan kecewa, bila segalanya dikembalikan semula kepadanya.”

Assalamualaikum.

– Hamba Allah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *