Ragam Ibu

Assalam warga iium confession
sekadar nak meluah rasa sebab terlalu sakit nak menyimpannya
sebelum tu aku kenalkan diriku,aku seorang ibu bekerja, kakitangan awam,4 anak masih kecil dan aku anak sulung dari 5 beradik. Cerita ini adalah cerita ibuku

ibuku asal dari kampong terpencil di pedalaman,hanya sempat bersekolah sehingga darjah 2 kerana kesempitan hidup namun ibuku sempat pandai membaca, dari kecil ibuku sebagai anak sulung berkorban mengabdikan dirinya kepada keluarga,berkorban menjaga adik-adik dengan serba kekurangan dan daif tatkala kedua ibubapanya keluar mencari rezeki. Dikala usianya 16 tahun ibuku mendirikan rumahtangga bersama ayahku, setelah aku dan adikku dilahirkan kami sekeluarga berhijrah daerah lain.

Cerita resah ini bermula sejak pemergian arwah ayahku 9 tahun yang lalu, sejak pemergian arwah ayahku ibuku sangat berubah, perkongsian hidup bersama selama lebih 30 tahun menjadikan ibuku seorang yang sangat bergantung kepada arwah ayahku dari segala sudut, pemergian arwah ayahku menyebabkan ibuku rasa tidak selamat dan banyak terganggu sehingga dia seolah-olah kemurungan walaupun kami anak-anak sentiasa ada menyokongnya. Ibuku sering mengadu dia telah disihir oleh seseorang, kebetulannya pernahlah ibuku berselisih faham dengan jirannya dan dia selalu bersangka buruk dengan jiran tersebut.Dalam situasi antara percaya dengan tidak kami adik-beradik tetap juga sentiasa melayan aduannya,mana saja ustaz kami bawa walau hati tidak setuju sepenuhnya malah pernah jugak terjebak ustaz penipu(bomoh rupanya-sampai sekarang sangat aku kesali…semoga Allah ampunkan)

Sampai satu tahap kami adik-beradik sepakat untuk tidak lagi membawanya berubat sebab kelihatannya seperti tidak sudah-sudah bertahun-tahun,dan kami tidak pernah nampak apa-apa gangguan yang luar biasa kecuali aduannya yang sakit sana sini, masalahnya doktor seolah-olah musuh ketat pula baginya,besar cabaran kami adik-beradik apabila ibuku mula mencanangkan keburukan kami kepada adik-adiknya (ibu n bapa saudara kami). Katanya kami ini tidak percayakan kata-katanya, mempertikai kepercayaannya dan banyak lagi buruk kami anaknya sendiri dicanangkan tambahan ibuku ada sikap suka menambah nambah dan mereka-reka cerita. Kami diamkan saja.

Kata-kata nasihat kami anak-anaknya memang jarang diterima, ustaz ustazah yang kami bawa jumpa yang tidak menyokong ceritanya dia perlekehkan manakala yang menyokong sangat ceritanya memang diagung-agungkan,habis beribu-ribu pun tak apa, tapi ini memang realitinya, latarbelakang ibuku menyebabkan pemikiran ibuku kurang terbuka,agak kekok bergaul dan sukar menerima pandangan orang lain kecuali yang bertepatan dengan pemikirannya

Habis fasa sihir timbul pula cerita nak kahwin bila ada orang merisik risik,kali pertama adik lelakiku A keras menentang sedang aku dan adik-adikku yang lain redha dalam paksa kerana mahu menjaga hatinya, ibuku awalnya akan akur dengan kehendak anak anak tapi bila ditentang rupanya ibuku tak dapat terima kerana hatinya terbuka untuk berkahwin semula,maka bertebaranlah lagi buruk kami adik beradik terutama yang tidak setuju

Diam sekejap, keluarga kami kembali aman tiba-tiba datang kembali orang lain pula merisik risik, ibuku teruja,kali ini mengenangkan kisah lalu dan mahu mengerti kesunyiannya maka aku mengarahkan adik-beradik untuk terima, Alhamdulillah sepakat namun takdirNya jodoh tiada,tatkala pakcik tersebut bertandang ke rumah kami pada Aidilfitri tahun lalu jelas sekali diwajah anaknya tidak sukakan perancangan perkahwinan ini (Ibunya baru meninggal dunia 2 bulan,ayahnya dah sibuk cari teman hidup baru),aku mengerti perasaan anak pakcik tersebut kerana kami juga belum cukup rela namun reaksi anak pakcik tersebut sangat menghiris hati,masih ingat lagi hingga hari ini riak sombongnya seolah-olah dia yang pegang kunci syurga dan kami ini manusia hina.Dari situ ibuku sendiri terasa hati dan dia sendiri menolak untuk berkahwin semula walaupun aku tahu dia kecewa.Aku faham kekecewaannya dan aku faham kesunyiannya. Dari kekecewaan itu ibuku mahu bawa diri ke madrasah khas untuk warga emas, disitu ibuku boleh fokus kepada amal ibadat dan belajar agama bersama-sama rakan sebayanya,6 bulan disana ibuku ok tanpa kami cuai melawatnya saban minggu bergilir-gilir tetapi semenjak cuti Aidilfitri yang lalu ibuku berubah lagi,terlalu kerap dia mendesak adikku dikampung menghantar duit kepadanya (Adikku dikampung menguruskan ladang tinggalan arwah ayah) kononnya nak berubat dengan ustaz,bukan sedikit tapi beribu, aduhh…apa lagi?sesak dada ku dan kami sekarang sedang berbincang adik-beradik untuk menyekat kemahuan ibuku,huru hara juga…

Benarlah…seorang ibu mampu membesarkan ramai anak tapi anak belum tentu mampu menjaga ibu seorang. Ibuku fizikalnya sihat tiada masalah kesihatan dan ikutkan tiada masalah untuk kami menjaganya. Kadang-kadang aku kesal sendiri kerana terasa diri tidak mampu menjadi anak yang baik,dengan rasa bersalah aku lepaskan adik lelakiku A menjalankan tanggungjawab menjaga ibuku. Ada masa aku terfikir ibuku sebenarnya patut bersyukur,dalam meniti hari tuanya dengan tubuh badan yang sihat dia masih ada anak disekeliling yang bagi aku tetap menjalankan tanggungjawab sebagai anak walaupun terdapat kelemahan sana sini. Kami bukan tak boleh jadi pendengar setia yang sentiasa menyokong kehendaknya seperti mana ibu dan bapa saudaraku yang lain kerana kami tak mahu ibu terus hanyut dengan pemikiran dan sangkaan-sangkaan buruknya. Mohon doakan kami adik-beradik terus jadi anak-anak yang yang penuh tanggungjawab menjaga kebajikan ibu kami selagi hayatnya….Ya Allah Kau kasihanilah ibuku Ya Allah,berilah ketenangan buatnya, kekuatan buatnya,kuatkan kami adik beradik untuk berbakti kepada ibuku Ya Allah….aminnn

-kakak-
13072017

– kakak

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit