Assalammualaikum. Aku harap Ramadhan tahun ini dapat mengembalikan apa yang pernah kita hilang.
Aku VEE (Semestinya bukan nama sebenar), aku ke sini untuk berkongsi pengalaman aku yang pernah dilukakan oleh rakan baik aku. Rakan yang sama-sama tempat aku mencari rezeki menyara diri dan keluarga kecilku.
Pejam celik 2 tahun sudah berlalu tragedi yang tidak mampu aku lupakan tetapi aku telah maafkan. Rakan sekerja aku tu aku namakan KAK D, Kak D sangat senior di tempat aku bekerja.
Jaja sahaja namanya confirm semua orang akan kenal dan kebanyakkannya pernah mengalami luka yang sama seperti aku. Kak D umurnya lebih kurang umur Ibuku, dan aku menghormatinya lebih daripada seorang rakan sekerja.
4-5 tahun dahulu sebelum tragedi ini berlaku, kami sangat rapat sehinggakan personal kerja Kak D banyak aku bantu dari anak dia nak register kolej sehinggalah ke majlis kahwin. Lamakan kehidupan aku dengan Kak D. Alhamdulillah aku mencari rezeki dan pengalaman di situ selama 7 tahun.
Pada hari kejadian, aku ada urusan di luar pejabat.. dan tidak seperti kebiasaanya sebelum aku keluar aku akan bertanyakan pada rakan-rakan di pejabat andai mereka ingin memesan makanan untuk aku belikan. Kak D menyapa, ‘Nak Pergi Mana Tu?’..
Aku yang sudah terlambat berseloro sebelum keluar dengan menjawab ‘You Are Not In My List’. Serius aku bergurau! kami selalu bergurau.. dan gurauan kali ini adalah terakhir aku menjadi rakannya. Balik dari meeting terus aku di persetankan, di hendik dan di maki hamun.
Sumpah tergamam dan aku tak mampu untuk hadam kenapa aku yang Kak D pilih untuk bersengketa. Kenapa Kak D tak pandangan silaturrahim kami selama ni. Andai saat itu aku meminta maaf dahulu.. mungkin persengketaan ini tak akan berlarutan selama 1 tahun.
Aku tak mampu untuk meminta maaf sedangkan salah aku tidak selayaknya di hukum dengan ayat yang kejam. Kak D kata aku muka b*b*, buruk, dan sanggup menghina keluarga aku dengan ayat-ayat seperti Diva A*.
Sejak hari kejadian.. waktu pagi aku di pejabat akan bermula dengan mendengar suara maki hamun dia. Bos aku mana? HR mana? Rakan pejabat lain mana? Yep! aku hanya mampu bertahan dengan kekuatan dalam diri aku. Mereka semua ghaib..
Bos aku boleh membiarkan semuanya berlaku. Kak D ni pun jenis pandai.. bila ada Bos dia akan diam, tapi bila punggung Bos tak ada dekat kerusi. Confirm aku akan di serang. HR pula.. telah aku mengadu sampai mengalirkan air mata punyalah aku minta pertolongan untuk dibantu.
HR boleh cakap yang benda ini tidak melibatkan kerja dan mereka tidak boleh bantu tanpa bukti. Nak tunggu aku mati kena tikam baru diorang bertindak ke? Rakan pejabat yang lain hanya DIAM.. DIAM dan mendengar aku di maki hamun oleh KAK D tanpa mereka menegur KAK D.
Pernah aku bertanya pada mereka kenapa berdiam saat aku di serang.. Mereka cuma boleh jawab, ‘Kau sabar je.. dia memang macam tu perangai’.
Koyak hati aku.. mereka rakan baik aku tapi hanya mampu berdiam saat aku perlukan pertolongan. Serangan KAK D memang hanya pada lisan.. tapi dia pernah mengugut untuk menikam aku. Alasannya dia mempunyai ‘Sijil Gila’.
Aku tak seram dengan ayat tu sebab aku kenal dia dah lama. Memang KAK D pernah mengalami tekanan dalam hidup dia, tapi dia tidak pernah ada sijil gila dan aku tak pernah terfikir pun dia sanggup untuk menikam aku. (Punyalah aku positif dengan KAK D) ..Hahahaha..
Aku masih bertahan di situ. Jerawat di wajah aku merebak teruk dan aku selalu mengalami bisa-bisa di tengkuk. Doktor aku cakap.. aku mengalami tekanan. Yep! aku tekanan dalam diri. Aku tak mampu melawan semua maki hamun KAK D terhadap aku.
Dan yang aku hanya mampu adalah mengadu cerita dengan keluarga situasi yang aku alami saat tu. Alhamdulillah keluarga aku sangat membantu.. mereka menyarankan untuk aku berhenti dan mereka sanggup membayar bil-bil yang aku ada. Cuma aku yang degil masih bertahan.
Setiap hari aku akan di serangan secara lisan.. maki hamun yang sangat melukakan. Aku melawan keadaan tersebut dengan memakai earphone sambil mendengar zikir dan ayat-ayat Allah SWT.
Makin kuat suara KAK D menyerang aku.. semakin kuat juga volume earphone aku buat. Sehingga aku terpaksa berjumpa Doktor telinga setahun selepas tragedi dengan KAK D ni.
Tekanan yang aku alami sangat teruk, aku pernah menangis dalam tidur (Ibu aku yang cerita), aku pernah drive sambil menangis tak henti-henti, berat badan aku merosot teruk, aku pernah pengsan dan kemuncak tekanan aku apabila aku memilih untuk keluar dari pejabat tanpa hala tuju.
Aku drive kereta dari zohor di masjid A asar di masjid B maghib di masjid C dan isyak di masjid D. Apa aku buat? aku menangis pada Allah SWT yang memilih aku untuk menerima ujian ni.
Aku mengadu dan satu je doa aku pinta.. ‘Tolong bisukan KAK D’. Sepanjang aku di duga hanya doa ini je aku mampu pinta. Allah SWT Maha Besar.. DIA tidak bisukan KAK D tetapi yang aku perasan.. bila mana KAK D menyerang aku dengan lisannya.
KAK D terus terbatuk-batuk sehingga pernah dimasukkan ke hospital. Dan aku tak tahu adakah ini jawapan dari doa aku atau kebetulan sahaja. Dan hari-hari aku di situ sedikit aman.. aku jarang bertembung dengan KAK D kerana KAK D sering keluar masuk hospital.
Selepas tragedi aku dan KAK D jodoh aku di syarikat itu tidak lama pun, pada akhir tahun tu aku dapat tawaran di syarikat lain. Aku tidak pernah memohon kerja lain sebelum ini, tapi bukan kerana kes aku dan KAK D aku memilih untuk pergi.
Aku bertahan sebenarnya kerana aku berharap jawatan yang aku impikan dan telah di janjikan oleh Bos sebelum ni akan menjadi milik aku. Tetapi.. bukan rezeki aku di situ, Bos yang baru telah merekrut pekerja baru untuk jawatan itu.
Jadi seminggu selepas pekerja baru itu masuk aku terus update resume dan Alhamdullilah urusan aku dipermudahkan mendapat kerja baru dengan cepat dan tawaran yang lebih baik.
Bila aku kenang balik pengalaman dahulu.. aku bersyukur sangat kerana Allah SWT sentiasa ada dengan aku. Mengatur jalan cerita aku sangat indah.. Andai tiada pahit yang aku terima.. mungkin aku tidak merasa madu pada hari ini.
Alhamdulillah aku dikelilingi rakan kerja yang sangat baik, bos yang sangat baik, dan aku tak pernah terfikir nasib aku sebaik ini.
Pernah tahun pertama aku bekerja di syarikat baru ini, aku bermimpi KAK D.. esoknya aku unblock nombor telepon KAK D dan menghantar whatapps pada KAK D dengan memohon ke maafan dan aku memaafkan kesalahan KAK D pada aku selama ini.
Tapi yang cuma aku dapat hanya blue tick sahaja. Aku hanya menjalankan tanggunjawab aku sebagai manusia yang pengakhirannya adalah kematian. Bagi aku dunia ini tempat untuk menyayangi dan mengumpul bekalan untuk tujuan kita di hidupkan.
Aku masih mendengar khabar yang marah KAK D tidak pernah hilang sampai sekarang. Aku masih lagi di persetankan walaupun aku tidak lagi berada di sana.
Moga Allah SWT membuka hati KAK D untuk menyayangi aku kembali. Aku rindu kenangan indah aku dengan KAK D.. Dan KAK D sentiasa ada dalam doa aku untuk aku berjumpa dengannya seperti rakan baik.
Pada yang pernah senasib dengan aku, jangan pernah mengalah dengan memilih untuk berhenti kerja di sebabkan rakan kerja yang menekankan kita. Bertindak dengan waras.. andai marah dibalas marah akan jadi api. Api perlu di redakan dengan Air..
Memilih untuk berdiam dari membalas bukan bererti kita kalah. Tapi sebenarnya kita menang secara tidak lansung kerana si penyerang akan merasa tekanan atas reaksi kita yang membatu seperti tiada apa yang menyakitkan kita.
Pegang pada prinsip.. mana-mana tempat kerja pasti akan ada parasite, jadi belajar untuk kawal keadaan andai berjaya kita kawal di sini.. mana-mana tempat kita pergi tidak akan mudah kita koyak.
Salam Ramadhan..
– VEE (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit