Ramadhan 2019

Kelmarin aku duduk disebuah meja kiosk, di dalam sebuah mall sekitar pusat bandar. Pusat bandarnya bukan lah Kuala Lumpur, akan tetapi cuma sebuah negeri Pantai timur, yang kukira agama, budaya dan adatnya masih terpelihara dikalangan pemuda.

Sambil aku menunggu snack ringan dari kiosk tersebut, aku melihat sekelilingku. Gelagat manusia dari kecil 2-3 tahun sehingga ibu bapa 30-40 tahun. Rata2 nya paling ramai remaja.

Aku termenung sendiri, lagi 2 hari Ramadhan bermula. Jikalau dahulu, seingatku, Ramadhan itu ditunggu, hari itu disambut. Persediaan dilakukan. Dari hal makanan hingga persediaan jadual ibadah. Ramai yang mula menanam azam sempena sebulan Ramadhan.

Akan tetapi kini, aku lihat sambutan itu hambar. Kadang kala langsung tidak kelihatan. Ramadhan itu bagi mereka sama seperti meneruskan hari2 biasa. Tiada istimewanya. Malah yang tidak puasa itu juga berleluasa.

Aku bingung sendiri. Benarkan ujian akhir zaman ini adalah untukku, untuk kita semua?

Kadang kala apabila mendengar kisah para sahabat, aku terbayang betapa indahnya berjuang dibawah pimpinan Nabi Allah. Sentiasa berasa selamat, sentiasa mengikuti jalan yang benar, tiada ragu2, tiada perkara rekaan dan ada tempat merujuk bila ada pertanyaan, bila ada masalah.

Seperti sekarang, kadangkala aku bingung, siapa harus aku cari bila keadaan tidak terurus, bila ada persoalan yang tidak terjawab, dan akhirnya aku sujud berserah kepada yang Esa.

Aku akui imanku senipis kulit bawang. Siang aku solat, malam aku bergelak bersama teman2 di mamak. Hari ini aku berjemaah, esok subuhku terbabas. Hari ini aku gembirakan hati mak, esok mak ajak pergi pasar malam aku merungut penat.

Kadang aku sujud menangis sendiri, kerana takut ajalku esok hari. Kerna jika diteliti, tiada ciri2 penghuni syurga pada diriku. Aku tiada berguru dalam ilmu agama. Bila ada persoalan aku tanya Google. Aku jadi hilang arah bila soal agama.

Kadang ku tanya teman yang menjaga solatnya. Akan tetapi aku lihat mereka juga sepertiku, tidak ada jawapan yang tepat dan khusus dari mereka. Hanya memberikan pendapat yang terbaik.

Inikah dunia akhir zaman yang dimaksudkan Nabi Muhammad suatu ketika dahulu?

Jika benar aku mohon ya Allah, selamatkan kami, tunjukkan kami dan bimbing kami melalui jalan yang terbaik dalam mengharungi zaman ini. Kami sedar lemahnya iman kami sehari hari. Maka bantulah kami, kerana hanya Engkau yang berkuasa dalam mengatur perjalanan dan pengakhiran hidup kami. Perkenankanlah Ya Allah.

– Jojo Arsyid

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *