Bulan puasa dah dekat dan macam biasa, bila Ramadhan jer, ramai laa yang nak buat amal jariah. Maklum laa nak kejar pahala bulan Ramadhan yang berganda-ganda tu kan. Semua berlumba-lumba nak jalankan inisiatif kebajikan untuk golongan yang kurang bernasib baik. Antara inisiatif-inisiatif kebajikan yang menjadi pilihan ramai adalah menjamu anak yatim berbuka puasa, bersedekah, shopping baju raya dan memberi makanan percuma untuk gelandangan. Antara banyak-banyak inisiatif-inisiatif yang aku sebut tu, aku nak sentuh pasal beri makanan percuma kepada gelandangan. Yang lain untuk posting lain ye.
Ini adalah pengalaman kerja yang aku pernah lalui. Untuk pengetahuan, skop kerja aku memang merancang dan jalankan projek-projek Corporate Social Responsibility (CSR) atau aktiviti-aktiviti kebajikan laa untuk sebuah syarikat besar yang ada lebih kurang 7000 pekerja seluruh Malaysia. Jadi aku memang akan plan aktiviti-aktiviti yang sesuai setiap minggu atau bulan untuk pekerja-pekerja syarikat ni sebab setiap pekerja memang ada KPI untuk join CSR. Contoh aktiviti-aktiviti yang aku buat seperti tanam pokok, lawat rumah orang tua, bersihkan pantai atau sungai dan banyak lagi. Kalau aku listkan semua, dah macam resume kerja dah.
Antara aktiviti yang paling aku suka ialah buat projek beri makanan untuk gelandangan. Kenapa? Sebab tak payah nak tunggu hujung minggu dan ramai pekerja yang boleh turut serta. Lepas office hour, terus pergi mana-mana tempat yang dah set, bantu sediakan makanan dan edarkan. Jadi selalunya dalam pukul 10 atau 11 malam dah settle, bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Setiap projek bersama gelandangan ini aku akan pastikan untuk bekerjasama dengan badan NGO (Non-government Organization) atau badan kebajikan yang sesuai. Kenapa? Bukan sebab aku malas ye. Sila baca sampai habis.
Ok, berbalik kepada memberi makanan kepada gelandangan ni. Ini memang salah satu inisiatif yang baik sebab ramai ye golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur ni. Tapi bila tiba bulan Ramadhan, aku memang sakit hati tengok inisiatif yang melibatkan golongan gelandangan ni sebabnya ramai yang buat syok sendiri. Kita ni kalau nak buat amal jariah pon kena buat perancangan, bukan pakai hentam jer. Sebab daripada niat nak membantu, jadi menyusahkan dan membazir.
Hanya di bulan Ramadhan ye saudara saudari, seorang gelandangan akan pegang bungkusan nasi sampai 2-3 bungkus bila masa buka puasa dan sahur. Kenapa jadi macam tu? Sebab tak ada perancangan dan syok sendiri. Ramai sangat yang jalankan inisiatif yang sama, edar makanan percuma di kawasan yang sama. Kau rasa mampu ke seorang gelandangan nak habiskan nasi 2-3 bungkus tu dalam satu malam? Macam mengadap nasi 2-3 pinggan sekali duduk. Kau ingat diaorang ni bela saka ke apa?
Ada yang kata nasi tu boleh simpan untuk makan kemudian. Agak-agak la wei, celah mana laa depa nak simpan? Peti sejuk? Berapa lama laa nasi yang dah campur dengan lauk tu boleh tahan. Sebab tu kita akan nampak ada banyak bungkusan-bungkusan makanan yang masih tak terusik ditinggalkan macam tu jer kat tepi jalan. Ada yang ‘pandai’ sikit pula, bila tak habis edarkan makanan, depa tinggalkan kat kawasan masjid pulak. Maka makanan yang berlebihan tak ada siapa nak makan. Dah jadi membazir dan menyusahkan pula orang masjid atau perbandaran untuk kemas makanan yang ditinggalkan tu. Nampak tak kenapa aku sakit hati? Bukan sebab setan dalam badan aku ye.
Jadi, untuk kesejahteraan bersama, meh aku kongsi macam mana nak rancang inisiatif untuk golongan gelandangan ni.
Bila kita ada idea nak buat inisiatif kebajikan, kita kena ada kumpul maklumat sikit. Paling penting, kena la tahu ada berapa ramai gelandangan di kawasan X contohnya. Macam mana nak tahu? Lepak 3 hari 3 malam kat kawasan yang kau nak pergi tu ke? Haaa di sini laa datangnya peranan badan NGO yang aku sebut tu. Sila la bekerjasama dengan badan NGO yang ada di sekitar kawasan tu. Bukan susah, google jer ‘homeless shelters’, berderet keluar contact info semua. Mesti ada yang cakap, kenapa kena bekerjasama pulak, kami nak buat inisiatif sendiri? Ini soalan tak berapa bijak dan sombong namanya ye saudara saudari.
Kenapa kita digalakkan bekerjasama dengan badan NGO ni sebab badan NGO ni buat kerja kebajikan dengan golongan gelandangan setiap hari dan mereka sangat faham dengan keadaan di kawasan tu. Berbanding dengan korang yang nak buat setahun sekali jer. Banyak maklumat yang kita boleh dapat seperti jumlah gelandangan di kawasan tu, ada kanak-kanak ke tidak dan yang paling penting ialah apa yang mereka perlukan. Pernah jadi situasi yang mana badan NGO dah ada yang sponsor makanan untuk buka puasa, siap naikkan khemah semua untuk jamu gelandangan. Tiba-tiba, datang pulak sekumpulan pelajar datang nak edarkan makanan juga kat kawasan yang sama. Nampak tak betapa ruginya. Datang jauh-jauh naik bas tapi makanan tak habis edarkan. In the end, makan sendiri laa untuk sahur. Sebab itu lah kita kena hubungi badan NGO dan rancang inisiatif bersama.
Selalunya mereka memang mengalu-alukan bantuan luar kalau kita nak buat inisiatif dengan golongan gelandangan sebab selalunya badan NGO pon kekurangan sukarelawan dan budget. So, kita boleh laa bincang dan set kan tarikh yang sesuai, ambil tahu berapa ramai gelandangan, berapa banyak makanan yang perlu dan yang paling penting, kita dah tahu mana nak tuju bila hari nak edarkan makanan tu. So kita tak payah laa melilau nak cari golongan gelandangan ni sebab badan NGO akan beritahu di mana kawasan yang sesuai untuk kita tunggu atau nak edarkan makanan. Kita pon boleh bincang dengan badan NGO jenis-jenis makanan yang sesuai. Mungkin boleh beri makanan lain selain daripada nasi. Boleh juga beri makanan yang lambat rosak seperti roti, biskut dan lain-lain.
Bila kita bekerjasama dengan badan NGO ni, kita akan dapat banyak sangat maklumat-maklumat tentang golongan gelandangan ni. Contohnya, kita tak semestinya edarkan makanan. Kita boleh juga berikan barang toiletries macam berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, towel, syampu, deodorant, pakaian dalam atau tuala wanita. Tapi kami memang nak bagi makanan jer? Haa lagi sekali soalan yang tak berapa bijak dan sombong. Bila kita nak buat inisiatif untuk golongan gelandangan, keperluan siapa yang lagi penting? Kau dan rakan-rakan kau atau golongan gelandangan ni? Kita kena ingat, golongan gelandangan ni hidup dalam serba kekurangan. Jadi kita bantu dan cuba beri apa yang mereka perlukan untuk ringankan beban mereka, bukan apa yang kita rasa mereka perlu dan untuk ringankan beban kita. Sebab tu laa lagi bagus kalau dapat bekerjasama dengan badan NGO yang ada.
Selain daripada makanan dan toiletries, kita boleh juga berikan baju-baju baru atau terpakai yang masih elok dan bersih. Pastikan baju-baju yang hendak diberikan sudah dicuci bersih dan dilipat kemas. Tolong la jangan dilonggokan tepi jalan dan suruh golongan gelandangan ambil sendiri. Walaupun mereka ni golongan gelandangan, tapi mereka masih punyai maruah dan harga diri ye. Bantu dan layan la mereka cari saiz baju atau seluar yang sesuai. Sekali lagi, bekerjasama la dengan badan NGO supaya kita boleh tahu ada berapa ramai lelaki, wanita atau kanak-kanak di kawasan itu untuk kita kumpul dan sediakan baju-baju yang sesuai.
Memang bagus bila kita ada niat untuk jalankan inisiatif bersama golongan gelandangan ni tapi sila la jalankan dengan perancangan yang betul. Jangan buat sebab nak syok sendiri. Bila kita bekerjasama dengan badan NGO, kita akan dapat tahu keadaan sebenar golongan gelandangan ni dan cara membantu yang sesuai. Kita akan dengar cerita-cerita kehidupan golongan gelandangan yang menginsafkan dan membuat kita menghargai setiap rezeki yang ada di depan kita sekarang. Nak membantu tak semestinya kena ikut trend, banyak lagi yang mereka perlukan selain daripada makanan. Dan kalau boleh, jangan la buat setahun sekali demi Ramadhan saja ye.
Aku harap tulisan pengalaman kerja aku ni dapat membantu mereka yang nak rancang inisiatif bersama golongan gelandangan di bulan Ramadhan dan bulan-bulan akan datang nanti. Good Luck!
– SR
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit