Untuk part I, (https://iiumc.com/ramadhan-dulu-dulu-2/).
Sambungan dari cerita RAMADHAN DULU-DULU.
Masih tak habis lagi cerita aku mengelamun sambil dengar lagu yang diputarkan di Radio Klasik berselang-seli dengan cerita yang dikirimkan pendengar dan dibacakan oleh DJ dalam rancangan ADILA (Aku, Dia dan Lagu) pada petang tersebut. Cerita tentang Keberkatan bulan Ramadhan.
Sambungan kisah ketika aku tingkatan 2, sesi petang, pergi sekolah menaiki bas henti-henti atau orang Sungai Petani sebut Bas UTC.
Sekolah aku terletak dekat pekan Sungai Petani berdepan dengan Masjid Abdul Rahman dan pejabat agama, zaman itu pasaraya paling famous City Point.
Sekolah aku dekat dengan pasaraya tu, menjadi tempat lepak sebelum masuk atau selepas balik sekolah.
Aku akan keluar seawal 10 pagi sepanjang bulan Ramadhan dengan kawan-kawan, perancangan nak lepak dekat City Point bagi sejuk badan kena aircond sebelum masuk ke pekarangan sekolah.
Mak bagi duit sebanyak 2 ringgit setiap hari, tambang bas hanya 5 kupang, kalau kira pergi balik kos naik bas seringgit jer. Ada lebih seringgit lagi, jadi aku bolehlah buat simpanan.
Setiap hari, rutin harian sepanjang ramadhan aku sama jer, pergi dan balik sekolah serta lepak dekat City Point. Nak jadikan cerita, hari tu kawan syaitan kecil aku ni ajak aku pergi port ponteng puasa.
“Ada orang cerita, boleh order air dan makan roti bakar sapu kaya relaks je, tak payah nyorok-nyorok, tak ada siapa pun tahu port tersembunyi tu”.
Aku pun okey je, sampai saja dekat station bas Sungai Petani, aku terus ikut depa.
Sebelum tu aku suruh depa jalan depan dulu, aku nak singgah kedai majalah india dekat-dekat situ juga. Alang-alang nak ponteng puasa baik aku buat persiapan.
Aku beli air kotak milo seringgit dan roti gardenia coklat pada waktu tu hanya 5 kupang sebungkus, hasil dari duit simpanan yang mak bagi setiap hari. Jadi air kotak dan roti tu aku simpan dalam beg.
Sampai saja dekat port yang diberitahu tu aku terperanjat. Rupanya kedai makan cina.
Ada ramai budak-budak sekolah dekat dalam kedai makan tu. Aku cakap dekat kawan aku.
“Aku tunggu hujung bagunan tepi sungai, aku tak merokok dan aku geli la duduk sini, sebab kedai makan cina”.
Aku jeling tengok selamber je depa semua teguk teh O ais sambil makan roti bakar dan merokok dekat kedai tu. Aku duduk hujung bangunan tepi sungai Sungai Petani yang busuk dan hitam airnya. Aku buka beg ambil bekal yang aku beli tadi dan makan.
Tak sampai 5 minit aku nampak sekumpulan orang Jabatan Agama serbu kedai tu. Aku tengok ramai yang bertempiaran lari, macam warga Bangladesh yang tak ada dokumen di serebu pihak berkuasa tempatan.
Aku yang baru saja habis makan dan minum terus lari menyelamatkan diri. Aku terus berlari ke sekolah. Masuk ke sekolah terus diamkan diri.
Rupa-rupanya budak-budak yang ditangkap tadi dibawa ke sekolah dengan van jenazah. Cikgu membuat perhimpunan khas. Habis semua nama-nama budak ponteng puasa yang dapat melarikan diri dipetik oleh depa yang kena tangkap tu.
Ada juga budak-budak yang dapat melarikan diri dan langsung tak masuk ke sekolah, tapi cikgu sudah kenal pasti nama-nama dan kelas.
Aku terlepas, kawan-kawan aku tak sebut pun nama aku, mungkin depa beranggapan bahawa aku berpuasa kot. Mak bapak depa dipanggil mengadap cikgu dan ustaz dari Jabatan Agama.
Berita ini sampai pada pengetahuan mak ayah aku, ayah tanya aku..
“Awat hang tak kena tangkap sekali sama dengan depa?”.
Aku jawab…
“Tengok kedai makan cina pun dah naik geli,tak mungkin MAT akan ikut depa ponteng puasa sekali. MAT terus pi lepak dekat City Point lagi best kena aircond sejuk”. Ayah tampar belakang kepala aku dengan manja.”
Ayah pesan,
“Lepas ni hang pi sekolah macam biasa, jangan pi awal. Naik bas pukul 11.50 pagi.”
Sejak peristiwa itu aku dah serik dan tak mahu lagi ikut cakap syaitan kecil yang tak diikat tu.
Takut nanti terperangkap dengan kebodohan depa.
Tahun tu sehari aku ponteng puasa, yang sangat menginsafkan diri aku selamanya. Sejak pada peristiwa itu juga aku simpan rahsia ini sampai hari ini. Kini segalanya telah aku bongkarkan. Maafkan aku semua.
“Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.”
Nota kaki :
Mesti hangpa tanya sama ada aku ganti balik tak puasa yang aku tinggalkan tu?
Jawapannya. “Aku dah ganti puasa yang aku tinggalkan tu” hahahaha…
– MAT KALUT (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit