I try my best to make it short and clear.
Aku seorang wanita yang jika dilihat secara zahirnya nampak iman penuh didada, sabar dan tabah orangnya. Aku ulang, secara zahirnya. Zahir sahaja. Itulah aku. Hakikatnya tiada siapa yang tahu rapuhnya iman ini saat diuji.
Mari aku bawa kita semua, throwback kurang sebulan yang lalu…….
Ramadan disambut dengan penuh semangat dan harapan. Aku meletakkan hajat yang besar untuk Ramadan kali ini. Aku yakin Ramadan bulan terbaik untuk aku mohon sungguh2 pada Allah agar kami dikurniakan zuriat setelah 5 tahun menanti. Peluang ini aku wajib gunakan sebaik mungkin kerana keyakinan pada Allah itu sememangnya tiada tandingan.
Harapan ini bukan sekadar harapan. Ia bagai satu keyakinan luar biasa yang aku akan masuk syawal dengan khabar aku berbadan dua. Jika diikutkan hati mengarut aku, 10 Ramadan pertama sahaja aku dah rasa nak declare aku mengandung tanpa hujung pangkal. Kemarut tak tentu pasal. Ya itulah aku (tepuk dahi)
Alhamdulillah aku lalui Ramadan dengan perancangan yang rapi. Melakukan sunat yang ada, qiammullail dan berdoa hampir setiap masa. Waktu-waktu mustajab? Takyah cerita. Ia lebih dari itu. Aku ulang doa yang sama. “YaAllah sampaikanlah kepada kami khabar gembiraMu akan kehadiran zuriat yang soleh dalam rahim ini dibulan Ramadan yang penuh keberkatan ini”.. ulang. Ulang dan ulang.
Malam berganti malam. Keberkatan Ramadan terus diburu. Malam harinya, aku menadah tangan bermunajat pada Allah disepertiga malam, merayu dan merintih. Satu ungkapan yang menutur dibibir menyentuh hati sendiri setiap kali diungkap, pasti menitis air jernih dipipi.
“YaAllah janganlah disebabkan dosa-dosaku ya Allah, Engkau tidak mahu mendengar rintihan dan rayuanku ini.. aku campakkan setinggi gunung harapanku hanya kepadaMu ya Allah. Kasihanilah kami ya Allah”…… menggeletar tangan mengharap Allah mengabulkan hajay dihati.
Sebenarnya, usaha dan munajatku pada Allah terlalu kurang jika dibandingkan dengan usaha suamiku. Aku yakin dia lebih mengharap. Sebenarnya tarikh 19 Ramadan merupakan tarikh untuk kami teruskan few step process TTC kami disebuah hospital. Tapi aku minta tangguhkan dulu kerana aku yakin, Allah akan kabulkan permintaanku dalam Ramadan kali ini.
Hari berganti hari. Ramadan silih berganti dan bakal pergi. Aku lewat period 3 hari yang bukan satu kebiasaan. Harapan makin menggunung. Namun dukacita, malam Ramadan 22 aku sahih tidak mengandung. Lebih menyayat hati, pakaian untuk qiamullail malam itu suami dah siapkan sementara aku masak untuk berbuka petang itu. Memang dari awal Ramadan aku minta suami doakan agar aku boleh puasa penuh tahun ni.
Aku maklum pada suami aku tidak dapat qiamullail bersamanya malam itu. Kepalaku diusap lembut dahi dicium. “Tak apa, nanti abang akan doakan untuk kita ya”. Aku senyum. Malam itu aku cuba lelapkan mata dengan tenang. Tapi, hati rasa kecewa tidak terkira. Lebih bisa dari sembilu menyucuk luka. Aku cuba sedaya mungkin menyembunyikan rasa hati.
Malam itu, air mata mengalir dipipi membasahi pipi dalam malam nan sepi. Aku cuba positif dan gagahi diri. Namun tewas bila suami seakan mengetahui apa rasa hati. Suami memujuk penuh hikmah. “Tak baik macam ni. Allah merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita. Kamu ragu-ragu dengan kasih sayang Allah?…..”
Air mata mengalir laju.
Andai suami tahu aku tahu apa rasa hatinya, pasti air matanya juga tidak mampu dibendung . Aku tahu kecewa suami jauh lebih besar dibanding aku.
Malam itu aku menangis semahunya. Merasa kecewa. Hati jahat membentak-bentak. Namun hati baik masih kuat membisik
“bagaimana dikata beriman jika tidak diuji”
“Inilah masanya semak keikhlasan hati dalam ibadah”
“Didunia Allah tunjukkan hajat itu tidak dimakbulkan, bayangkan bagaiman saat mati nanti segala amal didunia yang dikira banyak tidak terhitung, tiada nilai disisiNya”
Menangislah aku. Meraunglah hati.
Aku tidak memerlukan sesiapa untuk memujuk hati ini. Cukuplah beri aku masa untuk kembali rasional.
Berlalu malam. Suami sahur sendiri tanpa mengejutkan tidurku. Aku terjaga saat azan subuh berkumandang. Mataku bengkak menangis sepanjang malam. Aku bangkit, mandi dan bermuhasabah semahunya.
Teringat pesan seorang ustaz…
Ada seorang hamba soleh berdoa merintih memohon kepada Allah, tapi tidak dikabulkan doanya. Bila ditanya malaikat, Allah jawab aku suka mendengar suaranya merintih kepadaku. Lalu aku tangguhlan permintaannya.
Berbeza dengan seorang hamba yang kufur akan banyak perkara. Apabila memohon pada Allah, lalu pantas Allah megabulkan hajatnya kerana tidak mahu mendengar suara orang yang dimurkainya berulang kali.
Sedarlah aku. Terjentik hati. Insaflah diri.
Kekuatan dan semangat baru terus berkobar. Aku yakin Allah pasti mengabulkan hajat kami tepat pada masanya. Fahamlah aku, Allah sudah makbulkan hajatku untuk meletakkan cinta Allah dalam hati ini melebihi segalanya. Inilah jafiah teristimewa dalam Ramadan kali ini.
– Aisyah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit