Rasa Bersalah Pada Anak

Hi nama aku Sha. Aku ibu kepada 5 orang anak. Aku menulis di sini sebab aku sentiasa dibayangi rasa bersalah pada anak aku yang sulung aku namakan dia As.

Oleh kerana aku melahirkan anak rapat² jarak 1 tahun setengah setiap seorang jadi aku merasakan As adalah anak yang paling kurang kasih sayang. Memandangkan aku banyak menjaga adik²nya. Dan dia, sentiasa beralah.

Aku sedar sikapnya yang murung, tidak ceria, rendah diri dan pendiam mungkin disebabkan oleh aku.

Waktu dia masih kecil dan adik² juga kecil aku sangat penat. Terlalu penat. Disamping mengurus rumah, memasak dan menjaga anak² aku juga berniaga.

Perniagaan aku ketika itu memang terlalu bagus hingga aku terlalu sibuk. Aku sering marah², stress kerana terlalu penat menguruskan semuanya.

Suami aku ketika itu banyak culas dalam urusan menjaga anak. Aku masih muda dan bodoh ketika itu jadi banyak isu yang tak selesai ketika itu.

As pula pernah menjadi mangsa kemarahan aku bila aku penat, stress atau sedang marah pada suami aku.

Yang paling menghantui aku, aku pernah memukul As hingga terjatuh di dalam bilik air. Mungkin waktu itu usianya 3 atau 4 tahun. Mujurlah dia tidak cedera.

Setelah aku waras, aku rasa sangat berdosa, rasa bersalah dan rasa sedih atas apa yang aku lakukan pada As. Aku tidak sengaja nak pukul dia atau sakiti dia. Hanya waktu itu kewarasan aku hilang.

Aku juga pernah membiarkan dia merayap dengan pampers dipenuhi najis hingga terbocor kerana waktu itu aku sibuk berniaga dan tak sedar anak aku membuang.

Semua itu menghantui aku. Aku juga masih terbayang wajahnya yang sangat comel ketika kecil. Dan aku sia² kan saat indah itu kerana tak menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang.

Aku ketika itu terlalu mengejar duit, terlalu inginkan hidup yang senang memandangkan suami aku tak mampu nak beri aku nafkah. Dan aku juga nak selesaikan hutang belajar aku ketika itu. Buat aku lupa semuanya.

Kini As sudah remaja 13 tahun. Walau semua itu berlalu ketika dia masih kecil tapi hingga kini aku tidak dapat memaafkan diri aku kerana pernah menyakitinya sewaktu dia kecil.

Demi Allah aku sayang anak As. Aku tiada niat menyakitinya dengan sengaja. Melainkan keadaan aku waktu dulu sangat berbeza, sangat penuh tekanan. Aku hilang pertimbangan.

Selepas hutang² aku selesai, aku ambil keputusan untuk memperlahankan bisnes. Aku kini sudah tidak sesibuk dulu. Sudah tidak tertekan macam dulu. Aku nak baiki balik hubungan aku dengan As.

Walau masa tak dapat nak undur balik, aku berjanji untuk tak menyakiti dia lagi. Setiap hari aku cuba menjadi ibu yang baik buat As. Aku cuba untuk gembirakan dia. Aku cuba baiki hubungan aku dengan dia.

Doakan aku. Agar aku dapat menebus kesalahan aku waktu dulu.

Untuk ibu², aku tak dapat cakap kena banyak sabar ketika didik anak, jaga anak sebab kadang² dalam hidup ni ada benda yang terjadi dan kita hilang kawalan macam apa yang jadi dekat aku.

Aku cuba maafkan diri aku walaupun aku belum mampu. Aku tak berani nak minta maaf pada As kerana aku yakin dia tak ingat apa yang terjadi pada dia waktu kecil dan aku juga tak mahu dia membenci aku.

Dulu aku dapat capai impian aku untuk ada duit, setel hutang ketika As masih kecil tapi aku kehilangan memori indah bersama As.

Aku sayang As. Aku berdoa pada Allah agar memberikan hari² mendatang adalah hari yang ceria dan bahagia buat As. Aamiin…

– Sha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *