Rasa Ini…

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada admin yang menyiarkan confession ini. Maafkan saya jika saya tidak pandai mengarang.

Nama saya `R` dan berumur 30-an. Masih bujang dan tinggal bersama keluarga. Saya merupakan anak perempuan tunggal dalam 5 adik-beradik.

Saya mempunyai kerja tetap tetapi bukan dalam bidang profesional walaupun mempunyai ijazah. Hal ini kerana saya bekerja di sebuah company yang kecil sahaja.

Kehidupan harian saya hanya berkisar pergi kerja dan balik kerja setiap hari. Kadang-kadang saya berasa sangat bosan dengan rutin kehidupan yang sama sahaja.

Umur sebaya saya ini sepatutnya sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak. Namun telah ditakdirkan sehingga kini saya masih belum dikurniakan jodoh.

Kadang-kadang saya berasa redha dan pasrah tapi pada masa yang sama teringin juga untuk mendirikan rumah tangga seperti orang lain.

Ditempat kerja saya hanya ada beberapa orang staf sahaja dan ‘circle’ di pejabat membuatkan saya berasa sangat bosan.

Teringin juga untuk bertukar pekerjaan namun masih belum ada rezeki. Sudah banyak permohonan kerja yang saya hantar dan temuduga yang saya hadiri namun masih tidak berjaya.

Saya ingin bertukar kerja bukan kerana disebabkan bosan, tetapi saya ingin meluaskan lagi pergaulan dan meningkatkan lagi kemahiran dan gaji saya.

Kadang-kadang saya terfikir mengapa saya belum bertemu jodoh, salah satunya adalah kerana pergaulan saya sangat terhad.

Pada awal saya memulakan tugas di tempat kerja sekarang saya telah bertemu dengan bekas ‘partner’ bos ditempat kerja saya.

Saya namakan dia sebagai ‘Mat’. Kami hanya bertemu sahaja dan tidak pernah bertegur sapa. Mungkin sekarang umur dia baru memasuki 40-an.

Pertama kali saya melihat dia hati saya berkata “Wow boleh tahan hensem bekas ‘partner’ bos aku ni, nampak muda lagi rupanya, ingat dah umur 50-an”.

Yelah sebelum ni saya hanya mendengar sahaja cerita berkaitan dia dari mulut staf-staf lain. Tapi sayangnya masa tu saya dapat tahu yang dia sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak.

‘Mat’ ada beberapa kali datang ke pejabat untuk bertemu dengan abang Ros iaitu salah seorang staf yang paling senior di pejabat kami.

Hubungan abang Ros dan ‘Mat’ memang rapat kerana abang Ros ada bercerita kepada saya yang si ‘Mat’ selalu datang beraya ke rumahnya bersama anak-anak dan isterinya.

Kadang-kadang ‘Mat’ juga akan singgah di pejabat kami sekiranya dia pulang ke kampung.

Abang Ros juga memberitahu saya bahawa ‘Mat’ berhenti kerja di sini kerana telah mendapat tawaran kerja di Putrajaya berdekatan dengan isterinya.

Sebelum ini ‘Mat’ tinggal berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya kerana isterinya lebih dahulu mendapat tawaran pekerjaan disana.

Pada tahun 2021 isteri ‘Mat’ mengandung 5 bulan. Pada masa tersebut kes Cov1d19 masih tinggi dan isterinya telah dijangkiti Cov1d19.

Kami semua terkejut dengan berita tersebut. Abang Ros memberitahu kami ‘Mat’ telah menghantar mesej di group-group WhatApps supaya mendoakan isterinya cepat sembuh.

Namun keadaan isterinya agak lemah dan kritikal dan terpaksa ditidurkan. Bayi dalam kandungannya juga terpaksa dikeluarkan untuk menyelamatkan ibunya.

Setelah berbelas hari dalam keadaan ditidurkan dan kadar oksigen isterinya makin menurun akhirnya dia tidak dapat diselamatkan.

Kisah ini lebih kurang sama seperti arwah Siti Sarah dan Shuib. Tarikh kematian arwah isterinya juga hanya selang beberapa hari sahaja dengan arwah Siti Sarah.

Kami semua berasa sedih dan tidak menyangkakan perkara ini akan berlaku.

Untuk pengetahuan semua, arwah isteri ‘Mat’ ini juga dikenali oleh staf di tempat saya bekerja. Semua orang memuji tentang kebaikan arwah isterinya.

Selepas beberapa hari isterinya meninggal ‘Mat’ pulang ke kampung halaman untuk menyelesaikan beberapa hal berkaiatan harta arwah isterinya. ‘Mat’ ada singgah di pejabat kami berjumpa dengan abang Ros.

Pada masa itu keadaan ‘Mat’ sangat sedih dan die meluahkan perasaanya kepada abang Ros.

Kebetulan mereka hanya berborak di ruang depan pejabat kami berdekatan dengan meja saya. Saya melihat dia meluahkan perasaan dalam keadaan sebak dan hampir menangis.

Matanya kelihatan merah. Sekali sekala saya mencuri pandang wajah ‘Mat’ yang sedang rancak berborak dengan abang Ros.

Dalam saya mencuri pandang kearah ‘Mat’ tiba-tiba mata kami saling bertemu. Saya terkejut dan buat-buat memandang kearah lain…

Bersambung……

– -R- (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *