Rasa Kasihan dan Ganjaran

Assalamualaikum semua. Aku perkenalkan diri aku Namira, lagi beberapa tahun nak masuk 3 series.

Selama ni aku jadi silent reader IIUMC je, aku tak pernah komen di FB. Aku seronok baca perkongsian dan pengalaman masing-masing, mana yang baik aku ambil dan amalkan.

Pertamanya aku mohon maaf kalau penulisan aku ni tak menarik sebab aku memang tak pandai menulis dan bercerita.

Dah lama aku nak share story aku ni tapi aku tak ada keyakinan untuk mengarang. Tapi harini aku nekad juga sebab aku akan ingat peristiwa ni sampai bila-bila.

Pejam celik dah masuk tahun ke-empat aku bekerja di company aku sekarang ni. Aku start kerja tahun 2018. Sebelum dapat kerja ni kira-kira dalam setengah tahun aku menggangur lepas tamat latihan praktikal.

Dalam tempoh tu banyak resume aku hantar, pergi pameran kerjaya dan beberapa interview. Aku mengharap dapat panggilan semula namun hampa. Kawan-kawan aku semua dah dapat kerja.

Aku terdesak dan mula tertekan, dalam bilik menangis persoalkan diri. Aku mula salahkan diri sendiri. Aku seorang yang introvert, mempunyai personaliti yang tidak menarik dan social skill yang lemah.

Apa yang aku ada hanyalah dokumen pencapaian akademik yang cemerlang. Jadi aku tahu susah untuk aku dapat kerja. Sampai tahap aku fikir untuk mohon dan terima saja apa-apa kerja yang ada.

Satu hari kawan baik aku ajak teman dia keluar pergi beli barang. Dia ambil aku kat rumah kemudian berhenti singgah di stesyen minyak. Kawan aku keluar isi minyak dan aku tunggu dalam kereta.

Masa tu aku terpandang seorang pakcik tua yang lebih berumur dari ayah aku. Pakcik tu berdiri mundar mandir di kaki lima dengan bungkusan jualan keropok kering.

Terdetik dalam hati aku.. ‘kasihannya pakcik ni dalam berpanas terik jual keropok di sini’. Aku perasan memang tak banyak kereta di situ. Aku panggil pakcik tu dan aku beli keropok dia.

Pakcik tu nampak terharu dan bersyukur sangat sambil dia menadah tangan mendoakan aku dimurahkan rezeki.

Sejujurnya masa tu aku ada teragak-agak sebab simpanan aku dah berkurang dan aku tak perlu pun keropok tu. Tapi aku betul-betul tak sampai hati tengok pakcik tu. Dalam perjalanan aku ikhlaskan hati dan seronok dapat bantu pakcik tu.

Esoknya kakak aku bagitahu kawan dia ada offer kerja sebab ada staff berhenti mengejut jadi perlukan pengganti. Allahu, cepat betul Allah bagi ganjaran.

Semasa dalam interview tiba-tiba aku ada keyakinan yang luar biasa. Masa tu juga aku diterima dan perlu mula berkerja selepas cuti tahun baru cina.

Walau perkerjaan aku bukanlah dalam bidang aku, atau gaji yang setaraf kelayakan namun aku bersyukur sangat. Belum setahun bekerja aku dapat join company trip ke luar negara pada musim sejuk.

Kawan-kawan dan keluarga asyik suruh aku cari kerja yang setaraf kelayakan dan gaji yang lebih tinggi. Tapi hanya aku sendiri yang tahu apa yang aku nak dan kemampuan aku.

Raya Cina tahun ni genap tiga tahun aku bekerja disini dan aku bersyukur dapat bersama rakan sekerja yang sangat baik, bos yang pemurah dan suasana kerja yang seronok. Itu pun rezeki bagi aku yang serba kekurangan.

Jadi apa yang aku nak sampaikan dari pengalaman aku adalah, bila kita berhajatkan sesuatu, mohon pada Allah S.W.T dan yakinlah dengan kekuasaan-Nya.

Jangan berputus asa dan sentiasa bersangka baik. Rezeki datang dalam pelbagai cara, sama ada cepat atau lambat.

Sekarang aku tengah belajar untuk mendekatkan diri kepada Pencipta. Aku bersyukur atas rezeki yang diberikan-Nya.

Aku juga nak ucapkan terima kasih kepada penulis sebelum ini yang berkongsi tentang selawat dan sedekah. Aku harap dapat aku dapat istiqomah.

Sekian,

– Namira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *