Entah dari mana hendak dimula. Untuk sebuah cerita seribu rasa.
Januari 2018, permulaan rasa sakit di bahagian pinggang. Tersangat sakit hingga hanya mampu berbaring sepanjang masa. Sakit yang menjalar ke bahagian paha. Disusuli Bersama dengan heavy bleeding yang berpanjangan.
Sakit hilang selepas seminggu bertahan dengan panadol. Berulang kembali untuk bulan-bulan berikutnya dengan kitaran yang sama.
Mei 2018, berjumpa dengan doctor. Dibekalkan ubat tahan sakit dan ubat untuk otot kerana doctor menjangkakan posture duduk sewaktu bekerja yang menyebabkan kesakitan berpanjangan itu.
Penghujung tahun yang sama, sakit kembali berulang malah lebih parah. Terasa sakit sewaktu bekerja. Sakit yang tak mampu lagi dilumpuhkan oleh berbiji-biji ubat.
Pulang ke rumah pukul 11 malam terus tertidur. Tersedar pada pukul 1 pagi. Bangun makan tengah hari merangkap makan malam dan supper. Sambung tidur.
Bangun pukul 5.30 pagi untuk pergi bekerja. Sewaktu bangun terus termuntah tanpa sempat berlari ke tandas. Muntah berlanjutan sehingga tengah hari tanpa henti. Tak mampu minum apatah lagi makan.
Selepas zohor, gagahkan diri panggil grab untuk ke klinik. Di klinik, muntah lagi. Dr melakukan pelvic scan. Dengan senyuman yang entah apa gejolak rasa yang disembunyi, “Kita nampak ada cyst sebesar 4 x 5 cm dekat dengan ovary sebelah kiri,” terang dr.
Aku terdiam. Entah apa rasa yang hadir waktu itu. Kosong yang sakit. Atau sakit yang kosong.
“Saya kena buat apa?” naif sungguh soalan aku waktu itu.
“Kena buang. Sebab awak muntah kita takut cyst ni terbelit,”
Setelah melakukan urine test, dr dapati ginjal aku normal tetapi dehydration teruk.
Dr bagi pilihan samada mahu terus refer ke hospital dan hospital akan buat temu janji untuk pembedahan atau balik ke rumah dan cuba makan ubat tahan sakit yang akan dibekalkan, mahu dimasukkan air atau cuba minum air garam?
“Saya nak balik,” ringkas jawapan aku waktu itu.
Berbekalkan ubat tahan sakit dengan beberapa paket serbuk ORS aku balik.
Entah. Mungkin sebab terlalu sakit hingga aku tidak pasti pilihan apa yang perlu dibuat. Atau mungkin aku perlukan momen untuk cuba menghadam berita di luar duga. Atau mungkin juga, aku masih dalam denial.
Dan sesungguhnya ubat tahan sakit dan air garam itu tidak lagi membantu buat ketika ini. Aku masih juga muntah berterusan sehingga tiada lagi sisa yang mampu dikeluarkan.
Aku menahan sakit hingga keesokan pagi. Kembali ke klinik yang sama tepat pukul 10 pagi. Minta surat rujukan ke hospital.
Sewaktu azan zohor berkumadang aku sampai di bahagian kecemasan hospital. Diringkaskan, berjumpa dengan dr, darah dan urine diambil untuk rule out renal problem dan pregnancy.
Selepas lebih kurang sejam menunggu, result darah keluar dan aku dirujuk ke O & G selepas mendapati buah pinggang normal.
Di bahagian O & G, dr bertanya detail clinical history. Dr tanya skala sakit dari 1 hingga 10. Dan kelakarnya, aku dengan yakin jawab, “8,”.
“10 sakit bersalin. Skala sakit awak 8?”
Aku sedikit tergelak dalam sakit. Saya tak pernah bersalin manalah saya nak tahu. “Entah, 7 kut? Tapi saya sakit. Duduk sakit. Baring sakit. Tak buat apa-apa pun sakit.”
Dr scan lagi sekali dan dapati rahim kelihatan bengkak dan cyst berada berdekatan ovary tetapi bukan di dalamnya.
Seorang lagi dr pakar datang untuk verify. Dr itu mengarahkan supaya aku dipantau dalam masa 2 jam untuk melihat samada sakit masih kuat atau berkurangan kerana dia tidak menggalakkan melakukan emergency operation kerana waktu sudah hampir malam.
Jam 6.30 petang, aku secara rasminya warded. Sehelai sepinggang. Sendirian.
Dua jam kemudian, nurse datang pantau dan bertanyakan tahap kesakitan. Dan waktu tu sakit sedikit kurang.
Dr suggest untuk buat pembedahan pukul 8 pagi keesokan harinya dan mengarahkan aku makan kerana sudah 2 hari tidak menjamah apa-apa makanan dan minuman.
Pukul 4 pagi aku terjaga dari tidur. Kesakitan yang amat. Aku menangis. Nurse panggil dr. Dan masih aku ingat lagi, dr tergesa-gesa datang dengan masih menyarung baju pembedahan melihat keadaan aku.
Tetapi pembedahan untuk aku tetap tidak boleh dilakukan segera kerana aku sudah makan malam tadi. Dr hanya mampu beri ubat tahan sakit melalui iv.
Keesokan harinya, pukul 7.30, dr pakar datang. Memeriksa keadaan aku. Perut sudah mengeras. Dr risau. Tapi badan aku panas. Apabila cek suhu 38.30C.
Pembedahan terpaksa ditunda sementara dr memberikan ubat untuk kebahkan demam. Pukul 10 suhu diperiksa sekali lagi. 37.80C. sedikit menurun.
Aku ditolak ke bilik pembedahan. Diberikan ubat tidur dan bius seluruh badan.
Diringkaskan, pukul 2 lebih aku sedar setelah berada di wad. Twisted paratubal cyst bersaiz 4 x 6 cm berjaya dikeluarkan.
Trauma? Ya. Sangat.
Setelah 2 tahun, symptom datang lagi. Tapi mungkin aku yang tidak belajar dari masa lalu. Atau mungkin takutkan kenyataan, sehingga mengambil masa yang begitu lama untuk cari jawapan.
Penghujung 2020. Aku didiagnos menghidapi Polycystic Ovarian Cyst (PCOS).
Entah apa lagi rasa yang tersisa.
Untuk terima kenyataan yang kita tak normal seperti perempuan lain itu tak mudah. Perlu masa. Waktu bertenang.
Kesan sampingan ubat-ubatan yang mengubah mood. Aku jadi cepat marah. Sedih tiba-tiba. Cepat penat. Stress. Terpaksa kawal makan dan minum sebab aku nak sihat. Macam orang lain.
Kesan ubat hormone yang menyebabkan period pain dan heavy bleeding yang amat menyiksa.
Perjuangan ini baru bermula. Masih Panjang dan jauh. Entah apa pengakhiran. Banyak yang terpaksa dikorbankan. Banyak.
Yang mungkin tak siapa akan faham.
Baru hendak belajar berkawan dan beri ruang. Baru hendak bina kekuatan berterus terang tentang masa silam. Diuji lagi dengan ujian yang tak ringan.
Sebelum sempat kasih berputik aku memilih untuk meletak noktah pada cerita yang belum sempat bermula. Kerana tahu di hadapan nanti terbentang uji dan duga yang kesannya bukan hanya pada satu jiwa.
Biar aku berjuang dulu. Biar sendiri. Aku akan cuba kuat begini. Perbaiki kelemahan diri. Rawat diri sendiri.
Semua orang berhak memilih yang terbaik. Mungkin orangnya bukan aku.
Mungkin suatu hari nanti, bila Allah izin aku sihat kembali, kita akan jumpa lagi dengan cara dan mungkin orang yang berbeza. Dan pasti ceritanya juga tak sama. Dan waktu itu kau akan faham kenapa.
Sebab aku percaya takdir akan indah pada waktunya. Tak banyak aku pinta. Doakan aku kuat. Doakan aku sihat.
– Syifa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit