Rasukan Selepas Kemalangan

[Yang baik dijadikan tauladan, yang jahat jadikan sempadan– Admin]

Hai, nama aku Kaktus, aku nak cerita sedikit kisah pengalaman keluarga aku dengan makhluk ghaib ni. Aku cerita secara ringkas je sebab panjang sangat episodnya.

Kisahnya bermula ketika adik aku bernama Ani dan suaminya bernama Amin menunggang motosikal, lalu kemalangan.

Alhamdulillah, Ani hanya cedera ringan tetapi Amin mengalami patah peha.

Kejadian itu berlaku ketika musim pkp, jadi kami sekeluarga tidak dapat menziarahi Ani kerana Ani dan suaminya berada di negeri pantai barat manakala aku dan keluarga aku di negeri pantai timur.

Dipendekkan cerita, setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, Ani dan Amin mohon merentas negeri untuk dapatkan rawatan di hospital pantai timur dan lebih dekat dengan keluarga.

Ibu bapa aku yang membawa pulang Amin dan Ani ke kampung kami.

Amin dimasukkan ke hospital kerana kecederaan di pehanya masih belum pulih. Ani lah yang menemani Amin sepanjang berada di hospital.

Pada pukul 1 pagi, Amin melihat di luar tingkap ada kanak-kanak bermain baling selipar, ketika itu Amin berada di wad tingkat 4.

Amin bertanyakan Ani samada Ani nampak atau tidak kanak-kanak itu. Ani beritahu dia tidak nampak.

Lepas itu, nurse masuk, Amin bertanya nurse, nampak tak kanak-kanak yang bermain selipar itu. Nurse beritahu dia tidak nampak,

Nurse cakap ada ja pesakit yang nampak kanak-kanak yang bermain baling selipar itu, ada kisah dahulu, kanak-kanak jatuh bangunan asbab main selipar. Muka Ani dan Amin terus berubah jadi pucat lesi.

Pada pukul 2 pagi, Amin dirasuk saka harimau, mata Amin berubah menjadi tajam,

Ani memanggil dua orang nurse lelaki, ketika nurse lelaki bacakan ayat kursi, Amin menjadi semakin marah hingga turun dari katil, tambahan badan Amin yang besar dan tinggi ibarat macam Hulk yang mengamuk bertukar warna hijau.

Ramai nurse memegang Amin, Amin terpaksa diikat dan dicucuk ubat tidur. Keesokan harinya, pada waktu maghrib, Amin sekali lagi dirasuki saka harimau, ayah Amin terpaksa memanggil perawat.

Perawat memberitahu, Amin terkena saka harimau di tempat Amin kemalangan. Di situ kerap berlaku kemalangan. Kebiasaanya selepas Amin kerasukan Amin akan kepenatan dan tertidur.

Pada pukul 3 pagi, ketika Ani sedang lena diulit mimpi, Ani dikejutkan dengan suara yang lembut, 

“Cu.. Cu.. Bangun cu, misi nak mari..”

Ani terkejut melihat suaminya memanggil dirinya cu. Suara itu berkata, ni bukan Amin ni.. Ni nenek.. Nenek memberitahu, “kesian Amin dia sakit sangat ni” dan memberitahu dia adalah jin Islam.

Ani terpinga-pinga dan ketakutan.. Ani terus menelefon ibuku meminta ibuku temannya di hospital.

Keesokkan harinya, ibuku turut menemani Amin dan Ani. Sekali lagi, pada waktu maghrib Amin dirasuki saka harimau. Amin makan dengan lahap macam orang tak makan seminggu.

Kemudian, mengaum macam harimau, ibuku menjerkah makhluk itu, “Hei, mu keluar sebelum aku baca ayat kursi”, bergegar wad dengar suara ibuku. 

Kemudian, nenek pula masuk dalam tubuh Amin, dia memberitahu, dia ingin merawat Amin. Mak cik di katil sebelah yang menjadi peneman pesakit itu mengaku dirinya perawat juga.

Lalu makcik itu memarahi nenek supaya jangan ikut campur urusan anak cucu Adam. Bergaduh mulutlah nenek dengan makcik katil sebelah. Akhirnya, dileraikan dengan suntikan ubat tidur oleh doktor.

Selepas kejadian itu, Amin dan Ani dibenar keluar oleh pihak hospital. Amin diminta membuat rawatan Islam dan memenuhi temujanji hospital sahaja. Di rumah aku, Amin dirawat oleh Pak Tam.

Pak Tam membuat perjanjian dengan saka harimau, saka harimau tak akan mengganggu Amin lagi dengan syarat diberi makan pulut kuning dan ayam panggang. Ibu aku pun buatlah pulut kuning dan ayam panggang. Dimakannya dengan lahap sekali.

Tetapi, saka harimau kencing Pak Tam je dia tetap mengganggu Amin. Bukan setakat saka harimau, jin- jin lain pun turut mengganggu Amin kerana laluan dalam tubuh Amin senang keluar masuk dah.

Tubuh Amin semakin lemah, setiap kali dirasuk Amin akan penat dan tertidur.

Pak Tam pun mengalah kerana tak mampu nak pulihkan Amin. Ibu aku pula meminta kami sekeluarga baca Yassin disaat Amin mula dirasuk.

Ketika Amin dirasuk Amin akan mengaum kemudian nenek jin Islam itu pula akan masuk dan baca ayat- ayat al quran.

Terkumat kamit Amin membaca ayat Al-Quran. Saka harimau akan lemah dengan bacaan ayat Al-Quran.

Pada waktu maghrib, Amin dirasuk jin lagi, jin yang jahat, jin itu cakap, Amin tengah sakit ni, lalu mencucuk dengan tangan Amin sendiri bahagian yang sakit itu, sambil ketawa.

Kebiasaan Amin akan letakkan ais untuk mengurangkan sakit di kaki. Lalu, ibuku marah dan menjerkah jin tersebut suruh keluar. Jin itu ketawa.

Ibuku baca ayat kursi dengan nada yang tinggi. Jin itu marah semakin kuat dia mencucuk kaki Amin yang sakit. Kemudian, nenek pula masuk, seolah-olah berlawan.

Nenek bacakan ayat Al-Quran dengan lembut dan tenang hingga jin jahat itu keluar. Nenek pesan pada ibuku jangan jerkah dan marah, baca Al-Quran dengan tenang dapat melemahkan jin jahat itu. Nenek pun keluar.

Tak lama selepas itu, Amin dimasuki jin perempuan. 

Katanya “saya ni dari kampung B, saja datang meronda-ronda, emm.. Sedap duduk dalam tubuh dia ni, banyak ruang tapi dia ni sakit. Takpelah, saya keluar dulu”. 

Pada masa itu, ayah aku keluar rumah pergi mengambil Pak Awang iaitu perawat Amin.

Tak lama selepas itu, masuk pula jin Jepun berbahasa pelat Melayu,

“Saya orang Jepun, saya sudah lama tinggal di Malaysia. Saya mati lemas tahun 70 an, keluarga saya dah balik Jepun. Saya rindu keluarga saya… Saya ada anak perempuan. Saya lihat agama Islam ni bagus, saya rasa mahu masuk Islam”. 

Ibu saya jawab, “mari saya ajar syahadah, baru masuk Islam”. Lalu jin Jepun ikut syahadah dengan ibu aku.

Jin Jepun cakap “Oh, saya sudah rasa tenang. Terima kasih. Saya keluar dulu.”

Tak lama selepas itu, Pak Awang sampai, jin askar Jepun pula masuk ke dalam tubuh Amin. Tiba-tiba Amin buat gaya macam askar, siap pegang senapang dan berbahasa Jepun.

Pak Awang menyuruh jin itu keluar, tapi dia buat gaya ingin menembak Pak Awang dan marah Pak Awang dalam bahasa Jepun.

Dia tak faham apa yang Pak Awang cakap, Pak Awang menggunakan bahasa Isyarat keluar dengan menunjukkan pintu. Pak Awang bacakan ayat Al-Quran lalu jin itu keluar.

Pada pukul 1 pagi, Ani kejutkan ibu aku, Amin dirasuk lagi. Tengah2 malam Amin cakap pasal dajal dah keluar. Kali ini nenek berlawan dengan jin tersebut.

Selepas itu, ibu aku bersembang dgn nenek. Nenek beritahu dia dah lama suka Amin, sebab Amin suka tolong orang. Dia beritahu pasal adik beradik aku dan ibu aku ni baik.

Dia beritahu juga pasal aku, masa tu aku tengah bertunang, katanya tunang aku tu baik. InsyaAllah jadi kahwin. Mujur aku tak jadi yang sebelum ni, yang sebelum ni panas baran.

Seronok ibu aku bersembang dengan nenek sampai tak sedar itu jin. Nenek cakap, manusia tak boleh tidur lewat nantikan darah tinggi. Sejak peristiwa itu, ibu aku setiap hari bertahajud, doa ibuku supaya Amin tak dirasuk lagi.

Dipendekkan cerita, Pak Awang telah memagarkan Amin dengan kalimah Allah. Sejak Pak Awang pagarkan Amin, Amin tak dirasuk oleh makhluk ghaib termasuk nenek hingga kini.

Akhir kata, setiap yang berlaku atas izin Allah dan yang menyembuhkan Amin adalah Allah.

Jadi bergantunglah kepada Allah. Janganlah meminta tolong selain Allah.

– Kaktus (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *