Raya Tanpa Ayah

Assalammualaikum. Kerja di negara orang menjadikan aku terpaksa beraya diperantauan tanpa keluarga disisi.

Sedihnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tetapi, kesedihan itu lebih terasa bila raya kali ini aku seperti tiada seorang ayah. Ya, ayah aku masih hidup cuma aku dah tidak di anggap anak olehnya.

Kisah bermula bila mana aku dapat tawaran kerja diluar negara. Ayah aku melarang pergi, kerana baginya kerja di negeri sendiri dengan gaji 1-2k sudah memadai. Dia ungkit semula dengan gajinya dulu RM350 pun dah mampu besarkan kami 3 adik beradik (cuma itu zaman bila?).

Aku berkeras nak pergi, kerana bagiku itulah permulaan untuk aku mengubah nasib keluarga ku yang miskin, bagi ku itulah doa ibuku yang dimakbulkan Allah dan itu lah doa-doa air mata ku yang Allah jawab.

Sebab utama aku nak pergi adalah untuk ibuku. Aku tak mahu dia susah, aku tak mahu dia lelah, aku tak mahu dia menangis lagi. Aku melihat susahnya ibuku, penatnya beliau menjadi tulang belakang keluarga, mencari rezeki untuk keluarga.

Aku pernah ikut ibuku berniaga, tidur di bawah payung gerai jualan beralaskan kain, tidur di atas parking lot dalam kesejukan. Bila hujan terpaksa bangun sebab lantai (tar parking lot kereta) basah. Aku merasa, aku melihat kesengsaraan ibuku, apatah lagi bila jualan tidak laku. Kesian penat lelah ibuku dengan sakit-sakit badan dan sakit lutut.

Ayah aku, dia tak nampak semua ini. Ayah sudah berhenti bekerja pada umur 48 tahun kalau tak silap aku sebab tidak sehaluan dengan supervisornya. Baginya, apalah sangat ibuku memelihara makan minum nya saat ini sebab dulu dia dah banyak menanggung keluarga. Bagi ku, ibu cuma memelihara biawak hidup di dalam rumah.

Sebab apa aku cakap macam tu? Ayah aku 24jam menghadap hp main game sampai ke pagi (azan zohor berkumandang masih tidur, solat jumaat tak pernah pergi), merokok berbatang-batang sampai habuk rokok bersepah diruang tamu, nak orang sediakan makan minum, pinggan mangkuk letak ja kat sinki.

Kalau orang rumah tak masak sanggup berlapar sepanjang hari lepastu marah-marah tiada orang mahu urus dia di rumah tu. Ayah juga selalu keluar dengan kawan-kawannya, lepak sana sini untuk urusan politik yang bagi aku tiada manfaat.

Kerana sikap ayah lah membuatkan aku malas nak masak dirumah, sengaja tak urus dia. Ibuku berniaga dari subuh hingga ke malam dan selalunya makan digerai jualan sahaja. Itupun terkadang bila ibu penat balik berniaga, ayah marah ibu sebab tak urus makan minumnya, sibuk berniaga ja katanya. Sikap ini yang membuatkan aku semakin jauh dengan ayah ku.

DIA BUAT IBUKU MENDERITA, DIA BUAT IBUKU SENGSARA DAN SUSAH. Salahkah sikap aku terhadap ayah, adakah sebenarnya aku anak derhaka? Berkatkah pekerjaan ku sekarang ni sakitkan hati ayah, melawan cakapnya dan berkeras ke luar negara sampai aku tidak dianggap anak?

Sebelum aku terlupa, hari aku bertolak ke luar negara adalah hari ayahku keluar dari rumah meninggalkan ibuku, dan 2 lagi adik beradik lain. Sampai hari ini, dah 2 bulan lebih ayah tidak balik kerumah tanpa menguruskan keluarganya, seperti menggantung ibuku tak bertali.

Kata-kata akhir ayah yang aku masih ingat sampai sekarang “dunia kamu senang lah, bermula hari ini hubungan kita sudah putus di dunia, kita jumpa diakhirat nanti, disitu baru kamu tahu langit tu tinggi atau rendah”.

Selamat Hari Raya ayah, maafkan anakmu. Anakmu tiada niat nak menjadi anak derhaka, melawan kata-kata ayah. Cuma anakmu yang engkau buang ini dah tak sanggup melihat ibunya susah. Biarlah sebelum ibu pergi, anakmu dapat senangkan hidup ibu, keluarkan keluarga kita dari kemiskinan.

Anakmu tidak berdendam dengan mu, cuma sikap ayah yang buat anakmu jauh darimu. Tipu kalau anak ini tak menangis merindukan mu, apatah lagi ini raya pertama tanpa ayah.

Salam sayang untuk ayah, semoga suatu saat nanti, hati ini mampu memaafkan ayah.

– Eykha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *