Aku bukan orang yang terlibat secara langsung, cuma pemerhati yang duduk diam di tepi dan melihat semua ini berlaku.
Dari luar, pejabat kami nampak tenang, orang keluar masuk, buat kerja masing-masing, dan kadang-kadang terdengar ketawa kecil di meja pantri. Tapi bila kita perhati lama-lama, barulah nampak cerita sebenar di sebalik senyuman itu.
Ramai yang aku lihat, pada awalnya masuk bekerja dengan niat yang murni. Tujuannya jelas nak mencari rezeki halal untuk diri sendiri dan keluarga, nak bantu ringankan beban mak ayah, atau nak pastikan anak-anak cukup makan dan bersekolah.
Tapi bila masa berlalu, ada yang mula lupa niat asal. Fokus mencari rezeki berubah menjadi fokus mengejar kuasa, nama, dan kedudukan. Perjalanan kerjaya yang sepatutnya tentang usaha dan sumbangan kini dipenuhi strategi politik dan percaturan peribadi.
Dan di pejabat, istilah “sahabat” kadang-kadang hanya wujud selagi tiada kepentingan bercanggah. Hari ini kita duduk satu meja, kongsi makan tengah hari, berkongsi cerita peribadi sambil ketawa.
Tapi esoknya, cerita yang kita percaya hanya antara kita, entah bagaimana boleh sampai kepada telinga orang lain.
Kadang-kadang bukan setakat tersebar, malah ditokok tambah mengikut selera pendengar. Dari situ kita mula belajar, tidak semua yang duduk rapat dengan kita layak diberi kepercayaan sepenuhnya.
Ada satu masa, aku tengok dua orang rakan sekerja yang dulunya sangat rapat. Sama-sama makan, sama-sama berkongsi cerita keluarga, malah saling tolong bila ada kerja last minute.
Tapi bila timbul peluang kenaikan pangkat, hubungan mereka berubah. Perlahan-lahan, salah seorang mula mencari perhatian pihak atasan.
Cerita yang dibawa bukan lagi tentang kerja semata-mata, tetapi juga kelemahan orang sebelahnya. Dari kawan, mereka jadi pesaing… dan akhirnya, lawan.
Bos pula, dari pandangan mata aku, jenis “ketam mengajar anak”. Nasihatnya kedengaran kemas dan meyakinkan bila mesyuarat: datang awal, ikut prosedur, jaga integriti.
Tapi bila aku perhati cara dia sendiri bekerja, ada banyak yang tak selari. Mesyuarat lewat bermula, peraturan dilanggar bila sesuai dengan kepentingan, dan kalau ada kesilapan — jarang benar dia yang mengaku.
Pernah juga aku lihat satu situasi yang agak menyedihkan. Masalah besar berlaku, tapi yang menjadi sasaran bukanlah punca sebenar, sebaliknya, pekerja paling bawah yang dipersalahkan. Lebih perit, mereka bukan bekerja sendirian pun, tetapi dalam pasukan.
Namun, bila keadaan jadi tegang, nama mereka yang naik, mereka yang dipinggirkan. Tiada teguran membina, tiada ruang untuk jelaskan keadaan. Hanya diam dan jurang yang semakin melebar.
Aku lihat, ini bukan sekadar soal kerja, tetapi soal keadilan yang gagal dijaga.
Dari jauh, aku dapat satu kesimpulan: dunia kerja ini bukan semata-mata tentang siapa paling rajin atau siapa paling layak.
Kadang-kadang, ia lebih kepada siapa yang pandai membaca keadaan, pandai menjaga imej, dan pandai menempatkan diri di tempat yang betul pada masa yang betul.
Integriti itu penting, tapi kebijaksanaan menjaga diri juga tidak kurang nilainya.
– Zachry Garinger (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit