Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih admin jika menyiarkan confession aku ini. Kenalkan, aku seorang ibu; anak pun masih menyusu badan. Perkahwinan baru setahun jagung kata orang.
Sebelum berkahwin aku selalu melihat bapa saudara yang datang ke rumah nenek aku (menantu) biasanya akan datang ke meja untuk makan. Kemudian, baring-baring sambil menonton televisyen. Tidak pun sedar-sedar dah tidur.
Tak lama kemudian, aku dapat bapa saudara baru. Dia ni memang suka masak, jadi aku perhati dia selalu menolong di dapur, siang ikan ke, tolong mop, menyapu. Bila anak nak mandi pun dia tolong mandikan.
Ayah aku (menantu) bila balik kampung memang dia suka. Ringan tulang, mengutip daun kering, menanam apa-apa di luar rumah atau menyiram pokok. Hal dapur dia memang kurang sikit. Tapi bab menolong perkara lain memang A.
Abang dan adik-beradik lelaki aku juga begitu. Bila balik kampung atau di rumah mak kami sendiri mereka boleh masuk dapur, tolong lap meja selepas makan, menyapu sampah lepas makan dan basuh pinggan.
Kalau hari cuti lagilah, habis kipas dinding, kipas syiling dan kereta di basuh. Kiranya aku selalu nampak bagaimana corak lelaki (kebanyakan) dalam keluarga aku boleh bantu buat kerja rumah, ringan tulang.
Tetapi, apabila aku berkahwin, memang culture shock la juga. Yang lelaki boleh bangun terlajak subuh, bila makan pandai datang makan.
Lepas tu merokok di luar rumah. Tidur dan keluar pergi mana tah. Bila balik kampung susah nak rehat sebab biasanya si ibu-ibu ni dikerah ke dapur. Dari menyediakan bahan hinggalah mencuci kembali segala pinggan, kuali, lap meja selepas makan.
Sudahlah bila balik kampung makan mesti menu lengkap 3 hingga 4 kali sehari. Boleh bayang tak berapa lama habis masa di dapur je.
Kenapa ya bila berkahwin yang si ibu-ibu ni kena bagi effort lebih di rumah mertua? Apabila si ayah balik ke rumah mertua siap boleh rehat, tidur, merokok dan lepak. Selalu sangat aku perhati mereka ada masa untuk baring.
Aku anak masih menyusu badan. Siapa yang ada anak menyusu mesti faham betapa penatnya. Kadang sedang menyusu anak, kita sekali boleh tertidur.
Itu pun dikata lagi bangun lambat, sedangkan dah bangun tolong-tolong, masuk bilik susukan anak tertidur sekali. Yang si anaknya sendiri tidur sampai terlajak subuh tak dikata-kata pula.
Aku selalu sematkan dalam hati aku, bagaimana mak ayah aku ajar dan didik aku supaya ringan tulang, buat baik dengan orang dibawa ke dalam rumah mertua.
Jika perangai aku tak semenggah, aku risau terpalit pada orang tua aku juga. Aku tak nak aku dikatakan anak tak diajar. Sedang mak ayah aku dah ajar semua itu.
Mak ayah aku siap jaga lagi nenek dan atuk aku. Jadi aku tak gamak nak berat tulang atau menyusahkan orang apabila di rumah orang lain.
Tapi itulah, penat bila berada di rumah mertua. Anak sendiri tak membantu mana, si menantu semua ini yang merajinkan diri.
Bayangkan dari hal memasak, menyidai dan mengangkat kain, menyapu sampah dsbnya kena buat. Apabila meminta tolong pada suami sendiri, mandikan anak berkata pula pandai mengarah suami. Eh, itu tanggungjawab asas kot. Matilah semua perempuan buat.
Bila dah berkahwin baru aku sedar banyak perkara aku kena didik suami sendiri berkaitan hal rumah. Ego lelaki lagilah membuatkan jadi stress. Nak minta tolong kata mengarah, sedangkan itu tanggungjawab bersama.
Susah bila mak-mak zaman dahulu dah biasa buatkan semua perkara untuk anak. Beza zaman dulu lelaki cari nafkah, perempuan memang duduk saja di rumah. Anak pergi sekolah pun jalan kaki.
Sekarang mak-mak yang surirumah inilah yang keluar masuk rumah hantar anak pergi sekolah pagi, sekolah petang, tuisyen lagi. Nak harap mak-mak macam ini nak buat semua kerja dalam rumah? Matilanakkkk…
Pinggan sebiji pun tak reti basuh, siap pakej letak merata lagi cawan yang diminum, pinggan yang dah digunakan. Bayangkan dari si anak baby hingga si suami gaya baby je nak ditatang sepenuhnya.
Mungkin mak-mak dulu ni tak boleh dah diubah mind setnya, tapi paling kurang suami yang ada sekarang belajarlah ilmu rumahtangga.
Cari duit, isteri pun sekarang bekerja. Bukan duit yang diharapkan, tapi tolenrasi dan tanggungjawab bersama dalam rumahtangga.
Realiti hari ini; buat para gadis yang belum berkahwin kena ingat ajar suami ringan tulang. Kita perempuan dari mengandung hingga menyusukan anak kita dah buat, makan pakai lagi dijaga.
Bukan nak mengungkit kerja, tapi kena sedar rumahtangga ni usaha dua orang untuk bangunkan.
Bila isteri penat, air muka berubah, mood dan emosi memang ke laut. Jadi kena jaga rumahtangga ni bersama.
Tak perlu lagi slogan “kahwinlah mat, nanti senang ada orang jaga.” Sedangkan perkahwinan ini si suami mesti jaga si isteri, si isteri mesti jaga si suami. Saling membantu dalam segala hal.
– Sang Mentari (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit