Assalamualaikum. Baru-baru ini telah viral tentang seorang artis terkenal telah berhijrah dan dijangka akan berkahwin pada tahun depan. Artis itu telah pun dirisik / bertunang. Ramai yang mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
Kemudian, viral pula tentang ex girlfriend kepada lelaki tersebut. Maaf, aku sama seperti kebanyakan netizen, cuba utk cari tahu pasal perempuan tu.
Bila aku scroll dan scroll, aku terjumpa satu gambar yang nampak seperti familiar. Rupa-rupanya perempuan ni adik kepada kawan aku. Okay, kita namakan dia Z. Patutlah dia ada banyak gambar dengan kawan aku.
Aku teringat zaman study dulu, kawan aku tu sangat baik. Untuk pengetahuan semua, ayah dia ialah hakim berpangkat Datuk. Tapi takda sesiapa pun tahu background kawan aku tu pada mulanya.
Dia datang ke kelas pun menaiki kancil sahaja. Hampir semua orang suka kawan dengannya. Parents dia berjaya didik dia menjadi anak yang baik. Aku sendiri pun kagum.
Setiap kali ada assignment yang melibatkan video, mesti dia akan buat dengan bersungguh-sungguh. Kalau tak silap, siap ada team dia sendiri (team luar yang dia hire semata2 untuk buat assignment).
Kami semua suka dengan hasil kerja dia termasuklah lecturer. Dia selalu muncul dalam program dakwah di TV3. Lama-kelamaan orang makin tahu siapa sebenarnya dia. Jadi, mulalah ramai yang cuba nak berkawan & ambil kesempatan.
Bila dia belajar di universiti awam dan dikelilingi oleh kawan-kawan yang berasal dari keluarga miskin, dia umpama ikan emas yang dikelilingi ikan bilis. Sentiasa jadi tarikan. Ramai yang kagum, tak kurang juga ada yang cemburu dengan kehidupan dia.
Aku bukanlah kawan rapat beliau. Cuma kawan satu kampus sahaja. Aku berasal dari keluarga susah. Keluasan rumah aku sama seperti keluasan bilik air orang-orang kaya.
Begitu kecil dan sempit. Ibu dan ayah aku telah bercerai sejak kami kecil. Tinggallah aku bersama ibu, dan adik-beradik.
Ayah sudah berkahwin lain dan tinggal bersama keluarga baru dia. Tapi, ayah tidak lalai dengan tanggungjawab. Aku bernasib baik kerana diterima masuk ke universiti. Cita-cita aku nak jadi kaya dan ubah nasib keluarga aku.
Satu hari, keluarga aku ditimpa ujian. Ayah aku kemalangan dan teksi yang dipandunya rosak teruk. Ya, ayah aku ialah pemandu teksi. Waktu itu aku masih belajar. Keluarga kami mengalami krisis kewangan yang sangat teruk. Aku dapat tahu keluarga aku mempunyai banyak hutang.
Aku tak mampu nak tolong kerana masih belajar. Sewa rumah aku pun tertunggak. Aku hanya mampu menangis mengenangkan nasib. Pelajaran aku makin merosot, aku tak hantar assignment, tak datang ke kelas.
Kepada semua yang pernah satu group dengan aku, aku minta maaf. Lama kelamaan aku dipulaukan oleh kawan sendiri.
Di sini, aku tiada keluarga atau saudara mara. Aku cuma ada kawan-kawan satu universiti. Dalam akaun bank kosong, dalam beg dompet ada seringgit dua sahaja.
Nasib baik awal semester aku ada beli sedikit barang dapur, boleh lah masak di rumah. Bila barang dapur dah habis, aku survive dengan makan makanan sisa dari housemates aku. Ya, dorang tak tau pun aku kutip sisa makanan dorang. Aku buat sorok-sorok. Maafkan aku.
Aku mula terkenangkan nasib aku sendirian. Lama-kelamaan aku murung dan cuba untuk bunuh diri. Waktu tidur aku juga tak menentu dan aku jadi kurang selera makan.
Hampir setiap kali aku mandi, aku akan mandi sangat lama dan cuba utk lemaskan diri. Mujur pada waktu itu housemate aku ada, dia sedarkan aku.
Aku cuba memohon bantuan dari unit kebajikan universiti, tapi sehingga aku habis belajar, masih tiada jawapan. Aku juga pernah cuba memohon menyewa di asrama universiti. Begitu sukar proses permohonan asrama.
Selepas isi borang, aku terus hantar ke penyelia asrama dan penyelia asrama temuramah aku. Melalui raut wajah dia, aku sudah tahu aku tidak akan diterima masuk ke asrama.
Sampai sekarang aku masih ingat layanan dia. Mungkin dia ingat aku sekadar suka-suka memohon asrama tanpa mengetahui musibah yang sedang aku alami. Aku tidak akan mohon kalau aku tidak terdesak.
Aku menangis di depan dia, aku tak dapat tahan perasaan aku. Tapi masih juga, tidak diberi pertimbangan sedangkan aku tengok kawan aku yang lain, yang sama batch dengan aku begitu senang diterima asrama tanpa perlu disoal banyak.
Bila aku tinjau bilik asrama, masih banyak yang kosong. Aku hanya ingin tempat berteduh sahaja kerana aku sudah tidak mampu membayar rumah sewa di luar.
Aku teringatkan si Z. Mungkin pada saat ini dia sedang menikmati makanan yang sedap-sedap. Jauh beza dengan aku.
Golongan macam aku ni, biasanya akan dapat makan sedap-sedap bila ada event atau jamuan hari raya yang dianjurkan badan kerajaan. Semuanya free! Ibu aku yang paling excited.
Setiap kali ada event, dia pasti akan bawa bekas makanan dan kemudian tapau balik makanan. Sebab jarang sekali kami dapat makan makanan yang sedap-sedap macam ni. Menitik air mata bila teringatkan ibu. Apa khabarlah ibu waktu itu.
Jujur, aku sangat cemburu dengan kehidupan si Z. Golongan bawahan macam aku ni, selalu memandang tinggi si Z. Bahasa ringkasnya jakun.
Aku tahu amat mustahil untuk aku jadi sekaya itu. Tapi tak salah jika aku berangan kan? Selepas tamat belajar aku berniaga secara kecil-kecilan.
Pernah suatu hari aku menghantar barang customer ke rumah. Kawasan rumah dia ialah kawasan perumahan elite milik orang-orang terkaya & terkenal di Malaysia.
Aku lalu di sebuah rumah yang terlalu besar. Halaman rumah ada padang yang luas. Seluas padang bola. Di depan rumah ada kereta mewah 6 biji. Sebelah rumah tu pula ada rumah yang lagi besar. Sebesar pasaraya! Bertingkat-tingkat!
Selama ni aku tengok rumah besar macam tu cuma di dalam movie je, tak sangka aku dapat tengok di depan mata! Sebak, perasaan bercampur baur. Berapa agaknya keluasan rumah aku kalau nak dibandingkan dengan rumah mereka.
Mungkin sama besar dengan size bilik pak guard je kot. Aku menangis. Terasa kecilnya aku ni, masih jauh utk aku capai cita-cita. Entah sempat atau tidak utk aku balas jasa orang tua aku. Mereka sudah tua.
Sekarang aku masih berniaga lagi. Doakan semoga suatu hari nanti perniagaan aku berkembang dan aku dapat tolong orang-orang yang susah.
Aku nak bina rumah untuk orang-orang yang susah mcm aku. Aku akan bantu students yang miskin. Aku akan pastikan mereka dapat sambung belajar. Kepada Z, aku harap kau akan faham dengan golongan kelas bawahan macam aku ni.
Ya, jujurnya kami memang jakun dengan kemewahan kau sebab kami tak pernah rasa kehidupan yang begitu senang. Maafkan kami, jangan salah anggap.
Aku tau kau mesti rimas bila orang memandang status kau. Maaf, kami manusia biasa. Kami tidak pernah dilahirkan dengan kemewahan.
– Is (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit