Assalamualaikum w.b.t, sejak kecil lagi, aku sering dibiasakan dengan perkara yang akan berlaku kelak tetapi sering dianggap mudah oleh orang lain: kematian.
Teringat kepada memori aku ketika masih lagi kanak-kanak di mana aku berhadapan dengan kematian kucing aku, Lilo (bukan nama sebenar), aku bertanyakan soalan kepada ibu
“Lepas lilo mati, lilo pergi mana?”- aku
“Lilo pergi ke syurga.” – ibu
Satu perkara yang ringkas tetapi sebagai kanak-kanak aku memahami bahawa lilo sudah tiada lagi di sisi aku. Bagi aku, kematian hanyalah satu abstrak di mana ianya tiada lagi di dunia ini.
Aku juga sering mengatakan kepada adik beradik ketika aku kecil, “kau bagus pegi matilaa! lagi aman hidup aku.” bila kami terlibat dalam pergaduhan.
Namun begitu, lama kelamaan kematian menjadi satu perkara yang amat menakutkan diri aku. Ketika aku berumur 11 tahun, aku berhadapan dengan kematian arwah atok aku. Salah satu pengalaman yang tidak dapat aku lupakan hingga hari ini.
Terimbau kenangan bersama arwah atok sehari sebelum dia kembali ke rahmatullah, waktu itu aku terlalu malas mengaji walaupun guru mengaji aku adalah arwah atok.
“Kenapa liat betul mau mngaji ni?” – atok
Dengan alasan yang kebudakan aku hanya mengatakan bahawa aku masih lagi kecil dan tidak perlu memikirkan tentang akhirat kerana aku masih mempunyai banyak masa untuk belajar, mendegarkan jawapan aku arwah atok hanya menggeleng lalu berleter kepada aku
“Kalau esok hari, kamu dijemput ajal macam mana? Tidak tahu mengaji, tidak pandai urus solat 5 waktu, kematian tidak mengira usia ya.” – atok.
Mendengarkan jawapan atok, aku hanya mampu mendiamkan diri.
Keesokan harinya, ketika aku masih di sekolah, tiba-tiba aku dipanggil ke pejabat disebabkan oleh hal yang mustahak.
Aku pun dengan gembiranya turun kerana dibenarkan pulang awal namun apabila aku melihat wajah ayahku yang begitu kusut di dalam kereta, aku hanya mampu mendiamkan diri walaupun di kepalaku begitu banyak persoalan.
Dalam perjalanan, ayahku hanya mendiamkan diri dan suasana di dalam kereta juga begitu sunyi. Sampai sahaja ke destinasi ayahku terus memakirkan kereta dan membawaku turun.
“Kenapa kita di hospital ayah?” Aku bertanyakan soalan kepada ayahku.
Lalu, ayah terus duduk mencangkung di hadapanku dan ketika itu, aku dapat melihat sekumpulan wajah yang amat ku kenali sedang menangis beramai-ramai, mereka adalah pakcik makcik dan sepupuku.
Aku lihat mereka sedang mengerumuni seseorang tapi tidak dapat ku lihat siapakah orang tersebut.
Ayah terus memegang bahuku sambil menangis teresak-esak.
“Atok suda tiada, Riya.”
……
Fikiranku kosong. Atok? Atok mana? Bukan atok sebelah ayah sudah lama meninggal? Atok mana ni? semua persoalan itu bermain di fikiranku.
Lalu, ayahku terus mendukung aku dan bergerak ke arah mereka. Di situ ku lihat, wajah atokku yang selalunya di hiasi dengan senyuman, gelak ketawanya, leterannya, tiada.
Wajah atok kelihatan kaku, beku, dan dipenuhi dengan darah yang keluar dari hidung dan kedua telinganya. Aku terus berteriak dengan sekuat hati.
TIDAK ITU BUKAN ATOK! BUKAN! ITU BUKAN ATOK! RIYA TIDAK MAHU TENGOK!
Perkataan itu yang mampu keluar dari mulutku.Aku berteriak bagaikan orang gila sehinggakan orang ramai melihat ke arah kami. Semua ahli keluargaku termasuk ayah cuba menenangkan aku. Akhirnya, disebabkan terlalu terkejut, aku tidak sedarkan diri.
Bangun sahaja aku melihat diriku sedang berada di dalam bilik di rumah atok, terlihat ibuku di sebelah sedang menangis teresak-esak.
Aku bangun dan bertanyakan kepada ibuku, apakah atok benar-benar tiada? Ataupun semuanya hanya mimpi? Ibuku hanya mampu memelukku dan menangis, aku juga turut menangis, sedar akan hakikat bahawa atokku sudah tiada.
Aku tidak dapat pergi ke pengebumian atok disebabkan keadaanku yang masih lemah tetapi mendengarkan cerita kakakku, terlalu banyak orang yang menghadiri pengebumian atok walaupun cuaca ketika itu hujan.
Kebanyakan orang terdiri daripada orang kampung dan orang masjid kerana atokku merupakan imam di kampungnya.
Aku mengetahui bahawa atok pergi secara “tiba-tiba”. Ketika ingin memakirkan keretanya di tempat parkir hospital, atok tiba tiba jatuh pengsan sehinggakan nenek panik dan berteriak kepada orang ramai untuk meminta bantuan.
Apabila orang ramai membawa atok ke kecemasan, nadinya sangat lemah dan selepas menerima bantuan CPR, atok juga tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Selepas kematian atok, aku begitu trauma dengan situasi yang melibatkan kematian secara tiba-tiba. Namun, apabila aku semakin membesar, aku semakin lupa dengan pesan atok untuk sentiasa mengaji, jaga solat 5 waktu.
Dan sekali lagi, aku diuji dengan kematian secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku setahun yang lalu di mana aku juga hilang seorang sahabat yang begitu istimewa bagiku.
Alif merupakan teman lelakiku dari tingkatan 4. Ketika itu, aku berumur 19 tahun dan aku kehilangan Alif disebabkan oleh kemalangan.
Alif membawa motosikal ke sekolah setiap hari. Alif merupakan anak pertama dari 4 orang adik beradik. Alif juga berasal dari keluarga yang susah.
Setiap hari selepas sekolah, Alif akan bekerja separuh masa di kilang kayu untuk memperoleh wang pembiayaan pelajarannya. Alif bercita-cita untuk menjadi seorang peguam, sama seperti aku.
Kami sering berjanji untuk mengejar cita-cita dan menuntut di universiti yang sama. Selepas mendapat segulung ijazah dan digelar sebagai seorang peguam yang bertauliah,
Alif ingin membahagiakan kedua orang tuanya, membela nasib mereka dan adik-adiknya dan setelah itu dia ingin melamarku untuk berkahwin pada masa akan datang.
Namun, siapa tahu, bahawa perancangan itu musnah sekelip mata. Alif disahkan meninggal akibat dilanggar oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab (individu tersebut memandu dalam keadaan mabuk).
Ketika aku sampai di tempat kejadian, aku lihat badan Alif yang masih lagi kaku di dalam longkang besar. Kakinya hancur dan lehernya patah.
Melihatkan keadaannya itu, aku menjadi histeria, cikgu-cikgu wanita yang berada di tempat kejadian terus memelukku dengan kuat sambil mengatakan bahawa aku perlu sabar dan redha dengan keadaan ini.
Dalam keadaan tersebut aku terlihat si penyebab itu sedang duduk di tepi jalan sambil minum air (mungkin untuk menyedarkan dirinya) mahu sahaja aku berjalan ke arahnya dan menyimbahnya dengan airnya itu. Dasar manusia yang tidak bertanggungjawab!
Hatiku menjadi panas dan air mataku terus menerus jatuh berguguran. Mengapa perlu dia? mengapa? soalan itu bermain di mindaku.
Selepas polis tiba dan menyiasat kejadian yang berlaku, tiba-tiba seorang pemuda datang kepadaku dan menghulurkan aku dompet milik Alif,
Di situ dapat ku lihat wajahku dengan wajah ibu Alif diselit di dalam dompetnya. Aku mengambil dompetnya sambil menangis teresak-esak.
Di hadapan bilik mayat juga aku dapat melihat keluarga dan rakan-rakan Alif datang. Aku melihat ibu Alif yang baru sahaja melahirkan adik baharu Alif seminggu yang lalu juga datang. Aku menyalamnya lalu dia memelukku dan menangis teresak-esak.
Aku memberikan semua barang-barang Alif kepadanya. Kulihat juga ayah Alif yang duduk di hujung penjuru dengan memakai selipar yang berlainan, mesti dia kelam kabut dengan berita yang diterimanya.
Akhirnya Alif dibawa untuk dikebumikan. Teringat kenangan lalu di mana Alif pernah menanyakan soalan yang begitu pelik bagiku, dia bertanyakan apakah yang membuatku tenang?
Lalu aku menjawab ketika aku membaca buku dalam suasana yang senyap. Lalu aku bertanya bagaimana pula dengan dia,
“Duduk di tempat perkuburan.” katanya merupakan perkara yang membuatkannya tenang.
Tidak ku menyangka bahawa soalannya itu merupakan petanda yang dia akan pergi meninggalkan aku. Perlahan-lahan mereka membawa buah hatiku untuk dikebumikan. Selama itu juga hatiku menjadi retak saat demi saat. Hancur.
Selesai sahaja pengebumiannya, seakan-akan ku mendengar suaranya menjerit kepadaku,
“Bye, sayang!”
….
Selepas kedua-dua kejadian ini aku sedar realitinya kematian bukanlah satu perkara abstrak lagi bagiku, kematian adalah perkara yang benar berlaku. Kini, aku juga berhati-hati dengan perkataan yang berkaitan dengan kematian.
Kini, aku sudah pun bergelar pelajar di universiti yang aku dan Alif idamkan, dan menuntut ijazah yang kami idamkan. Doakan aku semoga sentiasa kuat dalam menghadapi cabaran hidup ini.
Bagi kedua-dua insan yang amat aku sayangi dan cintai, semoga kalian sentiasa tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Allahumma aamin.
Bagi atok, InsyaAllah Riya tidak akan lupa untuk menunaikan solat 5 waktu dan mengaji al quran.
Bagi Alif, InsyaAllah Riya tidak akan malas untuk belajar mengejar cita-cita.
Semoga kita berjumpa di sana kelak, atok, Alif.
– Riyana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit