Realiti Sebuah Perkahwinan

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia IIUM Confession.

Selepas 6 tahun hidup dalam derita dan mencari kebahagiaan. Akhirnya suami aku berubah sekelip mata secara mendadak. Aku cuba mencari punca, kenapa dia berubah tiba-tiba? Ada perempuan lain ke? Nak kahwin lagi satu ke?

Aku pernah post kisah derita aku di IIUM Confession.. Alhamdulillah terima respon dan pesanan yang sangat baik.

Tapi malangnya tak mampu lagi untuk aku bertindak seperti nasihat yang diberi. “Tinggalkan suami awak, awak kena kuat demi anak-anak dan bahagiakan diri sendiri”.

Disebabkan aku tiada pekerjaan dan kini anak aku dah masuk dua orang.

Sejujurnya hati aku betul-betul nak kan semua tu terjadi. Dek kerana sikap buruk suami aku yang dulu seorang yang sangat mengutamakn keluarga dia. Termasuklah adik beradik dia yang ramai tu. Wajib, diutamakan kehendak mereka.

Wajib, mengikut suruhan mereka. Tanpa pedulikan aku dan anak aku yang masih kecil. Berhabis duit demi mereka pun dia sanggup. Di kemudian hari kami yang terpaksa menanggung derita.

Pada dia, kami adalah keutamaan jatuh nombor tiga. Mak bapak nombor satu manakala adik beradik nombor dua. Sangat tak adil dan sangat menyakitkan.

Suami aku sebelumnya suka marah-marah aku dengan nada tinggi depan keluarga dia. Dan tiada siapa yang backup aku, atau tegur suami aku. Hanya membatu mendiamkan diri.

Yang buatkan aku tertanya-tanya, kenapa mak mertua aku tak pernah sekalipun peduli bila suami aku marah-marah aku depan dia. Seolah cuma perkara biasa.

Aku beranggapan, mak mertua aku seorang yang blurr dan penakut. Berikutan kisah dia dulu pernah dipukul teruk oleh suaminya iaitu bapak mertua aku.

Aku nekad tahun 2022 adalah tahun terakhir aku bersama suami aku, hati dan jiwa aku betul-betul kosong. Layanan keluarganya pada aku teramatlah baik, buatkan aku rasa seperti berada bersama keluarga sendiri. Itu yang buatkan aku cuba bertahan.

Namun, berlaku dua kejadian yang mempamerkan siapa mereka yang sebenar pada aku.

Mak mertua aku seorang yang suka cerita buruk tentang menantu selama aku berkahwin. Selalu diluahkan pada aku. Aku mendengar dan juga memberi respon.

Tapi tak sangka, semuanya kantoi lepas kejadian tu. Ternyata, rupanya mak mertua aku memburukkan aku dan memfitnah aku pada anak-anak yang lain. Begitu juga dengan ipar aku, memfitnah aku tanpa rasa bersalah.

Hati aku betul-betul remuk hancur berkecai. Kenapa ada manusia yang tak takut langsung dengan dosa memfitnah? Aku tak buat apa-apa yang buruk pada mereka, kenapa sampai macam tu sekali aku difitnah?

Sebelum kejadian yang tak boleh dinyatakan tu berlaku, suami aku berubah menjadi baik secara tiba-tiba.

Jadi seorang yang tak pernah tinggi suara, yang suka bergurau sampai aku rasa rimas, yang rajin sangat memasak tanpa merungut dan protes, melayan anak-anak dengan baik, melayan emo dan stress aku yang kadang agak melampau, suka berpegangan tangan dan memuji.

Semua yang aku senaraikan tu, adalah perkara yang tak pernah aku lalui selama 6 tahun aku jadi isteri dia.

Tapi malangnya, dia berubah disaat jiwa aku dah kosong. Aku hanya sekadar melayan semuanya seperti seorang teman dan tanggungjawab sahaja.

Disebabkan kejadian tersebut jugaklah kami sering mencipta sesi luahan hati. Dan dari situ lah aku tau kenapa suami aku berubah.

“Abang kesian dekat sayang, parents sayang pilih kasih tak pedulikan sayang. abang tengok dan nampak semua yang jadi. Lepastu keluarga abang pulak buat sayang macam tu”.

Terkedu jugak aku bila dengar ungkapan azimat dia tu. Tak pernah seumur perkahwinan kami dia simpati dengan aku. Semuanya hanya tentang keluarga dia je. Patutla dia berubah mendadak, mungkin hidup aku ni teramat menyedihkan.

Atau Allah kabulkan doa dan permintaan aku. Tapi semuanya tak mudah. Walaupun suami aku dah berubah, timbul pulak masalah antara keluarga.

Dan segala persoalan aku selama ni muncul dan ditunjukkan Allah satu persatu. Sikap sebenar semua orang. Terutama sekali mak mertua aku, yang selama ni layan aku dengan baik, rupanya duri.

Baru aku faham kenapa mak mertua aku tak pernah tegur suami aku marah aku dan jerit pada aku. Rupanya itula yang dia inginkan. Pada aku dia betul-betul cuba menghancurkan rumahtangga anak sendiri.

Suami aku anak kesayangan. Dia sangat memerlukan suami aku untuk dekat dengan dia. Sedangkan anak-anak yang lain semua tinggal berdekatan sahaja. Malahan ada yang tinggal berjiran.

Aku anggapkan yang mak mertua aku ni sangat jahat. Dia bukan seorang yang banyak mulut. Senyap dan diam serta memerhati sahaja. Itu cara dia. Tak sangka dalam diam macam blurr blurr, rupanya ada sikap buruk yang tersembunyi.

Jiwa aku kosong, walaupun suami dah berubah. Tapi dah terlambat. Aku masih cuba bertahan sebab suami aku diuji masalah kewangan yang sangat teruk. Sehinggakan terpaksa berniaga kecil-kecilan di tepi jalan. Aku cuba sokong dia disaat dia sedang jatuh.

Sebab aku tau, dia tak macam orang lain. Dia perlukan sokongan dan kata-kata semangat yang berterusan.

Hanya aku yang betul-betul kenal suami aku. Bukan mak bapak dia dan bukan adik beradik dia. Kalau dia balik ke kampung sekalipun aku yakin yang hidup dia akan terus susah selamanya.

Aku tak tahu percangan masa depan aku macam mana. Kalau suami aku semakin rajin dan semakin kuat bekerja, mungkin aku akan cuba bertahan selamanya berpura-pura suka dengan semuanya. Jika tidak, aku akan usaha untuk berpisah.

Sebab satu sikap suami aku yang masih belum berubah sepenuhnya (pemalas). Dia ada kerja tetap, cuma malas nak usaha cari kerja lain.

Jika ada masa terluang hanya habiskan dengan tidur.

Subuh sangat jarang, kalau kejut pun terpaksa goncang badan dia sekuat tenaga. Itupun masih malas nak bangun. Aku jadi bosan pulak.

Dari tawar hati + bosan.

Apa kata pembaca? Aku rasa makin pening dengan cerita aku yang bercampur campur. Disebabkan terlalu banyak yang tak terluah.

– Yang kosong (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *