Redha

Assalamualaikum semua. Aku perkenalkan diri sebagai cik N, masih bujang, berasal dari selatan tanah air dan tahun ni, usia aku sudah mencecah usia 34 tahun.

Maaf kalau cara aku karang ayat ni agak tunggang langgang. Aku harap dengan coretan ini, dapat lah korang memberi kata semangat dan nasihat untuk diri aku. Sekiranya ada pengajaran di dalamnya, korang boleh lah ambil ianya sebagai iktibar.

Pertamanya, aku ada beli sebuah kereta pada tahun 2012. Bulan april tahun ni, insha Allah baru habis bayar. Setiap bulan, jumlah bayaran yang perlu aku bayar sebanyak RM500.00.

Aku ikat perjanjian selama 9 tahun. Nama pemilik kenderaan atas nama ibu aku sebab gaji aku pada waktu tu tidak layak untuk lepas syarat pembelian.

Ibu aku ada menasihati untuk beli kenderaan yang lebih murah tetapi aku lebih suka kereta sekarang sebab memang idaman aku. Ibu aku turuti jua.

Masa beli tu, aku tak fikir panjang. Dan akhirnya, penyesalan tiada guna. Gaji aku tiap bulan banyak habis pada kereta aku. Bayaran bulan, maintenance, minyak dan lain2 lagi.

Kadang, setiap kali dapat gaji, memang aku ada menyimpan tetapi mesti tak lama sebab aku akan keluarkan semula. Memang tak boleh nak simpan lama.

Gaji aku masa tu tak sampai RM1,000. Dan sehingga ke hari ini, gaji aku tak pernah cecah RM2,000. Paling tinggi pun pernah aku dapat gaji RM1,700.

Korang bayangkan dengan gaji sebanyak tu dengan komitmen kereta yang aku guna sekarang. Memang tak cukup. Aku harap korang yang berniat nak beli kereta tu jangan jadi macam aku.

Sebelum membeli tu, ukur baju di badan sendiri. Jangan macam aku, yang tak ukur baju di badan sendiri. Menyesal pun tak berguna. Dan penyesalan tu sehingga sekarang.

Itu adalah satu penyesalan aku yang tak mungkin aku putar balik. Sebab benda dah berlaku.

Ibu aku, adalah insan yang paling banyak membantu aku kalau aku tak cukup duit sehinggalah sekarang. Samada dari segi bayaran bulanan, maintenance, dan lain2 lagi berkaitan kereta.

Entah berapa puluh ribu duit dia dah berhabis untuk aku. Aku sedih dan kecewa sangat sebab banyak menyusahkan ibu aku.

Keluarga kami pun bukan dari orang senang. Mujur aku tinggal dengan kedua ibu bapa aku. Jadi kos hidup aku tidak terlalu tinggi. Tidak perlu menyewa rumah dan sebagainya.

Keduanya, aku ada pinjaman ptptn masa menyambung pengajian di peringkat ijazah. Dan pinjaman tu dah bertambah dengan kadar faedah.

Hampir 11 tahun aku habis belajar, tetapi sampai sekarang, aku belum mampu melunaskan semua pinjaman aku. Dengan gaji yang kecil, dengan komitmen kereta tiap2 bulan, aku tak mampu nak membayar pinjaman tersebut tiap2 bulan.

Pada masa ni, aku tinggal dengan keluargaku di kampung sementara menunggu panggilan baru untuk jawatan kontrak di salah sebuah hospital kerajaan di negeriku.

Kontrak sebelum ni tamat akhir november tahun lalu. Jawatan berstatus kontrak atau sambilan dan gaji di kira per hari.

Kalau cuti umum atau cuti sakit, gaji memang tak di kira. Bulan pertama aku tak senang duduk sebab dah terbiasa kerja pagi dan balik petang. Dan waktu cuti aku setiap hari jumaat dan sabtu. Jadi sekarang ni, boleh lah dikatakan aku tengah jobless.

Minggu pertama aku ok lagi duduk di rumah..masuk minggu kedua, aku jadi tidak betah duduk di rumah..

Masa aku banyak aku habiskan uruskan anak kucing yang kesemuanya lebih dari 10 ekor, membaca novel, buku ilmiah dan juga keagamaan, menonton televisyen, melayan media sosial, mengemas dalam dan luar rumah dan juga memasak.

Kadang kucing aku sakit, aku bawa pergi klinik. Masa aku terisi di situ. Ada juga beberapa kali aku bawa ayah aku pergi hospital untuk check up sebab ayah aku jatuh semasa kerja di tempat orang. Ayah aku dah berumur 70 tahun lebih masih bekerja lagi.

Dia juga ada masalah pendengaran. Aku dan adik beradikku yang lain dah puas menasihati ayahku supaya jangan bekerja lagi di tempat orang tapi dia degil.

Kami pun tak tahu nak buat apa lagi. Hanya doa yang mampu kami titipkan agar Allah s.wt melindungi ayah kami walau di mana saja di berada.

Ibu aku pula sudah berusia lebih 60 tahun dan masih bekerja di sekolah sebagai pembantu pembersihan. Aku dan adik beradikku yang lain sudah puas memujuk supaya dia berhenti kerja, tapi dia masih juga bekerja.

Ayahku pula, tidak pernah melarang ibu aku untuk terus bekerja dan ayah aku juga tidak pernah meminta ibu aku berhenti kerja. Pernah sekali, ibu aku berkata, kalau ayah aku meminta dia berhenti kerja, rasanya ibu aku memang akan berhenti kerja.

Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Melarang tidak, menyuruh pun tidak. Sebelum ni, ibu aku kerja di tempat lain dan kemudian berhenti. Dia hanya duduk di rumah selama beberapa bulan dan kemudian bekerja di sekolah sebab katanya, dia bosan duduk di rumah.

Mesti korang semua tertanya2 kan, aku tak cari kerja lain ke, tak buat side income atau part time ke.

Sebelum tamat kontrak lagi, aku rajin mencari pekerjaan lain tapi tiada apa apa panggilan atau temuduga.. sampai lah kontrak aku tamat. Aku just follow the flow dan terus duduk di rumah.

Aku ada juga mencari peluang pekerjaan lain dan ada satu hari tu aku terima satu panggilan untuk temuduga. Selepas aku menghadiri temuduga tu, tiada jawapan sampai sekarang. Jadi aku faham, memang aku tak diterima bekerja di situ.

Kadang aku tak tahu kelebihan aku di mana. Nak kata pandai masak, biasa2 sahaja. Nak kata aku pandai jahit, pun biasa2 je. Aku tak pandai nak buat side income.

Pernah sekali aku terasa nak buat dropship baju, tapi aku kena fahamkan dulu carta aliran yang diberi oleh ketua dropship tu. Sampai ke sudah aku tak join tu. Sebab maklumat yang dia bagi aku tu, banyak sangat yang perlu aku fahami dulu.

Untuk pengetahuan semua, sejak aku habis pengajian di peringkat ijazah pada tahun 2010 hingga sekarang, tak dapat aku hitung berapa kali aku pergi temuduga..

Terkilan, sedih, hampa dan macam macam lagi perasaan yang datang bila tidak berjaya memperoleh jawatan yang aku temuduga itu.

Sebenarnya, harapan aku menyambung pengajian untuk membantu kedua ibu bapa dan keluargaku sebab keluargaku bukan orang senang..

Aku berharap kalau aku sambung pengajian, dapatlah aku kerja dengan kadar gaji yang tinggi.. itu niat dan harapan aku.. tapi perancangan Allah s.w.t lebih baik.. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri aku.

Sejak tahun 2010 hingga sekarang hampir 10 jenis pekerjaan aku pernah buat..

Bukan aku tak berusaha untuk stay lama di sesebuah tempat tapi ada je perkara yang buat aku tak tahan antaranya cara pengurusan di tempat kerja, sikap rakan sekerjaku dan jugak majikanku. Dan ada syarikat yang aku kerja tu, jawatan aku berstatus kontrak.

Lepas habis kontrak, kalau aku nak sambung kontrak baru, aku perlu pindah ke HQ di Kuala Lumpur. Aku buat keputusan untuk mencari pekerjaan lain sebab Kuala Lumpur sangat jauh bagi aku.

Dan sepanjang aku bekerja di situ, rasa nya aku staf yang paling lama bertahan di situ. Hampir 3 tahun aku mencari rezeki di situ.

Ramai berhenti sebab tidak tahan dengan makian bos aku. Dan juga masalah gaji yang masuk lambat setiap bulan. Siapa je yang tahan kalau macam tu. Aku bertahan pun sebab aku tahu, pengalaman aku yang susah nak dapat kerja.

Selepas itu aku jobless dalam dua atau tiga sebulan. Dalam tempoh itu, aku ada juga mencari pekerjaan lain, dan aku diterima di salah sebuah syarikat landskap sebagai kerani.

Namun aku hanya mampu bertahan selama sebulan disebabkan majikan yang melayan aku macam ‘hamba abdi’.

Tiada pekerja senior di pejabat itu. Hanya aku dan seorang pelajar praktikal. Bila ada benda yang aku tak faham, bos aku mengajar aku dengan cepat dan asyik marah.

Kadang aku tidak faham, aku yang lambat pick up ke atau bos aku yang cepat naik angin. Sebab bekas majikan aku sebelum ni, tak ada pula marah macam tu bila dia ajar aku.

Selepas tu aku dapat kerja di sebuah syarikat elektrik sebagai kerani pentadbiran. Aku hanya mampu bertahan selama tiga tahun setengah.

Aku meletak jawatan di situ disebabkan rakan sekerja yang talam dua muka dan majikan yang tidak menepati janji yang ingin menaikkan gaji aku. Sebab skop kerja melebihi kadar gaji aku yang sepatutnya.

Sebelum berhenti, aku melakukan solat sunat istikharah dan petunjuk yang Dia bagi sangat menyakitkan dan akhirnya aku membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Dan sejak dari hari itu, aku susah sangat nak percaya dengan orang sekeliling yang aku baru kenal. Kadang aku kerap termenung.

Penghujung tahun lepas, aku ada pergi ke sebuah pusat rawatan islam yang ada menyediakan perkhidmatan ruqyah.

Dengan usia aku sekarang, sepatutnya aku dah ada kerjaya yang stabil atau pun sudah berkahwin dan bekeluarga. Bukannya masih mencari2 kerja. Aku kalau dapat kerja pun, tak dapat bertahan lama di sesuatu tempat. Ada sahaja masalah.

Jadi aku saja lah pergi ke sana untuk buat ruqyah. Dan ustaz tu cakap aku ada terkena sihir pelalau. Balik dari sana, aku pun tak tahu samada aku nak percaya atau tak. Antara percaya atau tidak.

Tapi aku ada baca akibat terkena sihir pelalau, mempunyai kaitan dengan sangkutnya jodoh atau pekerjaan seseorang.

Tiga hari lepas, entah kenapa aku terasa sangat dengan kata kata ibu aku. Aku faham dia penat balik kerja. Kadang tu, dia cakap aku tak pandai buat tu, tak pandai buat ni.

Tapi dia jarang minta aku buat apa yang dia perkatakan. Dia cakap kalau sampai dia minta aku buat, itu maksudnya dia dah marah sangat.

Ibu aku garang tetapi garang dia bertempat. Rumah aku rumah kampung. Ada masa aku sapu di sekeliling rumah dan bakar sampah daun pokok semua lah tapi tak ada lah tiap tiap hari. Aku pun tak pandai sangat nak bersihkan kawasan halaman rumah aku.

Kalau setakat tepi tepi tu boleh lah. Sebab kebiasaannya, ibu aku yang bersihkan. Ayah aku tak boleh diharapkan sangat sebab dia sibuk cari kerja kat rumah orang. Harap korang faham, apa yang aku maksudkan.

Sebab tu lah mak aku penat sangat. Apa yang membuat aku terasa hati adalah bila ibu aku cakap lepas ni kerja jangan nak berhenti, kerja berhenti, kerja berhenti.

Sebab aku cakap dia, kakak dengan adik perempuan aku, tak pernah pula dia bising cakap “tak pandai”. Kata2 ibu tu satu doa. Ibu aku cakap diaorang kerja. Balik kampung pun tunggu hari cuti.

Memang aku terasa hati sangat. Aku masuk bilik, dan aku menangis semahunya. Ibu aku sendiri tahu kenapa aku tidak boleh bertahan lama bekerja di sesuatu tempat.

Dan adakalanya, bila aku rasa aku tak tahan, dia pun minta aku berhenti kerja. Insha Allah lepas ni ada je kerja. Dia cakap macam tu. Aku sedapkan hati. Mungkin ibu aku penat sangat sebab tu dia terlepas cakap macam tu.

Aku tak tahu kenapa aku terasa hati sangat. Aku tak minta pun semua ni terjadi. Sekarang ni, setiap kali aku jobless, aku rasa diri ni macam tak berguna.

Kadang aku fikir, senangnya rezeki dia. Dapat kerja tetap. Dah kahwin. Dah ada pasangan. Dah ada anak. Dah bekeluarga. Diri aku? Jodoh belum sampai.

Bukan tak berusaha, bukan tak berdoa. Semuanya aku buat. Cuma mungkin belum tiba masa, jodoh aku sampai. Kerjaya pula terumbang ambing. Solat sunat taubat, tahajjud, istikharah dan hajat aku buat. Tapi mungkin belum sampai masa lagi doa aku di makbulkan.

Bila tengah jobless ni, banyak masa aku termenung memikir nasib diri. Kadang rasa diri ni tak berguna. Aku rasa sedih, kecewa dan macam macam lagi. Liku perjalanan hidup aku tak semudah macam orang lain.

Bukan aku nak buat perbandingan dengan mereka tapi apa yang berlaku di sekeliling aku, benda tu aku nampak. Aku tak cemburu atau iri hati. Cuma aku tertanya, kenapa ujian aku sebegini rupa. Doa aku setiap hari, semoga urusan aku sentiasa dipermudahkan olehNya.

Aku harap ada banyak pengajaran yang korang dapat dari kisah aku ni. Aku tak tahu apa penyakit aku ni. Nak kata depression tak jugak.

Setiap kali kalau aku duduk rumah dan tak kerja, aku akan rasa stress dan rasa diri tidak berguna. Aku berhati tisu, kadang ibu marah, aku cepat terasa sampai takut sangat. Kadang adik aku marah pun, aku terasa. Entahlah.

Untuk admin, terima kasih menyiarkan confession aku ni dan kepada semua pembaca, terima kasih sudi baca sampai habis.

– Cik N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *