Redha Allah

Assalamualaikum semuanya. Post ini adalah sekadar perkongsian. Jika ada manfaatnya semoga ia menjadi garis pandu buat kita, insyaaAllah.

Saya mempunyai seorang guru, guru yang banyak memberi tunjuk ajar dan merungkai kekusutan kehidupan dunia dan agama. Guru saya ini mempunyai ramai anak-anak murid lelaki dan wanita.

Pada tahun 2012 ketika kami (anak anak murid wanita) masih mempunyai kelas al-Quran dengannya, sekitar seminggu sekali, anak-anak murid lelakinya akan turut datang berkumpul di tempat itu dan lazimnya setelah belajar, kami akan berqasidah bersama.

Walaupun di antara kami (lelaki dan wanita) berpisah tempat duduk, tetapi alkisah saya mendengar perkhabaran dari teman teman akan seorang murid lelaki yang turut sama hadir di majlis majlis agama guru.

Mendengar cerita tentangnya, hati saya tertanya-tanya dan mula berdoa (walaupun saya tidak pernah melihatnya secara berhadapan dan kami tak saling mengenali). Saya berdoa, kerana lelaki itu dikhabarkan adalah lelaki yang soleh dan menjadi salah satu kesayangan guru, jika ada jodohnya semoga Allah menunjukkan jalan agar kami dapat bersama.

Kemudian, lewat tahun 2012, saya mendengar khabar bahawa lelaki itu melanjutkan pelajarannya ke luar negara. 4 tahun berlalu dan sepanjang 4 tahun itu doa saya masih sama; bahawasanya agar Allah menunjukkan jalan buat kami sekiranya itu yang terbaik di sisinya.

Akhirnya pada tahun 2016, saya yang sudah mula bekerja, diberitakan bahawa lelaki itu akan mula bekerja di tempat yang sama namun hanya sebagai staf separuh masa saja. Jujurnya saya teruja kerana merasakan bahawa doa selama 4 tahun itu sudah hampir tampak sinarnya.

Walau bagaimanapun, berkali-kali saya berpesan pada diri, “Allah menghadirkan lelaki itu di dalam ruang hidup ini kini, tentunya untuk menunjukkan satu di antara dua perkara; sama ada lelaki itu adalah jodoh buat saya atau sekiranya tidak, maka Allah ingin menunjukkan mengapa lelaki itu bukan jodoh buat saya.”

Maka bermulalah fasa saya mencari tahu dan mengenali lelaki itu dengan lebih lanjut melalui ruang pekerjaan. Kami sama sekali tidak berbicara lebih dari hal kerja, namun saya tetap cuba mencari jawapan melalui sekecil kecil perkara.

Dipendekkan cerita, saya mendapat tahu bahawa walaupun dia memang lelaki soleh, namun dia masih tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab berumahtangga. Dan bahawasanya dia tidak berminat meneruskan kerja di tempat saya walaupun hanya sebagai staf separuh masa dan dia akhirnya berhenti lalu mencari pekerjaan di tempat lain.

Lalu dengan perginya dia, turut berpergian jua hajat di hati saya, meyakini bahawa itu adalah jawapan Allah buat doa doa saya selama ini.

Alhamdulillaah melalui pengalaman yang tidak seberapa ini, saya mempelajari bahawa saat kita meminta sesuatu dari Allah, jika kita mendapatkannya bererti itu adalah jawapan dari Allah.

Dan jika kita tidak mendapatkannya, itu juga adaah jawapan dari Allah; bahawa itu bukanlah yang terbaik untuk kita. Lalu sebagai hamba, wajib kita syukuri apa saja yang telah Allah tetapkan di sepanjang perjalanan hidup kita.

Saat ini masih sendiri. Dan sendiri itu juga saya anggap sebagai suatu rezeki dari Allah. Doakan yang terbaik! Semoga sekalian pembaca juga akan sentiasa mendapatkan yang terbaik dari Allah.

Wassalam.

– Asrar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *