Salam dan Selamat Sejahtera. Aku Maya, seorang isteri dan ibu. Aku pernah post confession di IIUMC tahun lepas sebagai ISTERI DERHAKA, (https://iiumc.com/isteri-derhaka-3/).
Alhamdulillah. Aku telah keluar dari penjara seorang anxiety disorder dan depression.
Aku terpanggil untuk bercerita di sini sekali lagi kerana aku terbaca sebuah confession bertajuk ‘ANAK, Rezeki Atau Permulaan Suatu Tragedi ‘ (https://iiumc.com/anak-rezeki-atau-permulaan-suatu-tragedi/), oleh seorang ibu.
Seperti yang telah aku ceritakan di confession sebelum ini, aku telah meninggalkan kerjaya professional aku di sebuah international company disewaktu pandemik dan krisis ekonomi melanda negara kita.
Gaji yang sebelum ini aku gunakan untuk menyara lebih dari 50% kos kehidupan di kota raya kini telah tiada.
Aku berada di kedudukan paling bawah disepanjang hidupku.
Aku melalui kehidupan perit bersama suamiku, Man, seorang penjawat awam berpangkat rendah dengan gaji bersih RM2200 sebulan bersama anak perempuanku, Jelita yang masih tidak mengenal erti dugaan kehidupan.
Anakku telah disahkan sebagai celebral palsy dan mengikut kata doktor, Jelita akan terlantar dan makan menggunakan tiub untuk seluruh hidupnya.
Yang menambahkan lagi perit di dadaku apabila suami ku berubah menjadi lelaki yang melupakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Keluarga ku pula, ibu dan ayah serta adik-beradik ku tidak begitu berminat untuk mengetahui perkembangan Jelita. Seringkali anakku dibiarkan menangis sendirian ketika aku sedang sibuk dengan urusan lain.
Ini menyebabkan aku jauh hati, dan mula mengasingkan diri ku dari semua orang. Jika dengan berjauhan akan memulihkan hatiku, maka aku lebih rela menjauh.
Selepas aku meluahkan rasa di IIUMC tahun lalu, aku mendapat kecaman yang cukup hebat. Beratus perkataan bodoh yang dilemparkan kepadaku. Tak kurang juga yang memberi semangat dan doa.
Allahu akhbar. Aku tunjukkan kepada Man. Bertapa aku kecewa dan terluka. Aku sakit dan aku hilang jiwaku sebagai manusia.
Man menangis memohon maaf seperti kebiasaanya dia. Namun tidak mampu melegakan hati ku diketika itu.
Aku mencari pekerjaan semula dan menerima tawaran dari beberapa company tempatan dan antarabangsa dengan gaji 4 ke 5 angka sebulan.
Kemudian aku mencari fisiotherapist untuk menjaga Jelita dengan bayaran lebih RM5000 sebulan termasuk kos minyak dan makan pengasuh tersebut selama 10jam sehari bermula isnin sehingga jumaat.
Namun, sesuatu mengganggu aku. Tiada ketenangan dalam hatiku kerana tidak dapat menjaga Jelita dengan tanganku sendiri.
Jelita perlukan aku untuk dia bersemangat membuat terapi. Aku mahu berikan yang terbaik buat Jelita. Lantas aku memilih untuk kekal sebagai suri rumah sepenuh masa dan melepaskan tawaran pekerjaan itu.
Dalam banyak banyak komen diketika itu, aku terbaca satu komen yang membangunkan aku. Aku mula membuat analisa kehidupan.
Siapakah Maya yang sebenarnya? Apakah perlu aku akhiri perkahwinan ini? Lantas aku bangunkan malam ku dengan bertanya kepada Tuhan yang menciptakan.
Aku mencari kualiti pada suamiku dan bagaimana aku boleh menerima dia di dalam hidupku. Aku tidak mahu menghabiskan kehidupan ku sebagai isteri yang derhaka.
Benar. Seumur hidup itu terlalu lama. Aku yakin dengan keputusan ku memilih Man. Pasti bukan kerana rupa apatah lagi harta.
Setelah aku berjaya mencari kualiti yang ada pada Man dahulu, aku tunjukkan kepada Man siapakah dirinya di kaca mataku sebelum ini. Aku lihat Man termenung panjang.
Perlahan tangan ku disentuh, mengajak aku bersolat jemaah sekurangnya satu waktu sehari. Lama Man merenung aku. Tiada kata maaf lagi yang keluar.
Bermula dari saat itu, kami mengambil keputusan untuk move on demi kebaikan Jelita. Aku mula bercinta dengan tahajjud di setiap malam ku. Dhuha kadangkala aku lakukan.
Aku menukar cara berdoa. Tidak lagi meminta-minta, hanya rasa syukur meniti dibibirku.
Syukur pada Mu ya Rabb kerana memberikan aku nikmat islam dan iman, nikmat kesihatan, nikmat kasih sayang, menjadi isteri dan ibu, nikmat rezeki.
Perlahan-lahan aku lihat Man meninggalkan segala yang negatif dari hidupnya. Tiada barang terlarang, tidak bermain game online dan tidak menonton pornografi, tidak keluar dari rumah kecuali bersama aku dan Jelita.
Aku turut menyediakan diri ku sebagai seorang isteri yang bijak, sabar dan cantik di pandangan suamiku.
Membeli beberapa vitamin tambahan untuk kesihatan dalaman. Mula menyusun atur jadual fisioterapi di rumah. Aku tidak mahu pengorbanan aku berhenti kerja menjadi sia-sia.
Kurang dari 3 bulan, Jelita sudah boleh makan seperti biasa seorang kanak-kanak tanpa menggunakan tiub.
Jelita juga sudah boleh meniarap. Tidak lagi terbaring kaku. Apa yang membuatkan aku bertambah malu dengan Tuhan apabila Jelita sudah boleh berdiri dan menapak.
Walau aku harus memapah Jelita untuk bertatih, tapi sekurangnya dia sudah boleh berjalan laju menyambut Man pulang dari kerja.
Allahuakhbar. Menangis aku di sejadah mengenangkan bertapa malunya aku pada Tuhan untuk meminta-minta.
Soal kewangan pula. Dengan gaji Man lah kami hidup. Membayar pinjaman perumahan ku, membeli susu Jelita RM400 sebulan, membeli segala peralatan untuk terapi Jelita di rumah.
Entah dari mana semua duit itu, yang pasti hidup kami tidak terdesak. Masih mampu makan yang mewah, tiada yang kurang.
Malah kami masih mampu memberi sedekah kepada yang memerlukan. Permohonan kad OKU untuk Jelita masih dalam proses.
Alhamdulillah, segala nikmat yang Tuhan berikan kepada aku. Aku pula membuat perniagaan kecil-kecilan di rumah untuk mencari kualiti diri.
Juga menyambung pelajaran ku keperingkat yang lebih tinggi di institusi awam. Aku ingin menjadi isteri dan ibu yang ada nilai tersendiri.
Aku, sekadar berdamai dengan takdir yang tertulis buat ku. Redha bukan bererti pasrah. Redha dengan cara menerima dan berusaha memperbaiki kesilapan lalu.
Akhir kata, terlalu banyak perubahan dalam masa 6 bulan ini. Entah doa siapakah yang Allah makbulkan. Aku tak mampu membalasnya.
Sungguh aku berterima kasih kepada pembaca yang memberi komen di confession ku yang pertama bertajuk Isteri Derhaka. Aku terhutang budi dan nyawa pada kalian.
Kalian bukan sahaja menyelamatkan jiwa ku, kalian telah menyelamatkan Jelita dan Man.
Allahuakhbar. Tiada daya upayaku melainkan dengan bantuanNya. Dan ini ramadhan pertama aku merasai nikmat bahagia bersama Man dan Jelita. Terima kasih semua pembaca.
– Maya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit