Redha Seorang Isteri

Salam semua. Nama saya Bihun (bukan nama sebenar). Harap confession Bihun tersiar. Bihun terpanggil nak hantar confession kat sini.

Panjang sikit confession ni kalau korang rajin membaca, bacalah. Bihun bukan nak share sejarah hidup Bihun ke apa.

Cuma Bihun just nak share sedikit pengalaman Bihun dalam melayari hidup berumah tangga mana tahu boleh jadi pedoman buat mereka yang masih struggle dalam kehidupan berumah tangga.

Oklah Bihun mulakan cerita Bihun. Bihun ni biasa-biasa saja dalam kehidupan Bihun. Untuk makluman semua Bihun seorang eksekutif di sebuah organisasi jadi pendapatan Bihun alhamdulillah bolehlah nak hidup.

Bihun berkahwin dalam usia 30an dengan rakan sebaya yang sama-sama belajar di universiti dengan Bihun. Alhamdulillah suami Bihun baik.

Walau bukanlah orang yang selalu baca Quran dan ke surau, suami Bihun lelaki yang tak tinggal solat, berpuasa penuh juga bertanggungjawab, baik dan sayangkan Bihun seadanya. Kerjayanya pun ok dengan pendapatan lebih kurang sama dengan Bihun.

Di awal perkahwinan biasalah bila suami Bihun mula membayar ansuran rumah yang dibeli dengan jarak perjalanan rumah yang jauh dengan tempat kerja serta dah mula ada anak, memang selalu lah short duit di sana sini.

Kami tinggal di bandar besar , faham-fahamlah kos sara hidup yang tinggi. Sebagai isteri, Bihun pada mulanya tak kisah membantu. Kami bahagi komitmen bulanan seperti bayaran utiliti, pengasuh dan sebagainya.

Mula2 Bihun ikhlas. Bihun tak kisah untuk dahulukan apa yang patut untuk perbelanjaan kami.

Untuk makluman semua memandangkan Bihun dan suami berkahwin pada usia 30an kami berdua dah stabil dari segi kerjaya dan kewangan. Tapi suami tiada simpanan. Selama Bihun mula bekerja duit Bihun tak pernah tak cukup.

Malah simpanan Bihun tak luak. Tapi sejak berkahwin Bihun mula perasan Bihun dah tak boleh berbelanja macam sebelum Bihun kahwin.

Simpanan Bihun semakin berkurangan kerana bantu suami. Lama kelamaan keikhlasan Bihun pun mula terhakis di angin lalu.

Bihun mula mempersoal kenapa asyik Bihun je keluarkan duit. Kenapa Bihun kena kira-kira duit Bihun sedangkan sepatutnya bila berkahwin Bihun patut lebih senang sebab ada suami yang sepatutnya menanggung Bihun.

Suami Bihun tak pernah bagi fix duit pada Bihun sebab selalu tak cukup duit. Tapi dia masih keluarkan belanja. Bukanlah dia lepas tangan.

Cumanya suami Bihun tak ada duit lebih dalam tangan setiap bulan walau Bihun dah top up banyak di sana sini. Sampai kadang-kadang dia nak pergi kerja korek duit syiling dalam tabung sebab dia malu nak pinjam duit Bihun. Suami Bihun cuba juga cari duit tepi tapi satu pun tak menjadi.

Walaupun setiap hari hati Bihun meronta-ronta berkira-kira tentang semua duit Bihun yang habis, sekali pun Bihun tak pernah mengungkit depan suami Bihun.

Bihun tak nak suami Bihun rasa dirinya tak berguna kerana suami Bihun agak sensitif orangnya. Bihun berperang dengan diri Bihun sendiri.

Lama kelamaan ia memberi kesan kepada perhubungan kami. Bihun mula dingin dengan suami. Sampai satu tahap Bihun meluat tengok muka suami. Maka berantakanlah hubungan kami dengan masing-masing ada saja tak berpuas hati.

Bihun sebenarnya sayang suami Bihun. Bihun sedar suami Bihun baik. Tak pernah buat benda bukan-bukan. Tak pernah tinggi suara pada Bihun. Tak pernah naik tangan pada Bihun.

Cumanya sikap tidak prihatin suami yang selalu buat Bihun marah. Bihun rasa tidak dihargai dengan semua pengorbanan Bihun.

Rasanya perangai suami Bihun sama saja dengan ramai lagi suami-suami diluar sana.

Tak reti ucap terima kasih. Tak reti nak bantu kerja-kerja rumah melainkan disuruh. Tak faham dengan kiasan-kiasan yang Bihun bagi dan macam-macam lagi. Memang mostly orang lelaki begitukan.. Ya Bihun berkira.

Anak-anak juga jadi mangsa Bihun melepaskan marah pada suami. Sampailah satu masa Bihun tersedar. Apa yang Bihun mahu sebenarnya.

Bukan salah suami Bihun dia tak cukup duit nak menampung kehidupan kami sedangkan pendapatan kami berdua agak banyak juga sebenarnya.

Maka Bihun renung diri Bihun. Bihun pujuk hati Bihun untuk redha. Untuk halalkan semua duit Bihun yang telah Bihun belanjakan untuk keluarga kecil kami. Bihun redha suami Bihun tak bagi nafkah tetap pada Bihun.

Kenapalah hati Bihun jahat sangat. Suami Bihun dah sediakan tempat tinggal, makan dan minum untuk Bihun,

(Punya jahat hati Bihun, Bihun boleh berkira sampai tahap Bihun fikir suami tak bagi nafkah makan cukup pun sebab Bihun tanggung diri sendiri bila Bihun makan kat ofis pakai duit sendiri.

Bihun anggap suami Bihun cuma beli beras je. Lauk2 biasa Bihun yang beli sebab Bihun yang shopping. Dah la duit pengasuh anak Bihun juga akhirnya Bihun yang bayar.

Nasib baik masa awal perkahwinan Bihun memang dah bagitau suami Bihun beras, susu dan pampers anak macam mana tak ada duit wajib itu semua suami Bihun kena sediakan.

Dah la segala bil air, api, astro, internet Bihun jugak yang settelkan. Bihun pun ada komitmen loan kereta dan rumah Bihun sendiri. Masa ni memang Bihun mempersoalkan setiap sen duit Bihun)

Sambung balik…. Jadi apabila saban hari bergaduh dengan suami, dengan rajuk suami yang melebihi rajuk Bihun (kan Bihun kata suami Bihun sensitif orangnya. Hahahaha)

Bihun pujuk hati Bihun untuk redha. Setiap hari Bihun bercakap dengan diri Bihun, untuk hidup tenang Bihun mesti redha.

Bihun mesti baiki hati Bihun. Bihun nak tua bersama suami Bihun. Tak nak perkahwinan Bihun berakhir dengan perpisahan.

Dan Allah itu Maha Penyayang. Bihun perasan sejak Bihun redha dengan suami Bihun, Allah bukakan pintu rezeki buat suami Bihun. Satu demi satu Allah bagi side income buat suami Bihun.

Macam Bihun cakap sebelum ni suami Bihun memang baik orangnya. Dia tak pernah berkira dengan Bihun. Kalau dapat duit lebih pasti akan ada portion untuk Bihun.

Selama ni dia tak ada duit lebih nak mewahkan Bihun. Tapi bila rezeki mula masuk alhamdulillah suami Bihun tak pernah lupakan Bihun.

Bihun mula nampak hikmah apabila seorang isteri redha dengan suaminya. Sejak dari itu walau kami bukan lah mewah sangat tapi kami tak pernah tak cukup duit. Macam mana kering pun duit gaji lepas bayar komitmen, masih tetap mencukupi ke akhir bulan.

Sampaikan masa suami tiba-tiba menganggur kerana companynya tutup kami boleh bertahan selama beberapa bulan tanpa meminjam satu sen pun dari sesiapa. Sedangkan kami bukan ada simpanan.

Allah permudahkan dengan by the time suami tak ada kerja, pinjaman-pinjaman banknya sebelum ini baru selesai.

Ada tidak suami dengan side income yang ada bolehlah tampung serba sedikit perbelanjaan kami. Duit rumah boleh bayar dengan KWSP suami. Dengan gaji saya masih mampu menampung komitmen bulanan seperti sebelum ini walau kena berjimat,

Tak pernah la kami anak beranak makan nasik dengan telur dan kicap saja. Masih ada lauk lain di atas meja. Kami harungi dengan tenang dugaan itu.

Sedikit Bihun tak goyah dengan percaturan Allah. Keyakinan Bihun yang akan ada reZeki buat suami Bihun akhirnya berbayar.

Alhamdulillah sekarang suami Bihun dah ada kerja lain.

Bihun selalu merenung semula hikmah yang Allah bagi dari apa yang berlaku.

Walau sekarang setelah bertahun berlalu, dengan kenaikan pangkat, gaji Bihun dah lebih dari gaji suami Bihun, tapi sekarang Bihun keluarkan belanja untuk perkara-perkara tambahan seperti insurans anak, bayar coway, bayar Netflix, pendek kata benda-benda yang bukan keperluan wajib.

Perlahan-lahan Bihun serahkan tanggungjwab ke atas kos-kos nafkah dan keperluan sekolah, sekolah anak-anak dan perbelanjaan kemahuan Bihun kembali kepada suami Bihun.

Alhamdulillah suami pun Bihun tengok tak pening kepala susah hati macam dulu kerana ada saja peluang tambah pendapatan yang Allah berikan kepadanya. Bihun sentiasa doakan Allah buka pintu rezeki untuk suami Bihun demi Bihun dan anak-anak jua.

Walau tak pernah bertanya akan kedudukan kewangannya, Bihun belajar untuk meminta suami membelikan keperluan dan kehendak Bihun.

Bihun perasan sebelum ini Bihun nak apa Bihun beli sendiri dan ini adalah salah satu sebab Bihun tak berpuas hati selama ini..

Bihun mula sedar suami Bihun orang yang kalau nak apa-apa Bihun kena cakap dan beritahu. Kalau tak memang dia tak terfikir.

Dan alhamdulillah setakat ini tak pernah dia menolak apa-apa yang Bihun minta belikan. Kadang-kadang Bihun share saja link shoppee mintak suami Bihun bayarkan.

Tapi jangan salah sangka, Bihun isteri yang berhemah. Tak pernah lagi Bihun mintak benda mahal-mahal di luar kemampuan suami. Taste Bihun pun bukanlah barang-barang mahal. Hehehe.

Bodohkan Bihun dulu. Berkira dengan suami Bihun sedangkan Bihun sendiri yang keluarkan duit berbelanja untuk kami. Bihun sendiri yang tak pernah meminta dari suami Bihun. Lepas tu Bihun yang terasa suami tak peduli.

Jadi sekarang Bihun dah pandai. Kalau nak beli apa-apa untuk anak-anak atau nak keluar shopping Bihun akan minta duit dari suami.

Bihun terima saja berapa yang dia bagi. Kalau tak cukup nanti kira Bihun tambah belanja dengan duit Bihun. Kan ke senang macam tu.

Bihun pun dapat pahala kan.

Apa yang sebenarnya yang Bihun nak kongsikan kepada semua ialah pentingnya redha seorang isteri. Bihun percaya redha seorang isteri adalah pembuka pintu rezeki untuk suami.

Suami-suami di luar sana yang sentiasa berasa rezeki tidak cukup, Bihun nasihatkan beralihlah kepada isteri anda.

Tanyalah dari hati ke hati apakah isteri anda betul-betul redha dengan anda. Suka Bihun beritahu, ramai isteri-isteri seperti Bihun sebelum ini nampaknya seperti tenang tiada apa-apa, tapi hatinya siapa yang tahu.

Bihun selalu berfikir… patutlah ramai lelaki-lelaki yang hidupnya menganiaya isteri, Allah sekat rezeki dan kegembiraannya.

Tengoklah di sekeliling kita betapa ramai lelaki yang berjaya, tiba-tiba jatuh terjelepuk bila menganiaya isteri, bila redha isteri itu tiada. Begitulah pada hemat Bihun akan pentingnya redha isteri.

Bagi para isteri di luar sana yang turut mengerah tenaga membantu suami masing-masing sekiranya ada sekelumit rasa tidak puas hati dalam hati, berbincanglah dengan suami.

Usah dipendam dalam hati. Sekiranya tidak, didiklah hati itu untuk redha selagi mana suami korang manusia yang baik-baik saja.

InsyaaAllah, Allah akan bukakan rezeki seluasnya untuk beliau. Tapi suka Bihun tegaskan disini, kalau suami tu sejenis jantan tak guna, faham-fahamlah ye….…

Sekian dari,

– Bihun Sup (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *