Relakah Aku Melepaskanmu?

Assalamu’alaikum, nama aku Fikri. Aku berusia 30 tahun pada tahun 2020 ini. Maaf ya semua, mungkin cerita yang aku tuliskan ini agak panjang, tetapi aku berharap ia akan menjadi panduan dan iktibar untuk pembaca iium confession sekalian.

Ketika zaman persekolahan, aku pernah menjalinkan hubungan dengan seorang budak perempuan ini. Afiqah namanya. Dia cantik, sopan santun orangnya.

Masa ini, bapa Afiqah baru saja ditugaskan ke kampungku setelah 5 tahun berkhidmat dengan syarikat kejuruteraan di Johor Bahru.

Aku dan Afiqah bersahabat selama 5 tahun dari kali pertama aku masuk ke sekolah menengah sampai habis spm. Tamat saja spm, aku dan Afiqah berpisah.

Aku melanjutkan pelajaranku ke Kolej Matrik manakala Afiqah melanjutkan pengajiannya ke UITM Shah Alam. Sejak daripada itu, hubungan kami berdua terputus.

Selepas habis ijazah, aku terus mencari peluang pekerjaan dan ALHAMDULILLAH aku diterima bekerja di sebuah syarikat perkapalan yang terkemuka di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Aku masih ingat lagi, sewaktu aku mendapat cuti yang pertama, aku pulang ke kampung untuk menziarahi abah dan emak setelah berbulan lamanya tidak pulang.

Kepulangan aku disambut dengan gembira oleh abah dan mak. Mana tidaknya, anak kesayangan kan? Hehehe.

Paling aku rindu sekali ialah masakan air tangan mak, asam pedas ikan keli dan sayur goreng belacan. Dalam pada itu aku bertanyakan kepada sesuatu kepada mak mengenai kepulangan Afiqah ke kampung.

Mak berkata “Afiqah ada balik hari itu.. mak nampak dia masa mak baru balik daripada kenduri rumah mak cik siah.. tapi yang mak nampak tu bukan afiqah sorang je yang balik.. ada seorang lelaki..”

Jawapan yang keluar dari mulut mak, membuatkan aku kehairanan dan terkejut. “Apa? lelaki?? siapa?? suami dia??” Hati aku mula meneka. “Mungkin..” kata mak.

Tanpa melengahkan masa, aku terus pergi ke rumah orang tua Afiqah yang tidak jauh daripada rumah abah dan mak.

Semasa aku sampai di rumah Afiqah, aku ternampak sosok badan tua yang berdiri sambil bercekak pinggang di hadapanku. Ternyata dia ialah Encik Razman, bapa kepada Afiqah.

“Ada apa kau datang mari!!??” Dengan wajah yang bengis dan marah, Encik Razman bertanya kepada aku.

“Saya nak jumpa dengan Afiqah..” Jawabku.

“Afiqah tak ada di sini!! Dia dah duduk tempat lain..”

“Tapi encik.. saya nak jumpa..”

Belum habis aku bertanya, Encik Razman sudah memotong tanpa memberi peluang.

“Ah!! sudah.. lebih baik kau pergi dari sini!! budak tak ada masa depan.. b*d*h..!!” Makian dan cacian yang dikeluarkan oleh mulut Encik Razman membuatkan hati lelaki aku terluka.

Maruah aku bagaikan diinjak-injak. Sampai hati!! Kejam!! Kejam sungguh!! Aku kerja pun dah bagus, tetapi tetap juga aku dihina bagaikan sampah!!

Semasa di rumah abah dan mak, mereka berdua sering melihat aku selalu termenung di tangga.

Mak dan abah selalu menasihati aku supaya aku bersabar dan terus kuat untuk menghadapi ujian dan cabaran. Di dalam bilik tidurku, aku ambil semua gambar-gambar kenangan aku bersama Afiqah.

Aku membawa semuanya keluar dan aku buang serta aku bakar sehabis-habisnya di tempat bakar sampah. Masa itu, kenangan cinta dan memori silam aku dan Afiqah terus berkubur. Dan aku harap semoga Afiqah terus melupakan aku untuk selamanya.

Setelah bercuti di rumah abah dan mak, aku pulang semula ke KL. Tetapi pada kali ini, aku tidak lagi mahu bekerja syarikat perkapalan itu. Sebaliknya, aku ingin membawa diri ke London untuk memulakan kehidupan baru.

ALHAMDULILLAH, di sana aku dapat mengusahakan sebuah perniagaan iaitu membuka restoran.

Dengan berbekalkan ilmu masakan yang dicurahkan oleh Mak semasa aku kecil dulu, aku dapatlah masak nasi lemak, nasi goreng, kari kepala ikan dan bermacam-macam lagilah ilmu yang dicurahkan oleh Mak yang masih tersimpan kemas di fikiran.

Restoran ini bukan sahaja aku yang usahakan tetapi ia adalah hasil usaha sama aku dan kawan baik ku semasa menuntut di Matriks iaitu Nizam. Nizam sahabatku, bukan sahaja pandai masak, tetapi dia juga pandai menyanyi.

Lima tahun kemudian, restoran kami semakin berjaya dan semakin ramai pelanggan yang datang ingin mencuba masakan melayu tradisional. ALHAMDULILLAH.

Sehinggalah pada suatu hari, aku didatangi oleh seorang perempuan. Sosok tubuh badannya aku kenal tetapi kali ini penampilannya agak berubah dan sekarang bertudung.

Ya, Afiqah! Perempuan yang pernah mencuri hatiku, perempuan yang meninggalkan aku dan pergi begitu sahaja tanpa sepatah kata-kata.

“Awak buat apa di sini!!” Tanya aku dalam keadaan marah.

“Saya nak jumpa dengan awak, saya nak minta maaf pada awak fik..”

“Baru sekarang awak nak minta maaf pada saya.. Kenapa dari dulu awak tak cari saya??!!”

“Saya minta maaf fik, saya tak sempat nak cari awak.. balik Malaysia saja, ayah dan ibu terus jodohkan saya dengan Farel..tolong maafkan saya fit.. maafkan saya..”

Melihat rayuan Afiqah itu membuatkan rasa simpati datang tiba-tiba. Tetapi bila teringatkan peristiwa itu, hati aku keras menjadi batu.

“Suami awak mana?” Aku bertanyakan perkara itu kepada Afiqah.

“Dia dah pergi tinggalkan saya dan anak-anak untuk bersama perempuan lain,” matanya tiba-tiba dilimpahi cahaya air yang terang.

Dia cuba menjelaskan segala-galanya. Sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Farel, hidup bagaikan berada di alam neraka.

Farel bukanlah sebaik yang disangka. Farel sebenarnya kaki pukul, kaki perempuan, kaki judi dan kaki duit.

Itulah perangainya yang sebenar hingga membuatkan keluarga Afiqah tidak sedar siapa sebenarnya Farel. Dia juga bercerita, bahawa dia pernah mengalami masalah kewangan sehingga dia kehilangan kerja.

Dan dialah menjadi tempat untuk Farel melepaskan marah dan tumbukkan jika dia tidak memberikan wang.

Aku tertanya-tanya dalam hati, apa patut ke aku kembali meneruskan perhubungan yang selama ini hancur kerana orang ketiga bersama Afiqah? atau terus hidup sendirian begini selamanya?

Setiap malam solat Isyak, sahabatku Nizam sering memberi kata-kata nasihat untukku supaya bersabar dan dia berpesan, jika Afiqah itu jodohku maka aku perlu meneruskan perhubungan ini dan jika Afiqah bukan jodohku maka aku akan melepaskannya.

Tetapi, relakah aku melepaskannya? Setiap malam, aku akan membuat solat istikharah supaya aku dapat memperolehi segala jawapan.

– Fikri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *