Rendah Diri

Assalamualaikum. Aku kenalkan diri aku sebagai W. Pertama sekali aku nak ucapkan bebanyak terima kasih kalau admin sudi siarkan kisah aku yang tak seberapa ni. Kisah aku mungkin tak menarik, tapi aku rasa aku perlu kongsi kat sini sebab aku tak(belum) jumpa orang yang betul2 aku percaya untuk aku kongsi kisah hidup aku.

Aku dilahirkan dalam keluarga susah. Bapa aku hilang kerja pada tahun aku dilahirkan. Lima tahun kemudian, bapa aku kena stroke, lumpuh separuh badan. Ramadan 2004, bapa aku meninggal, masa tu umur aku 8 tahun. Aku anak bongsu daripada 5 beradik, kakak sulung masa tu masih bersekolah. Disebabkan bapa aku takde tinggalkan harta dan takde pencen, mak aku terpaksa cuba pelbagai ikhtiar untuk pastikan keperluan kitorang sentiasa mencukupi.

Tahun 2011, kakak aku grad dari sebuah poli di utara. Expectation kami masa tu, hidup kami akan berubah, mak aku tak perlu jual kuih lagi, kami tak perlu tinggal di rumah buruk, boleh beli kereta, boleh makan pakai yang bagus dan hidup macam keluarga lain. Tapi realitinya bukan senang nak dapat kerja yang bagus & sesuai dengan kelayakan kita. Kakak aku, perempuan kedua paling tabah & kental yang aku pernah kenal dalam hidup aku selepas mak aku sendiri. Macam-macam kerja dia buat lepas grad. Kerja di kedai telefon, jadi pengasuh, jadi kerani, jaga mesin wang. Tapi hidup kami tak banyak berubah. Yang bertambah cuma hutang (ptptn & hutang rumah).

Dari sekolah rendah lagi aku ada rasa rendah diri yang melampau. Aku tak suka kawan-kawan aku datang ke rumah. Aku tak ikut bila kawan-kawan aku ajak keluar. Aku tak lepak dengan kawan-kawan sebab topik yang diorang sembang kedengaran mewah pada telinga aku. Hari raya, hari yang paling aku tak suka. Bila kawan-kawan cakap nak datang, aku akan bagi macam-macam alasan yang kebanyakkannya tak betul. Aku malu dengan keadaan rumah aku yang buruk dan berbau(jangan dipersoal). Kami masih tinggal di rumah lama, rumah semasa ayah aku masih hidup, rumah sebelum kakak aku grad. Raya tahun ni, aku masih lagi tabur alasan asalkan kawan tak datang beraya. Rasa bersalah memang ada, takut dituduh lupa kawan, tapi aku betul-betul segan kalau diorang datang beraya.

Kadang-kadang datang rasa cemburu bila tengok orang lain bahagia dengan keluarga masing-masing. Selalu sangat aku persoalkan, kenapa mesti aku yang hidup dalam keluarga ni(jangan contohi aku). Kenapa bukan aku yang keluar naik kereta ramai-ramai dengan keluarga, yang keluar makan, keluar beraya, keluar berjalan, pergi melancong, shopping raya, melawat saudara jauh-jauh. Ya, aku tau fikiran aku salah, tapi bila dah terlalu lama hidup dalam keadaan macam ni aku rasa tersisih. Keluarga aku tak rapat dengan saudara mara, sebab berjuumpa cuma pada hari raya. Kami tak mampu nak datang melawat, biasanya cuma tunggu diorang datang dengan kereta-kereta diorang. Aku yakin semua adik beradik aku rasa rendah diri dengan kehidupan saudara aku yang lebih senang. Keluarga aku takde bergambar mesra dengan saudara macam yang orang selalu upload di facebook. Setiap kali raya, aku akan rasa tak selesa. Rasa nak cepat-cepat je habis raya sebab aku betul-betul tak selesa bila orang datang bertandang.

Aku tau nasib keluarga aku tak seteruk orang lain, tapi disebabkan aku ni dikelilingi orang yang senang, kawan dari keluarga senang, saudara-mara yang hidup senang, aku mula membanding-bandingkan hidup aku dengan diorang (lagi sekali, jangan contohi aku). Bagi yang pernah kehilangan bapa, korang akan tau macam mana rasanya bila hilang tempat bergantung. Aku bukan nak dakwa yang rezeki tu datang dari bapa, tapi bila mana cuma bapa kau seorang yang bekerja dengan adik-beradik masih bersekolah, kau akan rasa lumpuhnya keluarga kau. Dari sekolah rendah sampailah habis sekolah menengah, bahagian pendapatan dalam borang SMM aku tertulis RM150 + bantuan kebajikan. Paling rendah dalam kalangan budak kelas aku. Bila nak submit borang tu, selalunya aku selit-selit di celah borang orang lain supaya orang tak tengok borang aku. Masa tu memang rasa rendah diri sangat-sangat. Rasa kecil gila. Dan aku perasan, orang macam aku ni selalunya tak jadi perhatian cikgu, yang cikgu suka biasanya anak-anak cikgu & orang yang parentsnya kerja bagus/banyak menyumbang ke tabung sekolah.

Bila dah sambung belajar di IPT, aku cuba sembunyikan latar belakang aku. Aku jarang bercerita pasal keluarga aku pada kawan-kawan dan aku jarang bertanya pasal keluarga diorang. Aku cuba elakkan daripada bertanya soalan-soalan yang pada aku akan memancing diorang untuk bertanya lebih pasal aku. Sebab utama adalah aku rasa rendah diri dan kedua aku tak suka bila orang bersimpati dengan nasib aku. Selalu sangat aku tolak ajakan kawan untuk keluar, sebab aku tahu selera diorang berbeza dengan aku which means, makanan diorang mahal dan mewah. Aku lebih memilih untuk berjimat daripada achieve friendship goals atau making moments together sebab aku takde terima duit daripada keluarga macam diorang, duit yang aku dapat untuk sara hidup itu je la yang aku pakai hatta sewaktu cuti semester.

Kadang-kadang aku bimbang juga kalau ada member tuduh aku ni anti sosial ke kera sumbang ke kacang lupakan kulit ke, tapi aku prefer untuk berdiam diri daripada tabur isi hati aku pada diorang. Setakat ni, aku belum jumpa kawan yang senasib dengan aku, yang aku boleh kongsi kisah, perasaan, pengalaman aku pada dia. Yang aku jumpa hanyalah kawan yang jauh lebih bernasib baik berbanding aku dan ini yang menyebabkan rasa rendah diri aku makin hari makin teruk. Kawan-kawan aku yang sama-sama terima bantuan/biasiswa masa sekolah dulu pun dah berubah kehidupan diorang. Aku tahu nasib keluarga aku bukanlah yang paling teruk yang pernah Tuhan kurniakan, dan kisah aku bukanlah yang paling teruk yang pernah korang dengar. Tapi aku rasa terseksa bila mana takde siapa-siapa yang boleh aku percaya untuk aku luahkan pasal nasib keluarga aku. Apa-apa pun, aku masih bersangka baik dengan Tuhan. Aku tak salahkan Dia sebab kurniakan nasib sebegini pada keluarga aku. Dan aku tahu aku salah bila mana aku membanding-bandingkan rezeki aku dengan rezeki orang lain. Point aku dalam artikel ni cumalah; aku rasa rendah diri dan aku tak tahu macam mana nak atasi.

Bagi yang sedang menerima nasib seperti aku, atau bahkan yang lebih dahsyat daripada aku, aku doakan yang baik-baik untuk kalian. Nasihat aku, sentiasa bersabar dan bersangka baik dengan Tuhan, dan jangan contohi sikap buruk aku yang banyak iri dengan rezeki orang. Semoga rezeki kalian sentiasa diberkati Allah. Akhir sekali, terima kasih kepada yang sudi membaca.

– W

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit