Rendah Diri Atau Hati Keladak

Assalamualaikum selamat sejahtera… Moga kita semua dilindungi dengan kebaikan dan diberkati.

Coretan ini sekadar berkongsi kisah hidup yang saya rasa jauh ketinggalan dan suram jika membandingkan dengan yang lebih cantik dan cemerlang…. Jika diikutkan, sudah selesa atau baik-baik sahaja, sesuai dengan cara hidup sendiri tapi….

Saya kena sedar yang saya kalah dalam perbandingan pencapaian dengan mereka yang pernah sama sekolah dulu.

Jika dulu, kawan yang pernah sekelas, yang nampak diam, yang tak masuk banyak acara sekolah, yang tak pegang sebarang jawatan… Yang saya rasa kita sama level… Sekarang mereka dah jauh meninggalkan diri ini…

Sejauh usiaku, yang kini mencecah 40 tahun.

Apa pencapaian hebatku, alhamdulillah dapat lahirkan 7 orang anak yang sempurna… Kurniaan Allah SWT.

Namun, bukan bermakna saya ibu yang hebat, yang mampu mendidik dengan sabar tanpa marah atau tangan.

Tak mampu nak hadap mengajar tiap perkara dengan tenang, anak tidak mendapat prestasi yang baik dalam pelajaran kerana saya kurang fokus pada banyak aspek tentang mereka… Ini yang saya rasa…

Baik saya fokus yang positif saja, tapi inilah saya… Saya yang jenis pendiam pemendam pemalas…

Jadi, saya boleh dihinggap penyakit bimbang, takut, sedih, jika mahu memikirkan terlalu jauh… Sebab saya bandingkan dengan anak kawan-kawan lama.. belum bandingkan dengan anak selebriti.

Ya, anak mereka boleh khatam Al-Quran sebelum 7 tahun. Anak saya 7 tahun baru mula iqra. Anak mereka seawal 7 tahun dah solat lima waktu, anak saya yang belas tahun tu pun masih liat…

Saya rasa kalah, murung… Kenapa mereka boleh aku tak… Itu baru contoh mudah. Tapi aku sedarkan juga diri, jalan hidup kita tak sama…

Aku sibuk uruskan anak dan rumahtangga, dapat jodoh dengan lelaki yang tak suka mengemas dan ambil hati, jadi situasi ini memundurkan. Lainlah mereka suami ambil peranan jaga dan ajar anak. Suami beri layanan istimewa kepada isteri…

Kena pula kerjaya mereka meletakkan status ekonomi mereka stabil. Mereka mampu menghantar anak ke kelas berbayar, guru peribadi, banyak masa bersama kerana ada pembantu..

Jadi masakan sama dengan ibu yang tidak berpendidikan tinggi, terperuk di rumah dengan anak tak mampu nak hantar ke kelas berbayar, faktor duit dan masa.

Jadi… Saya terima taqdir ini. Tapi, adakah sebenarnya saya yang kurang berusaha. Saya yang mudah mengalah. Saya yang buang masa malas dengan buat perkara lain yang tak penting. Saya yang tak pandai tak matang walau dah berumur. Saya yang gagal ambil dan curi peluang..

Saya renung kembali… Anak-anak sihat syukur… Tuhan masih sayang dan sangat sayang saya walaupun saya sering mengalah menyalah… Sering abaikan perkara wajib dan sunat. Terlalu fikirkan dunia dari akhirat..

Sebenarnya…. Saya pernah mendapatkan rawatan psikiatri. Jadi, faktor ni menyebabkan saya rendah diri dan antara yang menyumbang masalah kecelaruan itu kerana kuat cemburu… Hati keladak.

Selagi hati keladak penyakit jiwa tu tak hilang… Makanlah ubat atau dadah, penyakit hati ubatnya lain… Ubat hati ada lima perkaranya…

Lagu-lagu ketuhanan banyak memujuk hatiku. Sejenis yang banyak layan lagu… Lagu juga terapi.

Kasihan… Kesan tekanan ibu bagai membawa ke anak… Ada masa anak bagai luar kawalan marah atau bergaduh. Sedar saya kurang menyempurnakan segala kehendak mereka…

Ada masa mereka hanya mahu ibu duduk bermain atau mendengar kisah mereka dengan perhatian kasih sahaja… Namun, ibu banyak termenung.

Ibu rasa rendah diri. Ibu tak berani nak berkawan dengan kawan lama yang hebat dengan kereta besar mereka. Kami hanya ada kereta lama yang selalu rosak… Mereka sudah ada rumah sendiri yang sempurna kita masih menyewa…

Rasa rendah diri itu hingga tidak mahu berkongsi kenangan di media sosial, tiada gambar kita bercuti atau gambar anak-anak gembira dengan cara sendiri, main apa yang ada.. tak, saya tak sanggup kongsi kerana rasa kecil sahaja jika terbanding dengan mereka.

Melihat coretan perkongsian mereka yang bercuti… Yang berpakaian sedondon berjenama… Yang dapat masuk sekolah terbaik… Yang mendapat hadiah dari orang tersayang… Saya makan hati. Saya tak mampu lagi.

Ya, ada yang kata kita ada rezeki tersendiri. Ada zon masa tersendiri. Tak sama dan tak boleh banding….

Tapi jika bab rezeki dan pencapaian tu kerana kita yang lemah tak kuat semangat… Yang kalah sebelum berjuang… Mungkin orang tak pandang, atau pandang hina kan.

Impian saya…. Mahu anak jadi soleh solehah… Mahu sama-sama masuk Syurga. Jika tak mampu dapat Syurga dunia, moga nanti dapat Syurga di sisiNya.

Duit tidak boleh beli bahagia. Tapi duit dapat beli benda yang buat bahagia… Seadanya aku, di dunia sementara… Aku mahu terbang tinggi tapi sudah lama aku bermimpi. Moga anakku mampu mencapai impiannya. Insha-Allah.

Maaf dengan luahan sebegini… Macam tak ada isi. Tapi mungkin ada yang mengerti. Hati ini mahu menyayangi sepenuhnya namun ia wadah yang mudah dibayangi silau dunia…

Pernah kecewa, pernah terluka. Tapi itu mengajar diri agar tidak membuat orang lain juga kecewa dan terluka… Hakikat ketenangan dan kebahagiaan pernah juga hadir tanpa cukup disyukuri.

Syukran. Alhamdulillah ala kulli hal.

– Kak Long Sayang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *