Assalamu’alaikum.. Pertama sekali terima kasih admin yang sudi siarkan penulisan ini. Juga terima kasih kepada yang sudi membaca..
Apa yang ana banyak renungkan adalah tentang kematian.. Ana terfikir kenapa ada yang pergi dalam keadaan jasadnya baik dan ada yang jasadnya tidak sempurna..
Adakah keadaan jenazah tu menentukan keadaan dia dibangkitkan.. Kita meminta untuk mendapat husnul khatimah, pengakhiran hidup yang baik, dan pastilah amalan masa hidup menentukan siapa dia, orang soleh atau fasik. Banyak dosa atau pahala.
Jadi tidak semestinya jasad kaku yang elok di keranda itu kerana mati husnul khatimah jika sungguh masa hidupnya bukan orang beriman.
Dan jasad yang mungkin tidak sempurna contoh seperti mati dalam peperangan, cedera sana sini adakah tidak baik. Malah jika jasadnya hancur sekalipun, dia dinilai syahid kerana imannya.
Syahid ini bagai satu makam terhebat untuk cepat memasuki Syurga tanpa hisab.
Bukan apa, dulu kita pernah dimomokkan dengan kisah misteri jenazah aneh oleh majalah mastika. Atau drama tanah kubur yang agak menakutkan.
Namun pernahkah kalian lihat ada wajah jenazah yang tenang seperti tidur.. malah bagai tersenyum.
Sampai sekarang ana masih ingat wajah arwah atok. Walaupun dah meninggal 15 tahun lalu…
Ingat lagi, dia dah lama uzur, lama juga tak ke masjid, tapi dia ada hobi tengok berita dan segmen agama di kaca tv.
Waktu itu ana masih kanak-kanak, antara pesanan dia kalau baca akhbar carilah artikal bukan sekadar berita, politik, hiburan atau sukan.
Atok sebenarnya seorang yang suka dengan ilmu dan ambil tahu berita dunia. Dulu kan ada berita dunia di tv1. Dia juga suka tengok segmen Lambaian Haji dan Musabaqah.
Kami cucunya tak boleh kacau nak tengok drama atau kartun waktu dia dengan rancangan pilihannya..
Dia bukan kalangan orang alim yang selalu keluar dakwah atau buat ceramah agama. Tapi saat dia menjadi jenazah itu memikirkan ana apa kebaikannya yang Allah reda. Jujurnya dia tegas tapi penyayang.
Pada ana dia seorang yang suka bersedekah dan tidak suka berhutang. Kehidupan sangat sederhana boleh dibilang berapa persalinan bajunya.
Waktu dia meninggal ana remaja. Meninggal di rumah usai bacaan yasin untuknya malam itu. Kebetulan raya kedua anak cucu semua ada..
Ana tidur awal, dikejutkan ibu kata atuk sudah tiada. Ibu yang berada di sisinya saat nafas terakhirnya.. Ana menghampiri atuk, dia dalam lingkungan 80 tahun, wajah sudah berkedut.
Ana rasa tak percaya, jasad yang tadi bernyawa kini sudah tidak bernyawa. Ana pegang tangannya sangat sejuk. Memikirkan bagaimana rasanya sakaratul maut, pasti sakit. Sedih. Innalillahiwainnailaihiraajiun
Waktu tu wajahnya pucat. Beberapa orang kampung hadir untuk membantu pengurusan jenazah. Arwah diletakkan di atas tilam dan ada tabir kain di pasang. Sudah ada yang mula sedekahkan ayat alQuran.
Apa yang ana nak ceritakan, tentang wajah arwah yang semakin cerah.
Mulanya ana rasa biasa sehinggakan rasa luar biasa bukan sekadar cerah putih berseri malah kedutan bagai hilang. Makin lama makin sangat cantik. Makin muda. Susuk badannya juga nampak segak. Masakan ana seorang sahaja yang perasan.
Ana tanya kakak dan dia mengiyakan. Esoknya siap dimandi dikapan, kami mencium dahi arwah. Waktu mencium itu ana bisikkan tunggu ana di Syurga. Bagai yakin dia ahli Syurga.
Jenazah disolatkan di masjid. Sangat ramai yang ziarah, waktu ini keranda diusung ke kubur tidak menggunakan van jenazah. Ada takbir dan al-fatihah mengiringi langkah..
Sebelum itu ana tak pernah melihat pengkebumian. Tapi sebab ni atuk ana, ana rapat tengok jenazah dimasukkan ke lahad dan dibuka penutup wajahnya. Bila buka tu, mashaAllah lagi berseri dari sebelumnya. Bagai bercahaya.
Ana percaya alam barzakh, kubur ni umpama taman Syurga atau lubang neraka. Talkin dibaca untuk keinsafan mereka yang hidup.
Renungan juga akan jasad ini bila sudah wafat akan mereput menjadi tanah. Proses mereput itu sangat cepat jika seminggu sudah mencair busuk.
Renungan bahawa jasad yang dijaga dibangga ini, sampai masa akan tiada. Yang kekal adalah nyawa atau roh untuk mengadap Tuhan.
Semoga menjadi jiwa yang tenang bertemu Allah dalam keadaan bersedia dan reda. Bertemu cinta sebenar Allah SWT.
Katakanlah, sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah Rasulullah saw, pasti Allah mencintaimu. Dan Allah akan ampuni dosamu.. Sesungguhnya layak ke SyurgaNya dengan rahmat dan syafaat bukan sekadar amal soleh dalam hidup yang singkat ini.
Semoga sebelum orang solatkan kita dan kita dambakan doa serta pahala sedekah daripada orang… Selagi hidup ini buatlah sebaiknya.
Ajal tidak mengira usia atau sakit. Dikhuatiri jika mati mengejut sempatkah hati dan jiwa sepenuhnya mengingati Allah atau masih memikirkan kekalutan dunia.
Ma Robbuka, bukan hanya kerana tahu jawapan dapat menjawab soalan mukar nakir ini, tapi iman di hati yang jawab. Seteguh manakah iman jika masih khayal dengan nafsu dunia.
Juga jika ditanya apa yang dah dibuat di dunia bukanlah mulut yang menjawab tetapi tangan kakilah menjadi saksi.
Tiada ruang untuk menipu, sebesar zarah kebaikan dan keburukan akan dihitung. Malah apa yang tersirat di dalam hati akan dibentangkan untuk dinilai. Renung renungkan.
Kembalilah kepada Allah dengan hati yang tenang, qolbun salim. Salamun qaulan min RobbirRohim..
Wassalam.
Maaf dengan kekhilafan ana.
Ukhwah fi sabilillah.
– Ana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit