Repeat Peperiksaan Yang Lulus

Kisah ini terjadi pada minggu lepas. Namun, kesannya mungkin akan diingati olehku sepanjang hayat.

Seperti biasa, aku juga menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar yang sedang menikmati cuti penggal (semester break) seperti orang lain. Sebelum berakhir peperiksaan tahun pertama semester kedua, aku telah nekad untuk bekerja semasa cuti penggal ini. Keinginan ini aku fikir sama sahaja seperti pemikiran pelajar-pelajar yang lain untuk melakukan sesuatu untuk mengelakkan diri dari “kepisyangan” sesama waktu cuti yang panjang ini.

Minggu pertama pekerjaanku sebagai “part-time pizzamaker” di sebuah restoran pizza merupakan minggu yang amat memenatkan bagiku. Ingatkan kerja buat pizza je, tapi segala kerja rumah disuruhnya aku buat. Dari mengelap cermin, membasuh peralatan dan bekas, sehingga mop lantai kedai, semua tugas tersebut aku lakukan. Jauh disudut hatiku, berbaloikah RM5.30 sejam, 6 hari seminggu sehingga bulan 9? Memang tak lah.

Walaubagaimanapun, mengenang nasib diri yang tidak dilahirkan dari keluarga yang senang dari segi kewangan, telan je la sampai bulan 9. Sebenarnya, cuti semester ini, aku hanya mahu duduk di rumah dan membaca buku-buku yang aku beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tempoh hari. Tapi membaca tidak menebalkan poket atau menambahkan angka di dalam akaun bank hahaha.

Hari berlalu dengan begitu lama sekali. Seminggu bekerja terasa begitu lama. Mungkin juga sebab aku menghabiskan 8 jam aku berlegar di dalam bangunan kedai yang sekangkang kera itu, melakukan kerja yang sama berulang-ulang, membuatkan hariku itu berlalu dengan begitu lama sekali. Kalau duduk rumah cepat je masa tu bergerak.

Sebenarnya, setiap kali aku mahu bekerja, aku akan memikirkan aspek solat. Dari segi kemudahan yang disediakan, adakah berdekatan atau tempat itu sendiri yang menyediakan, ragam “manager” memberi ke tidak kebenaran untuk aku berhenti seketika untuk solat dan lain-lain selain dari gaji dan pekerja-pekerja di kedai tersebut.

Alhamdulillah manager aku memahami tuntutan agama ku dan sentiasa memberi kebenaran kepadaku untuk mengerjakan solat di stesen pam minyak yang berdekatan. Tetapi aku tidak begitu senang apabila aku tidak boleh cuti pada hari Jumaat setiap minggu untuk mengerjakan solat Jumaat.

Bagi ku, tidak ada masalah untuk pekerja seperti aku untuk memilih cuti ku yang sememangnya layak sebab sudah menghabiskan masa dan tenaga ku bekerja di situ. Aku juga berpendapat bahawa hari Jumaat ialah hari yang sepatutnya diberikan cuti kepada semua lelaki muslim untuk mengerjakan ibadah kerana ianya merupakan penghulu seluruh hari. Tapi apakan daya, aku hanyalah part-time pizzamaker.

Malam itu, setelah penat membersihkan kedai atau suatu tugas yang dipanggil “closing”, untuk pengetahuan anda, kalau kerja di kedai Food & Beverage (F&B) yang tidak beroperasi 24 jam, malam anda perlu mencuci satu kedai itu macam pihak audit nak datang keesokan harinya. Penatnya hanya yang pernah bekerja di kedai-kedai seperti itu je yang tahu.

Aku pulang ke rumah dalam keadaan yang agak ‘barai’ kerana waktu bekerja aku dari 3 sehingga 11 malam. Sudah 3 hari aku bekerja dengan “shift” begitu, maksudnya 3 malam sudah aku ‘mencuci’ kedai tu. Macam tu jugak rupanya. Tidur orang yang kepenatan lain dengan tidur orang biasa. Letak je kepala, tutup mata terus ke alam mimpi.

Aku bukanlah begitu percaya dengan mimpi dan tafsir mimpi kerana mimpi itukan mainan syaitan, tetapi, mimpi ini membuatkan aku terfikir sejenak. Walaupun samar, tetapi aku cuba untuk ingat kembali mimpi ku tersebut. Seperti yang kita tahu, sekiranya kita memperoleh sekurangnya “C” di dalam peperiksaan, kita sudah lulus di dalam mata pelajaran tersebut dan tidak perlu mengulanginya semula. Sebaliknya berlaku di dalam mimpi ku. Aku telah memperoleh “A” di dalam suatu mata pelajaran ini, namun begitu, aku disuruh untuk mengulanginya semula pada semester hadapan.

Pada mulanya aku tidak membantah kerana mungkin ada kesilapan semasa penandaan atau sistem rekod tersilap merekod markah ku. Tapi kalau dah kali ketiga, empat, lima, aku mula hairan (mungkin dalam alam mimpi itu ada terselit sedikit kesedaran ‘consciousness’ walaupun bermimpi). Mata pelajaran yang aku asyik kena ulang itu ialah mata pelajaran agama islam.

Aku bertanya kepada pekerja yang bertugas untuk memberitahu pelajar sama ada mereka lulus atau tidak sesuatu mata pelajaran. Kenapa saya kena repeat subjek ni, padahal dah dapat A, tanya aku kepada dia. Ya kamu kena ulang balik subjek ni next sem, jawabnya kepada soalan aku. Tapi orang lain semua dapat C tak yah repeat pun. Kenapa kena repeat? Soalan aku tidak dijawab oleh pekerja itu.

Aku tersedar dari mimpi disebabkan oleh kumandangnya azan menandakan masuknya waktu subuh. Minda ku bercelaru memikirkan maksud mimpi tersebut. Terbitnya matahari, aku pun turun untuk bersarapan bersama keluarga ku. Cerita mengenai mimpi ku hanya menerima senyuman dan tawa dari ibu bapa dan adik ku. Ayah aku mencelah, mungkin dia suruh abang check balik amalan dan ibadah yang abang buat kot. Terdiam tidak terkata, kunyah tak berbunyi. Ada betul juga apa yang ayah aku katakan ini.

Aku teringat akan kata-kata yang aku tidak dapat pastikan sumbernya (mungkin saudara dan saudari boleh memberi pencerahan dengan komen di bawah). Orang yang beramal tidak semestinya berilmu, orang yang berilmu, belum tentu beramal. 2 golongan ini bagi ku amatlah rugi. Seorang yang beramal yang melakukan ibadah tetapi tidak tahu maksud, kebaikan dan falsafah disebalik ibadah yang dilakukannya itu, tidak ubah seperti robot di kilang yang melakukan tugasnya berulang-kali, tidak bernyawa, tidak mempersoalkan kerjanya sama ada betul atau salah, hanya mengikut arahan yang telah diberikan.

Golongan yang kedua pula, mereka yang berilmu tetapi tidak mengamalkan apa yang telah dipelajarinya. Golongan ini ramai dikalangan mereka yang merupakan pelajar-pelajar universiti, graduan dan orang yang sudah bekerjaya. Golongan ini agak menghairankan bagi ku. Sebagai seorang yang berilmu, kita digalakkan untuk saling memperingati, mengajar dan mengajak orang lain untuk sama-sama mengetahui ilmu, terutama sekali ilmu-ilmu di dalam Islam.

Contoh yang paling senang ialah, kita digalakkan untuk memberi salam kepada orang yang kita kenal dan tidak kenal. Kalau tak silap itu Hadis daripada Rasulullah. Tapi, berapa ramai sahaja yang memberi salam kepada orang yang tidak dikenali mereka? Dengan orang yang kita kenal pun kadang-kadang sahaja memberi salam.

Amalan ini aku rasa sudah diterapkan kedalam hati mereka yang mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam terutamanya yang belajar di dalam bidang berkaitan hadis, tapi mengapa amalan ini susah untuk kita lihat di khalayak umum? Jika mereka yang berilmu ini memberi salam, memberitahu bahawa ini merupakan amalan Rasulullah dan baginda telah mengingatkan kita di dalam hadis dan ini sepatutnya menjadi amalan kita sebagai seorang muslim, aku rasa kita dapat melihat amalan ini menjadi norma masyarakat kita.

Jadi ceramah pulak. Hantaran (posting) ini bukanlah bertujuan untuk memberi ceramah kepada anda, tetapi hanya untuk memperingatkan diri ku ini tentang amalan seharian yang dilakukan. Mungkin ada salah silapnya tapi tidak mahu perbetulkan atau bertanya dengan orang yang berilmu dan mungkin ilmu yang telah dipelajari sebelum ini tidak diamalkan walaupun sudah tahu akan kebaikannya.

Sekian,

– Mimun (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *