Assalammualaikum w.b.t kepada semua pembaca. Saya harap confession saya ini disiarkan.
Seperti semua maklum, semua sekolah di Malaysia sudah ditutup bagi memutuskan rantaian Covid 19. Belum sampai seminggu sekolah tutup, sudah keluar semula kata-kata mengenai guru-guru makan gaji buta.
Sebagai seorang guru, saya ingin memberi sedikit jawapan kepada confession ini (Cikgu Makan Gaji Buta Ke?) (https://iiumc.com/cikgu-makan-gaji-buta-ke/).
Tapi saya ingin berfokus mengenai isu kelas online (online class) kerana masih ramai ibu bapa yang beranggapan bahawa pembelajaran tidak berlaku sekiranyan tiada kelas online.
Malah, confessor (Cikgu Makan Gaji Buta Ke?) beranggapan guru-guru ini malas kerana tidak membuat kelas online.
Adakah guru-guru tidak mengajar sekiranya tidak membuat kelas online seperti Google Classroom/ Zoom/ Skype?
Sebenarnya pembelajaran boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Tidak semestinya murid-murid perlu bersemuka dengan guru-guru atau face-to-face untuk dikira sebagai belajar.
Pembelajaran juga berlaku bila guru-guru memberi nota kepada murid, menyediakan modul untuk murid siapkan, memberi link video di Youtube untuk penerangan topik pembelajaran, memberi kerja kursus dan sebagainya.
Sekiranya ibu bapa berasa semua contoh yang saya beri ini bukan pembelajaran, sila rujuk kepada Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah yang dikeluarkan oleh KPM.
Saya yakin semua guru telah diberi penerangan mengenai kaedah pembelajaran semasa tempoh PKP. Dalam manual tersebut telah dinyatakan pelbagai kaedah pembelajaran yang boleh digunapakai oleh guru-guru semasa tempoh PKP.
Perlu ke guru-guru membuat kelas online menggunakan Google Classroom/Zoom/Skype etc?
Perlu atau tidak kelas online dijalankan, ini bergantung kepada keperluan dan kemudahan murid-murid.
Sekiranya tiada kekangan atau masalah untuk membuat kelas online, semua murid boleh melibatkan diri sepenuhnya dalam kelas online, guru-guru boleh membuat kelas online.
Pihak KPM tidak pernah mewajibkan kelas online dijalankan atau hanya kelas online sahaja diambilkira sebagai pembelajaran.
Kenapa guru-guru tidak membuat kelas online?
Sejujurnya, saya rasa majoriti guru-guru mahu membuat kelas online. Tapi, ada banyak faktor yang membuatkan guru-guru jarang atau tidak membuat kelas online.
1. Tidak semua murid mempunyai akses internet di rumah.
Confessor asal kata beliau tinggal di bandar. Tetapi beliau lupa bahawa tidak semua murid di bandar berasal dari keluarga berada. Kalau tidak, istilah ‘miskin bandar’ tidak akan wujud dalam Kamus Dewan Bahasa.
Hanya kerana beliau mampu menyediakan kemudahan belajar untuk anak-anak beliau, sekaligus belau menganggap semua ibu bapa mampu berbuat demikian.
Bayangkan kalau guru-guru bertegas juga untuk membuat pembelajaran online, saya pasti ramai ibu bapa yang kurang berkemampuan akan rasa terbeban dengan permintaan guru-guru.
Mereka terpaksa membeli paling tidak sebuah handphone untuk kegunaan kelas online (dimana duit tersebut boleh digunakan untuk kelangsungan hidup mereka).
Kalau ada keluarga yang betul-betul tidak mampu menyediakan kemudahan. sudah tentu mereka terpaksa membiarkan anak-anak mereka tidak mengikuti kelas online tersebut.
Dalam situasi ini, adakah tindakan guru tersebut adil untuk semua murid? Saya rasa ini tidak adil. Yang kaya akan terus maju, yang miskin akan ketinggalan.
2. Tidak semua murid mempunyai persekitaran yang selesa untuk kelas online.
Bila sekolah tutup, semestinya semua anak-anak berada di rumah.
Bayangkan murid-murid yang mempunyai adik beradik yang ramai, tinggal pula di rumah yang mempunyai 2 bilik sahaja. Adakah selesa untuk murid-murid nak ber’google classroom’ atau ber’zoom’ di rumah.
Ditambah pula dengan keadaan bising dan ‘line’ internet yang lembap sebab tidak mampu membeli data internet yang mahal. Adakah mereka boleh fokus untuk kelas online? Saya rasa tidak. Malah, keadaan ini akan mengganggu rakan-rakan mereka untuk belajar.
Cukuplah dua sahaja sebab yang saya rasa kenapa guru-guru tidak membuat kelas online (Google Classroom/ Zoom etc).
Sebenarnya bukan guru-guru malas, tapi kami mahu semua murid mendapat pendidikan yang sama rata. Tidak adil bagi kamu untuk membuat kelas untuk yang berkemampuan sahaja.
Biarlah nampak seperti tidak up-to-date, janji semua murid mendapat ilmu yang sama. Walaupun kita sudah berada di tahun 2020, kita perlu ingat bahawa masih ramai golongan B40 di Malaysia.
Saya bukan ingin mencipta alasan untuk guru-guru tidak membuat kelas online. Sekiranya semua ibu bapa mampu, guru-guru boleh adkan kelas online mengikut kesesuaian murid-murid.
Pesanan saya kepada ibu bapa yang berkemampuan,
1. Jangan anggap semua ibu bapa sama macam anda. Pandemik ini banyak memberi impak negatif kepada ekonomi kita. Ramai ibu bapa yang kehilangan kerja atau dipotong gaji.
Sepatutnya anda perlu lebih bersimpati. Sekiranya anda risau guru-guru tidak memberikan tumpuan kepada anak anda, berbincanglah dengan guru tersebut.
Mungkin boleh minta guru adakan personal tuition untuk anak anda. Tidak perlu membuat assumption yang guru-guru ini malas dan mahu makan gaji buta sahaja. Boleh sahaja ibu bapa mengambil tuition online untuk anak-anak.
2. Banyakkan bersyukur bahawa anda masih mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anak anda. Letakkan diri anda di situasi mereka yang tidak mampu.
Ada murid-murid lain yang terpaksa menunggu ibu bapa mereka pulang dari bekerja untuk membolehkan mereka menggunakan akses internet (pakai handphone ibu bapa).
Kawan-kawan lain sudah menghantar tugasan, mereka baru mahu buat sebab tiada handphone di rumah.
3. Berlapang dada lah. Bukan anak anda seorang sahaja yang tidak bersekolah. Kami guru-guru perlu memikirkan yang terbaik untuk semua murid bagi mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya.
Kami perlu bersifat adil supaya tiada yang ketinggalan. Dek kerana seorang dua nak kelas online, yang lain-lain ketinggalan.
Pesanan saya kepada guru-guru,
1. Jangan mudah melatah bila mendapat kecaman. Memang ada guru-guru yang tidak memberikan apa-apa tugasan kepada murid-murid.
Namun sekiranya kita menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, Insya Allah kita tidak akan terkesan dengan kata-kata sindiran yang dilemparkan.
2. Buat apa yang terbaik untuk semua murid. Jangan kerana satu keluarga kaya mendesak untuk kepentingan anak-anak mereka tanpa memikirkan orang lain, kita mengabaikan murid-murid yang kurang berkemampuan ini.
Jangan amalkan sikap pilih bulu/ pilih kasih dalam memberi ilmu.
3. Semak kerja murid walaupun tidak bersemuka. Ada betulnya apa yang confessor kata bila guru tidak mahu menyemak kerja murid. Bagaimana murid-murid mahu perbaiki kesilapan sekiranya tidak disemak. Jangan buat kerja sambil lewa sahaja.
Akhir kata, sekiranya semua pihak (guru-guru dan ibu bapa) bekerjasama menjalankan tanggungjawab masing-masing, saya pasti kata-kata sindiran mengenai gaji guru ini tidak akan timbul. Berbincanglah secara berhemah, bukan secara menghentam.
Kadangkala guru-guru tidak menjawab pertanyaan ibu bapa kerana soalan mereka berbaur hentaman. Kalau bertanya dengan berhemah, pasti guru-guru menjawab dengan berhemah.
Kalau sudah bertanya dengan berhemah, namun tiada jawapan dari guru tersebut, itu adalah sifat peribadi guru tersebut.
Jangan sama ratakan semua guru berperangai begini. Saya bukan play victim macam confessor cakap, saya hanya menjelaskan salah faham yang selalu dilemparkan kepada guru-guru.
Semoga ujian Pandemik ini menjadikan kita insan yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan prihatin.
– Guru Sekolah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit