REPLY: Diari Seorang Suami

Assalamualalaikum & salam sejahtera untuk semua para pembaca. Aku terpanggil untuk menjawab confession “Diari Seorang Suami” (https://iiumc.com/diari-seorang-suami/).

Mula-mula baca, ingatkan suami aku yang buat confession, tapi rasanya bukan kot. Aku dah berkahwin, anak baru seorang (masih breastfeeding), berkerjaya (sektor swasta), waktu kerja office hour & duduk di tengah kota raya.

Dari segi bentuk badan masih kategori sedap dipandang, rupa pun masih ada seri tersendiri. Berkaitan suami aku, dia masih lagi kategori smart looking (ada buncit sikit) & ada aura maskulin kat karektornya.

Yes, aku salah seorang isteri yang diuji bebanan, tekanan & ujian sehinggalah membawa kepada permasalahan seperti yang tt confess dalam diari tersebut. Sebelum dapat anak, masalah hubungan dengan suami memang tidak kelihatan.

Cakap dengan suami pun, memang manja & tak pernah tinggikan suara. Aku pun banyak memanjai suami & kelengkapan dia aku sediakan sebaiknya seperti merajai suami. Tak kisah kalau beriya nampak terhegeh-hegeh.

Aku akui selepas kehadiran anak, memang aku berubah terus. Aku tinggalkan terus sikap memanjai suami. Hubungan kelamin pula boleh dikira dengan jari tangan untuk setahun.

Pernah sampai 2 bulan kami tak bersama. Aku harap, kalau tt adalah suami aku (kalau bukan sekalipun) tolonglah mengerti kenapa aku jadi macam ni.

Disclaimer: Jika kasut pun tak sama saiz, inikan pula kehidupan manusia. Jadi, permasalahan yang aku alami bukan semua orang akan melalui perkara yang sama. Cuma, ambil iktibar & pengajaran.

Macam kes aku, mula-mula berkahwin aku tahu perangai baran suami. Pantang salah sikit, asyik nak tengking, marah & maki hamun.

Memang la tak naik kaki tangan kat badan aku, tapi kalau asyik kena marah & maki hamun tak tentu pasal, kau ingat mental aku tak breakdown ke?

Paling sadis, orang ingat aku buat cerita, sebab orang lain tengok suami aku ni jenis baik depan orang lain. Tapi bila berdua je, memang ketara lainnya sifat suami aku.

Bila mood dia elok, memang ditatangnya aku bagai minyak yang penuh. Bila mood swing, tak ada angin tak ada ribut, memang marah je kerjanya.

Aku banyak pendamkan sebab aku jenis malas nak bersuara (aku juga kategori introvert). Sebab suami aku jenis yang no point kalau berkomunikasi apatah lagi nak pillow talk.

Akhirnya, aku juga dipersalahkan. Sampai satu masa, memang kau rasa dah tak nak ambil tahu apa-apa hal berkaitan suami sendiri. Ingat aku tak lelah ke nak tangani semua ni? Hati aku ni dah mula dikikis semua rasa kasih sayang tau.

Mula dah tawar hati. Ingat aku tak berdendam?

Fast forward, aku memang dah ambil keputusan untuk isi & hantar borang fasakh. Seingat aku, boleh terhenti borang tersebut untuk dihantar ke pejabat agama sebab aku disahkan mengandung. Sangat terkedu!

Sebab bila ingat balik moment tu, suami aku memang menangis beriya konon bersyukur sangat aku disahkan mengandung.

Aku pula terfikir, mungkin jodoh panjang & ini salah satu cara Allah ingin sampaikan padaku. Aku kuatkan balik hati & perasaan untuk terima suami aku seadanya sehabis mungkin.

Tapi, bukan mudah seperti yang kita fikirkan. Saat aku mengandung pun, suami kadang-kadang naik angin tak tentu pasal. Ada saja yang tak kena untuk lempiaskan kemarahannya. Aku memang dah tawar hati, tapi bila diperlakukan ketika aku sedang berbadan dua, lagi hati aku sakit.

Paling aku terasa saat suami aku marah sebab aku teringin (mengidam sebenarnya) makan ayam goreng kunyit dekat salah satu kedai makan berdekatan pejabat dia. Masa hari biasa pun aku kecewa bila dimarah oleh suami, inikan pula ketika aku sedang mengandung.

Walhal masa tu tak ada isu duit pun sebab pakai duit aku. Masa aku minta pun ketika hari cuti & bukan waktu yang tergesa-gesa. Moment ni aku ingat sampai sekarang & salah satu punca aku tawar hati nak berbakti untuk suami sendiri.

Jadi tt, cubalah selami balik moment yang mungkin boleh trigger salah satu punca isteri tak nak melayan kau. Jangan pandai main tuduh isteri curang je bila tak nak melayan.

Oh ya, tt cakap pernah curang sekali, kan? Rasa-rasanya isteri tt tahu ke tentang isu tu? Aku risau tu salah satu silent treatment untuk kau.

Macam kes aku, memang suami tak curang secara realiti (sebab aku tak dapat bukti). Tapi, dia pernah kantoi stalk sorang perempuan ni (alam maya). Mula-mula aku diamkan, tapi hati aku sakit tau.

Bayangkan, aku ni punya la setiap masa cuba baca atau dengar ceramah berkaitan hal ehwal rumah tangga (sebab selalu fikir aku ni banyak kekurangan) tapi kau beriya ada masa untuk stalk, nak check perkembangan semasa perempuan tu. Aku ni pula kau buat macam tak wujud.

Lastly, aku contact perempuan tu untuk soal-siasat. Korang jangan tanya aku macam mana boleh dapat no contact apa semua (aku ni kalau bab menyiasat, kalah FBI). Memang diorang satu pejabat & selalu berjumpa untuk selesaikan urusan kerja.

Tapi perempuan ni mengaku dia tak ada apa-apa perasaan pada suami aku walaupun kadang kala diorang ada bergurau senda. Siap minta aku contact no bakal tunang dia untuk buktikan yang dia tak ada perasaan kat suami aku.

Lagipun, memang perempuan tu tahu suami aku dah berkahwin. Aku assume memang setakat itu sahaja la hubungan diorang. Kat sini, aku simpulkan yang suami aku mungkin sukakan perempuan tu dalam diam. Nak cuba berkawan tapi tak berani nak mulakan langkah pertama.

Mungkin juga sama dengan tt yang mengharapkan seorang perempuan boleh menjadi peneman walau bukan sebagai seorang isteri.

Ye la, pada aku memang perempuan tu muda lagi, muka pun manis je. Ayat bila bercakap, lemah-lembut sungguh sampai aku pun rasa terpesona.

Untuk pengetahuan semua, memang sampai ke sudah aku tak admit dekat suami yang aku tahu tentang kisah dia stalk officemate dia tu.

Aku ambil kesempatan untuk silent treatment pada suami aku. Cuma, aku tak pasti sejauh mana suami aku faham & tahu gaya bahasa yang ingin aku sampaikan.

Tapi, aku pun sangat ego & rasa sakit di hati makin meluap. Tak terluah dengan kata-kata tapi diluahkan dengan cara layanan aku terhadap suami.

Jadi tt bolehlah cuba slow talk dengan isteri, mana tau kalau memang betul dia dah tau selama ni. Jangan main-main dengan api seorang wanita.

Baru-baru ni ada sorang perempuan beriya nak berkenalan dengan suami aku (kantoi sebab aku sempat terbaca dalam whatsapp conversation).

Diorang kenal sebab masing-masing perlu mengikuti kursus yang wajib dihadiri. Aku tahu yang suami aku tak melayan (tak tahu sebab apa tapi aku tak peduli pun).

Macam kes tt, siap persoalkan, perlukah ada perempuan lain? Perlukah kahwin lagi satu? Atau perlukah buat ugutan begitu kepada isteri?

Kalau perlukan jawapan aku sebagai sandaran, memang tak kuasa dah nak fikir.

Pandai-pandailah kau buat keputusan terbaik. Kalau suami aku, aku dah tak kisah kalau dia nak kahwin atau curang dengan perempuan lain. Hidup aku bukan 100% lagi mengharapkan kesetiaan & keikhlasan suami jika hidup bersama lagi selepas ini.

Kalau kantoi lagi, mudah juga nak bawa ke mahkamah nanti. Kalau rasa kahwin lain sebab semata nak lempiaskan nafsu, kau kahwin sampai 4 isteri pun belum tentu settle masalah yang dihadapi. Kalau ada perempuan lain untuk rasa diri dihargai balik, kau sangat salah ye.

Ha…point lain pula, sebab MEMANG AKU PENAT! Tempat kerja aku ada musim-musim tertentu.

Maksudnya, bila waktu yang sangat rileks, memang masuk kerja pun boleh jalan itik terkedek sambil menyanyi lagu Didi & Friends. Tapi, kemuncaknya bila musim dateline/ad-hoc, memang kerja macam tak cukup kaki & tangan.

Kerja sedia ada di pejabat sampai terpaksa bawa ke rumah. Sekarang ni, aku ada baby yang menyusu badan. Tidur tak cukup, sebab nak breastfeed baby time malam. Sambung pula untuk pam susu (prepare hantar ke pengasuh).

Bangun awal pagi nak siapkan barang baby, barang pergi ke office, bekal makanan baby (kadang termasuk aku sekali) & siapkan baby sebelum hantar ke pengasuh. Aku tak cukup tidur sejak dari awal pregnancy sampai sekarang.

Tabik hormat kepada surirumah/working mom yang penat tapi masih ada nafsu untuk bersama. Aku ni dah rasa hilang 95% tenaga untuk teruskan kehidupan seharian, memang tak ada kudrat dah nak fikir bab hubungan asmara.

Itu belum lagi part memang aku kena bekerja untuk support financial rumah tangga kitorang. Hampir 70% gaji aku untuk kelangsungan hidup kami bertiga.

Bukan aku tak bersyukur, tapi kadang-kadang isu ni buat aku terus nak blame suami aku seorang yang tak berguna. Kadang tu, sampai rasa nak pecah otak untuk settle apa-apa keperluan especially barang baby sebelum nak dapat gaji baru.

Aku faham gaji suami aku cukup-cukup makan, tapi hakikatnya aku lelah sebab suami tak nak berkompromi untuk cuba jadi yang terbaik. Jangan anggap aku banyak gaji maka aku juga la kena selamatkan semuanya. Dah macam aku pulak tonggak kepala dalam keluarga ni.

Aku cuma mengharapkan ada sedikit give & take dari suami. Kalau rasa kurang dari segi ini, tolonglah lebihkan dari segi itu pula.

Memang suami aku ada tolong buat kerja rumah, tapi bukan 50% pun. Aku boleh katakan cuma 15-20% sahaja kerja rumah (selepas ada baby) yang dia boleh laksanakan.

Selainnya, aku juga kena handle. Hal ehwal penjagaan baby dari kecil sampai sekarang, memang semuanya atas tangan aku sendiri kalau di rumah. Jadi, boleh bayangkan betapa aku penat nak selesaikan semuanya?

Maaf ya, tt pun macam tu juga ke? Buat kerja rumah tapi bukan banyak mana pun. Tapi canang kat orang keliling dah tolong macam-macam kerja. Stres bila orang kata suami aku ni rajin la, penyayang la, kategori bapak-bapak la, rugi kalau aku lepaskan dia. Hurm…

Ada yang nasihat, si isteri jangan normalkan budaya begini lepas ada anak (lebihkan anak dari si suami). Tapi, kau faham tak yang baby ni memang perlukan sepenuh perhatian dari ibubapa?

Dah nama pun baby, memang semua benda parent dia kena handle & buat. Maka, kalau bukan aku dan suami yang lakukan, siapa lagi?

Isunya yang ingin aku tekankan, kalau suami boleh tolong ringankan beban untuk sama-sama jaga baby ni, aku rasa memang isteri tak akan kurangkan perhatian pada suami.

Isteri takkan jauh hati dengan suami kalau semua benda dijaga elok si suami. Yes, situasi ni sangat tak elok, tapi fikirlah balik asal-usul masalah tu datang dari mana.

Yang mana dapat suami tolong segala segi untuk kurangkan bebanan isteri buat kerja, bersyukur la. Dapat suami yang kaki layan phone je, memang rasa nak bagi penyepak sampai koma.

Kadang tu, aku tengah buat kerja pun terpaksa buat sambil dukung baby. Yang suami, leka & seronok main phone tengok medsos.

Point lain, tengok pada situasi proses kelahiran baby. Macam aku pula, proses kelahiran kira bernasib baik. Cuma part berpantang macam bukan dalam pantang (keluar masuk wad sebab masalah baby & aku sekali), memang buat aku trauma.

Dengan penatnya, tak cukup tidurnya, baby masalah kuning la, ruam la, aku tak ada selera makan la. Jadi, aku cukup risau kalau tiba-tiba kami berhubungan dan aku pregnant. Suami aku memang tak nak pakai protection.

Aku pula tak berani makan atau pakai ubat atas faktor kesihatan. Jadi, salah satu punca juga kenapa aku memang akan mengelak untuk berhubungan dengan suami.

Mak aku siap cakap mungkin aku kena tempias meroyan sebab tak berpantang elok selepas bersalin dulu. Entah la, mungkin juga sebab aku pun faham badan aku dah tak sekuat & bertenaga seperti dulu.

Tapi aku pun dah malas nak ambil pusing sebab suami aku bukan beriya sangat nak bagi aku masa untuk pergi spa atau mengurut. Asyik bagi alasan, kalau aku tengah diurut tu, anak aku menangis la, tantrum la, nak itu ini la tapi dia tak reti nak pujuk baby.

Habis tu, suami aku harap aku sihat macam tu seiring dengan hari berganti hari yang berlalu? Lepas tu bising, aku ni macam tu macam ni, tak macam anak dara la, apa la.

Untuk tt, jangan lupa check juga bila last bagi masa untuk isteri pulihkan balik tenaga pergi ke spa atau berurut. Sebulan sekali pun rasanya dah memadai.

Oh ya, bila dah ada baby, aku makan pun dah tak tentu hala especially bila makan bertiga dengan anak & suami. Kadang tu, tak sempat nak kunyah & aku terus kena telan. Tercekik, tersedu, terbatuk, semua tu aku merasa dah sebab kelam kabut sambil suap baby atau nak kejar masa.

Kesannya, perut aku selalu masuk angin (macam gastrik). Ada juga masa tertentu, aku sakit kat bahagian belakang (katanya effect ambil epidural).

Bila aku cakap sakit, memang aku maksudkannya. Kau ingat, bila dah datang sakit tu, aku boleh ada nafsu untuk berasmara atau bermanja-manja? Untuk tt, cuba la tanya isteri kalau dia pun ada masalah yang sama.

Dalam luahan tt ada cakap kadang-kadang benda kecil pun boleh jadi isu untuk bergaduh. Ya, sama situasi dengan aku.

Kadar pertengkaran kami selepas aku bergelar seorang ibu sangatlah banyak berbanding dengan kehidupan sebelum ada baby. Tahu kenapa? Sebab aku banyak burnout.

Aku dah tak kisah untuk bergaduh seperti mana suami aku selalu marah-marah sebelum aku dapat baby. Bila aku penat, suami pula bising itu ini (tapi tak nak buat apa-apa tindakan).

Dulu aku pendam diam sebab aku ada rasa hormat, tapi sekarang ni aku luahkan sedikit demi sedikit melalui macam-macam cara.

Suami aku pernah tengking sebab katanya aku ni isteri derhaka sebab mula tinggikan suara dengan dia. Yes, aku memang akui tapi siapa pimpin aku untuk jadi begitu?

Setelah apa yang aku rasai selama ini, aku tak rasa perasaan tu makin menghidupkan suasana romantis antara kami suami isteri. Dan, masih kau harapkan aku jadi isteri yang ingin melayani segalanya untuk kau?

Persoalan orang lain untuk diri aku sebagai isteri, tak takut dosa & pahala?

Allahuakbar, aku sampai 3 kali menghadiri sesi kaunseling (online) sebab masalah panic attack & anxiety. Gara-gara aku terlalu fikirkan masalah yang aku hadapi sekaligus hutang pahala atau dosa. Aku tahu semua ni salah, tapi orang yang tak laluinya takkan faham apa yang aku rasakan.

Tak pernah juga terlintas di fikiran aku untuk membalas kembali perbuatan suami dengan cara mencuranginya. Cuma ego aku terlalu tinggi, dendam aku terlalu mendalam sehingga aku butakan nafsu halal yang sedia ada.

Aku berharap, suami diluar sana (bukan setakat tt & suami aku je) buka mata balik untuk pastikan kesihatan si isteri adalah di tahap paling selamat especially selepas dapat baby. Kesihatan bukan fizikal je, tapi juga mental.

Untuk permasalahan tt, mungkin dari satu sudut positif ialah supaya tt buka mata & berdoa pada Allah agar segalanya kembali pulih. Dari apa yang tt cakap, pernah cuba suarakan perasaan & laksanakan beberapa langkah yang terbaik cuma isteri ambil enteng.

Tak mustahil tt seorang suami yang baik & penyayang untuk isteri serta anak-anaknya. Cuma ini adalah ujian untuk tt lebih bersabar & belajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keluarga.

Kalau tt benar-benar ikhlas, curahkan sepenuh kasih sayang serta layanan yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak & isteri tanpa ada rasa bebanan. Ambil hati isteri kembali sepertimana tt cuba ambil hati sebelum dapat bergelar seorang suami.

Bagi peluang kepada isteri untuk pulihkan masalah diri, bawa bercuti atau beri hadiah, sediakan makanan & minuman yang berkhasiat untuk isteri & anak-anak serta jangan leka dengan gadjet bila di rumah.

– Mama Anak Satu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *