REPLY: Isteri Yang Tidak Dikasihi

Pertama kali saya terbaca confession ini, (https://iiumc.com/isteri-yang-dikasihi/) seakan-akan sama dengan kisah saya.

Terdetik dalam diri, ‘ex aku ke yang tulis ni?’ Cara menulis pun serabut macam dia juga. Hahaha.

Kalau bukan dia, saya minta maaf. Sebab rumah kami tiada stor, jadinya tidak ada tempat untuk dia menyorok. Dia pun bukanlah bawa jentera kren hebat, tapi berjawatan hebat juga lah di tempat kerjanya.

Tapi kalau betul dia, pelik juga saya….

Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk menyebelahi isteri confessor, cuma untuk menceritakan serba sedikit.

Saya kasihan padanya (dan diri sendiri). Mungkin keadaan beliau sama seperti saya, dan mungkin juga tidak.

Tentang saya..

Kami berkahwin lebih 4 tahun dan telah selamat berpisah awal tahun ini. Alhamdulillah, kami dikurniakan seorang anak perempuan yang sangat comel dan bijak.

Saya merupakan lulusan master, dan suami merupakan lulusan diploma. Jurang pemikiran yang sangat berbeza jika direnung kembali.

Saya akui, saya seorang yang manja. Mempunyai ramai adik beradik lelaki dan saya merupakan satu-satunya perempuan, membuatkan saya memandang tinggi kepada ‘anggapan seorang suami’ yang sepatutnya.

Ibu bapa saya berkerjaya bagus dan sangat penyayang. Abang-abang saya juga sangat baik, mudah menolong, berpendidikan tinggi, mempunyai kerjaya yang bagus, santun terhadap isteri dan anak-anak, pandai bertukang… serba-serbi.

Maka sebagai adik perempuan, expectation saya apabila mempunyai suami, adalah sama seperti bapa dan abang-abang saya. Maaf kiranya expectation ini merupakan satu kesalahan.

Saya mudah merajuk dan sensitif terhadap hal-hal kecil, kerana ada trauma sewaktu kecil yang masih tidak dapat saya lupakan sehingga kini.

Di sini, timbul lagi satu expectation untuk berasa selamat di bawah jagaan seorang suami.

Namun, kehidupan tidak selalunya indah.

Saya berkenalan dengan suami yang ketika itu cuma berpangkat rendah dalam syarikatnya.

Saya terima dia walaupun ada beberapa red flag awal yang saya nampak. Baran, selalu menengking saya, memanggil saya dengan kata-kata kesat. Itulah kesalahan saya paling besar, buta kerana cinta.

Fast forward, kami selamat bernikah.

Dan kemudiannya tinggal bersama ibu bapa saya. Itu kesilapan saya yang seterusnya, tidak memaksa untuk dia sediakan tempat tinggal yang berasingan.

Semasa duduk bersama ibu bapa, saya beberapa kali dipukul ketika mengandung, hanya kerana saya tidak bersetuju dengan pendapatnya.

Tapi saya diamkan sahaja dan tidak langsung bercerita pada ibu bapa, walaupun sebenarnya mereka boleh lihat pada riak wajah saya yang tidak ceria.

Episod-episod duka dibelasah, dicekik, ditampar berkali-kali, diheret kaki keatas dan kepala dibawah, dihentak kepala ke lantai. Barang rumah entah berapa kali pecah. Entahlah, saya enggan mengingati semua itu.

Setelah 2 tahun, saya tiba-tiba suarakan hasrat ingin berpindah. Saya tidak kisah untuk membayar sewa rumah, janji kami pindah. Dia pula menganggap keputusan drastik itu saya lalukan kerana ibu bapa saya menghalaunya.

Sedangkan di rumah ibu bapa pun dia berani menengking saya, apatah lagi apabila tinggal bersendiri. Makin menjadi-jadi. Entah kenapa saya masih bertahan. Memikirkan anak mungkin.

Tiada salahnya dia sebagai seorang suami.

Semua disediakan dengan baik. Makan minum pakaian, apa sahaja yang saya kehendaki akan cuba ditunaikan.

Cuma, saya rindu pada kehadiran seorang ‘suami’.

Saya merupakan seorang yang suka bermasyarakat. Saya suka belajar benda baharu. Apa yang saya nak, saya cuba dapatkan dengan usaha sendiri. Saya tak suka meminta-minta atau menyusahkan orang lain.

Saya buat kerja part-time, bisnes online dari rumah, dropship dan sebagainya. Semua barang peribadi sendiri, dan barang anak dari lahir, saya beli sendiri menggunakan duit saya.

Anak pula saya hantar ke taska.

Sewa rumah saya bayar, yuran sekolah anak saya bayar. Kerana saya tahu gaji suami tidak mempu untuk menanggung semua itu. Saya cuba meringankan bebannya semampu saya.

Mungkin jika dilihat, kami seperti pasangan normal yang lain. Tiada apa yang salah.

Cuma, saya rindu pada kehadiran seorang ‘suami’.

Sepulangnya dia dari kerja, tidak berenggang dari telefon bimbit. Alasannya, mahu menghilangkan stress. Baik, saya akur. Saya tidur sendirian dengan roh suami yang hilang bersama game, walaupun jasadnya ada di sebelah saya.

Tidur malamnya juga lebih banyak di sofa bawah. Alasannya, malas nak panjat tangga. Baik, saya akur. Saya lelap sendirian dengan air mata memeluk bantal, mengharapkan akan ada pelukan hangat daripadanya di tengah malam.

Saya minta tolong untuk basuh tandas ketika saya berpantang, tidak dibuat. Alasannya, penat mencangkung untuk memberus.

Baik, saya akur. Setelah 2 bulan saya juga yang membasuh tandas yang berkerak itu, dengan jahitan di vagina yang masih belum baik.

Perihal buang sampah, menjaga anak, mengemas rumah dan sebagainya, tetap saya seorang yang uruskan walaupun sudah diminta bantuan berkali-kali. Saya jadi lali dan penat untuk meminta tolong lagi.

Bahkan ketika dunia dilanda wabak dan bencana, dia berhenti kerja kerana stress walaupun gajinya sangat lumayan. Saya iyakan sahaja pendapatnya walaupun saya risau dengan pendapatan keluarga.

Daripada seorang yang ceria dan aktif, saya menjadi seorang yang pendiam dan memendam. Saya tiada kawan untuk bercerita. Saya terlalu tepu duduk di rumah.

Entah sejak bila, saya tidak sedar, saya mula meletus. Semuanya serba tidak kena pada mata saya. Saya mula marah-marah pada suami dan anak. Saya mula membentak dan marah pada semua benda.

Zikir-zikir cerai mula membasahi lidah. Hal sekecil dia pulang lewat dari kerja juga menjadikan saya hilang sabar. Tetapi satu hal, saya tidak pernah menghina suami dengan kata-kata kesat.

Ya, amarah saya dibalas dengan pukulan, hentakan, tamparan, dan cekikan. Saya makin menggila dan tak peduli apa. Rumah seperti taufan dan puting beliung melanda.

Banyak episod yang tak sanggup saya cerita. Bukan hanya sekadar kerana sebiji cawan sahaja.

Apa sahaja komen netizen yang tidak saya lakukan.

Laporan polis saya buat.

Rujukan ke pakar psikiatri juga saya pergi.

Tangga pejabat agama saya panjat.

Sesi kaunseling saya daftar.

Semuanya saya buat sendiri, tanpa sokongan daripada lelaki bernama suami.

Ketika saya melalui pelbagai prosedur, air mata saya tak henti mengalir mengenangkan sikap saya. Mungkin saya yang bersalah. Mungkin saya punca semua ini terjadi.

Kenapa saya terlalu lancang berkata-kata? Kenapa saya tidak berdiam diri sahaja seadanya?

Akhirnya suami memfailkan cerai di mahkamah setelah diasak bertalu-talu oleh saya.

Ya, saya terlalu penat dengan semuanya. Mendengar lafaz ‘saya ceraikan awak dengan talak satu’ di mahkamah bagaikan seketul batu di atas kepala saya jatuh terhempas dan berkecai.

Tidak setitik air mata saya jatuh sewaktu itu. Hanya syukur pada Yang Maha Tahu.

Saya lawan di mahkamah untuk hak jagaan anak dan nafkah. Biarlah keluarganya mahu kata apa pun pada saya, yang penting anak saya terjaga dan terbela.

Kini saya telah beberapa ketika bebas daripada sebarang ubat dan depresi.

Namun, membaca komen netizen membuatkan saya trigger semula. Rata-ratanya menyalahkan saya yang bermulut puaka, tidak menjaga hati suami, mental, dan macam-macam lagi. Allahuakbar, terasa mahu pecah dada ini.

Kalau tidak kuat, sudah lama saya ambil pisau dan toreh nadi. Semuanya bak tahu cerita sebalik tabir serba-serbi.

Sekiranya bukan saya, jika isteri confessor melalui hal yang sama, saya harap puan tabah dan terus kuat.

Mungkin orang yang tiada di tempat puan tidak memahami apa yang puan rasakan, maafkanlah mereka.

Tetaplah berjalan dan melangkah,

Teguhkan hati dan tabah,

Kerana hidup ini memang tempat untuk berpenat lelah.

Percayalah, puan telah membuat keputusan yang baik untuk berpisah..

“Kerana seumur hidup itu terlalu lama..”

– Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *