REPLY: Keluh Kesah Guru Muda

Reply, (https://iiumc.com/keluh-kesah-cikgu-muda/)

Dear Housemate Ecah,

Saya perkenalkan diri terlebih dahulu. Saya Ros, seorang guru yang baru berkhidmat lebih 10 tahun dalam bidang pendidikan di 5 buah sekolah.

Saya ingin memberikan beberapa penjelasan kepada Housemate Ecah dan juga guru-guru muda dengan harapan, Ecah dapat menikmati keseronokan bekerja dalam bidang perguruan.

Isu pertama (guru senior MC)

Ingin saya jelaskan di sini, bersangka baiklah apabila ada guru senior mengambil MC. Kadangkala ada juga guru mengambil Emergency Leave @ Cuti Rehat Khas.

Mereka ambil cuti tetap atas budi bicara pentadbir. Jika ada kalangan guru merasa terpaksa menjadi guru ganti bagi guru yang bercuti.

Ikhlaskanlah… Hari ini dia cuti, mungkin esok kita terpaksa cuti. Setiap kali saya terpaksa mengambil cuti, saya paling risau keadaan guru yang merasa terpaksa menjadi guru ganti bagi kelas saya.

Bila rasa terpaksa, rasa sakit di hati, otak penat, rasa tertekan. Kalau pada hari tersebut, kita begitu sibuk, maklumkan kepada pentadbir kamu tidak boleh menjadi guru ganti untuk hari tersebut. Nikmatilah seronoknya bekerja.

Isu Kedua (Guru senior Masalah IT)

Guru senior mula bekerja tahun 90an, kita masih anak kecil ketika itu. Sekarang zaman 2022, teknologi berubah dengan sangat cepat. Saya sendiri bila diminta bantuan, selalu saya teringatkan mak ayah seusia mereka, cikgu- cikgu semasa sekolah yang telah mendidik saya.

Bukanlah acapkali mereka meminta bantuan. Percayalah jika kita ikhlas, mereka cepat faham apa yang kita ajar.

Saya akui ada juga yang lambat faham, tindakan saya? Saya buatkan sahaja untuk mereka. Lebih cepat daripada saya mengajar mereka. Hehehe… Yang penting cikgu senior tak stress.

Mereka gembira, saya juga gembira. Perbaiki hubungan dengan mereka, banyak ilmu cikgu-cikgu senior ni. Jangan pandang mereka seperti warga emas yang tidak berdaya. Suatu hari nanti, kita juga akan menjadi warga emas. Tidak tahu apa lagi teknologi ketika itu.

Isu Ketiga (Jarak Rumah ke Sekolah)

Saya berpengalaman ulang alik bekerja hampir 60km sehala untuk pergi bekerja. Punca jarak rumah jauh adalah saya berkahwin dan tinggal bersama suami.

Saya ada pilihan sewa di kawasan berdekatan sekolah tetapi saya memilih untuk berulang alik setiap hari. 6pagi seusai solat subuh, saya bergerak keluar rumah.

Adakalanya berlaku kemalangan di jalan raya yang menyebabkan jalan jem, lambat juga sampai ke sekolah. Punch card kadang bertukar warna tanda amaran lewat hadir.

Ah, yang penting saya sampai ke sekolah! Jika ada kelas bermula pukul 7.30pagi, saya akan telefon pentadbir untuk dapatkan bantuan guru ganti.

Biarpun jarak rumah jauh, itu bukan alasan untuk tidak bertugas. Sebulan baru sehari sahaja perlu jaga pagar, jika terlewat, minta bantuan ahli kumpulan bertugas. Mudahkan?

Isu Keempat (Penggunaan Gaji untuk ABM)

Adakah benar, gaji digunakan sehingga 70% untuk ABM? Fikirkan semula…

Di sini saya senaraikan peralatan yang dimiliki oleh hampir semua guru.

1. Laptop

2. Visualiser

3. LCD Projector

4. Printer

5. Miracast/ Screen beam

6. Ipad

7. Mesin liminate

Jika dilihat kepada senarai di atas, junlah perbelanjaan mencecah ribuan ringgit. Tapi… Adakah wajib dibeli sekaligus? Belilah ketika dapat bonus tahunan atau tunggakan gaji.

Jika belum berkemampuan, tiada salahnya meminjam daripada guru lain. Laptop sahaja yang wajib ada sejak mula lapor diri.

Kebiasaannya, perbelanjaan bulanan yang perlu diasingkan adalah RM100-RM200 melibatkan kos fotostat, printing, pembelian kertas, reward anak murid.

Isu Kelima (Beban Tugas Guru)

Sekolah ramai guru, kurang beban kerja? Setiap sekolah, setiap guru ada peranan masing².

Yang ni saya harap guru dari Kota Masai, Johor atau Meru, Klang dapat memberikan komen. Ini adalah antara tempat yang mempunyai kepadatan penduduk dan bilangan anak murid melebihi 3000 orang bagi setiap sekolah.

Harapan saya, nikmatilah pekerjaan guru ini. Jika kita rasa susahnya menjadi guru, lebih ramai orang yang masih bersabar dengan pekerjaan mereka. Cubalah tanya akauntan, jurutera, doktor, project manager.

Seronokkah mereka bekerja? Wahai ecah, jika ada masalah, luahkan pada rakan sekerja, mereka lebih memahami. Setiap maslaah ada jalan penyelesaiannya.

Terima kasih kepada semua yang sudi membaca luahan dari saya seorang guru muda juga.

– Ros (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *