REPLY: Lelaki Bergaji Kecil

Hi saya seorang wanita berusia lewat 20-an sudah berkahwin selama 6 tahun dan mempunyai 3 orang cahaya mata.

Sebelum ni saya terbaca confession bertajuk lelaki bergaji kecil, (https://iiumc.com/bila-lelaki-bergaji-kecil/).

Saya ingin memberi komen namun bimbang menjejaskan air muka suami, jadi saya akan berkongsi pengalaman saya di sini. Maaf jika tidak menarik kerana saya tidak pandai bercerita.

Saya merupakan lepasan ijazah dan merupakan murid yang sangat cemerlang dari sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.

Manakala suami pula amat lemah dalam pelajaran. Belajar sehingga SPM sahaja malah ada subjek yang tidak lulus. Jadi tangga gaji kami amat ketara. Pendapatan saya 4 kali ganda pendapatan suami.

Sewaktu mahu mengikat tali pertunangan mak suami bertanya saya betul ke saya sanggup terima anak dia kerana suami seorang yang ‘slow learner’.

Saya jawab sanggup dan alhamdulilah segalanya dipermudahkan sehingga kami berkahwin.

Suami saya hanya bergaji 1400 sahaja ketika itu dan cuma mempunyai sebuah motor yang dibeli secara cash jadi dia tiada sebarang komitmen lain. Saya seorang yang sederhana dan suka menyimpan.

Saya telah mempunyai kereta dan rumah yang dibeli sebelum kami berkahwin.

Selepas berkahwin suami akan transfer hampir semua gajinya kepada saya untuk belanja rumah, bil, susu, pampers anak dan sebagainya.

Sepanjang perkahwinan kami, suami sedikit pun tidak pernah bertanya mengenai pendapatan saya atau mengambil kesempatan.

Sekiranya dia mempunyai masalah seperti motor rosak atau sebagainya, dia akan menggunakan duit simpanannya.

Sejujurnya sebelum berkahwin saya ada terfikir seperti confessor untuk menarik diri kerana faktor gaji tersebut. Namun, saya amat bersyukur kerana telah memilih dia sebagai suami.

Sepanjang perkahwinan dia selalu memudahkan urusan saya. Setiap kali ada temu janji klinik untuk anak-anak, dia yang akan mengambil cuti untuk membawa anak-anak ke sana.

Setiap kali pengasuh mengambil cuti atau ada hal, malahan tiap kali anak-anak sakit, dia yang akan mengambil cuti untuk menjaga anak-anak. Kerana dia hanya bekerja biasa berbanding saya yang susah untuk bercuti meskipun hal kecemasan.

Setiap malam, dialah yang bangun membancuh susu anak, dialah yang berjaga malam tiap kali anak sakit dan menyuruh saya tidur kerana takut saya penat katanya. Urusan rumah juga banyak yang dia tolong saya lakukan.

Orang sekeliling selalu memuji saya mengatakan saya hebat kerana berjaya dalam karier dalam masa yang sama menguruskan anak-anak yang masih kecil tanpa mengetahui suami la ‘support system’ terbesar dalam hidup saya.

Tanpa bantuan suami mana mungkin saya mampu memberi komitmen dalam kerjaya saya dan sampai ke tahap ini.

Mungkin suami tidak mampu memberi kemewahan kepada kami sekeluarga namun kasih sayang yang diberikan telah mencukupkan segalanya.

Buat confessor, pilihan di tangan anda sendiri. Anda sendiri tahu diri anda bagaimana. Mampu atau tidak untuk redha dan berkongsi rezeki.

Saya hanya menceritakan pengalaman saya bersuamikan lelaki bergaji kecil namun tinggi nilai budi. Semoga dipermudahkan urusan kita semua.

Sekian.

– Insan Biasa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *