REPLY: Lelaki Kalau Tak Kahwin Hancur Kehidupan

Reply, (https://iiumc.com/lelaki-kalau-tak-kahwin-hancur-kehidupan/).

Assalamualaikum wbt semua, nama aku Jack. Terima kasih untuk yang baca confession aku tentang Hilang Spark (https://iiumc.com/reply-hilang-spark/).

Ada yang cakap aku bukan lelaki. Ye betul aku bukan tipikal lelaki Melayu. Kawan aku kebanyakan Cina dan aku berpeluang belajar di United Kingdom dan lebih terbuka kepada unsur maskuliniti negara lain tak macam lelaki Melayu tipikal.

Tujuan aku tulis artikel ini adalah untuk menyanggah confession Aziz. Bagi aku, mesej dia salah dan mungkin akan membahayakan ramai orang. Yang boleh membuatkan orang yang tak sepatutnya kahwin, tetapi kahwin.

Aku takde niat untuk memburukkan sesiapa, cuma aku tak nak orang anggap yang pandangan Aziz ni ialah pandangan semua lelaki. Dan confession ini juga merupakan teguran aku kepada mereka yang berkata pendidikan itu tidak penting.

Pertama, Aziz cakap yang lelaki yang dah kahwin ini smart daripada segi pemakaian, ada hala tuju, jaga solat, berilmu, muka ceria dan ada sifat leadership. Bagi dia, perkahwinan itu sendiri yang membuatkan lelaki tu ada semua ini.

Aku nak sanggah benda ni sebab dia ada kekeliruan logik (logical fallacy). Kekeliruan logik ialah hujah yang mungkin nampak macam meyakinkan atau benar tetapi sebenarnya cacat, dan membawa kepada kesimpulan yang tak betul.

Sebab kenapa aku cakap statement ini tak betul ialah “correlation is not causation”.

“Correlation is not causation” ini bermaksud apabila dua benda ada kaitan, tak semestinya yang pertama menyebabkan yang kedua.

Contoh, kita tengok ramai orang kaya pakai kereta Honda. Tapi orang yang ada kekeliruan logik “correlation is not causation” ni akan cakap, orang yang pakai kereta Honda automatik jadi kaya.

Jadi mereka pun nak beli Honda untuk jadi kaya. Padahal, kalau ikut logik, sebab dia kaya baru dia mampu beli Honda. Bukan sebab beli Honda dia jadi kaya.

Aziz cakap berkahwin menyebabkan seorang lelaki itu jadi smart, berilmu dan ceria. Tapi sebenarnya ramai je lelaki yang dah kahwin tak smart, takde ilmu dan tak ceria. Kalau tak, takdelah kita dengar bermacam macam confession dekat IIUM Confession ni, betul tak?

Dan boleh jadi lelaki yang dah kahwin ini, memang dah ada sifat smart, berilmu, ada leadership, jaga solat, ceria semua tu sebelum kahwin lagi. Kalau takde semua tu, ingat ada ke perempuan nak ke diorang?

Ada ke perempuan yang nak kahwin dengan lelaki bodoh, takde hala tuju, takde ilmu dan tak solat? Lain lah kalau kau Aliff Aziz, lelaki dambaan artis Malaya.

Satu lagi, Aziz cakap dia tak kahwin lagi sebab dia tak stable. Tapi kalau betul perkahwinan itu membuatkan orang jadi smart, berilmu, ada hala tuju, ceria, kenapa Aziz tak kahwin je? Nampak tak percanggahan di situ.

Aku bagi contoh kertas kajian, macam “Marriage: Cause or Mere Indicator of Future Earnings Growth [1]” yang ditulas oleh Mincy et al. (2009), yang menyatakan tiada perbezaan yang jelas antara lelaki yang berkahwin dan tidak berkahwin, daripada segi pendapatan.

Jadi untuk mereka yang tidak berkahwin, tak semestinya hidup dia akan hancur. Dan yang tidak berkahwin, tidak semestinya dia tidak boleh jadi smart, berilmu, ada leadership dan jaga solat.

Yang kedua Aziz cakap “Jangan target kahwin dengan perempuan berpendidikan, mereka tak sekufu dengan kita. Melainkan kau memang target jadi lelaki atasan, berduit”.

Kenapa tak nak kahwin dengan perempuan berpendidikan? Sebab ego fragile bila perempuan lagi lebih daripada kau? Lelaki sepatutnya berusaha untuk ada pendidikan.

Ye betul takde degree pun boleh berjaya, tapi dengan pendidikan lah kita dapat ubah masa depan. Dengan pendidikan lah kita dapat mendidik. Dengan pendidikan lah kita dapat membina bangsa.

Kalau tengok 10 terkaya di dunia atau Malaysia, mereka semua ada pendidikan. Kita marah bila Menteri mengeluarkan statement bodoh. Kenapa? Sebab mereka takde pendidikan macam mana nak buat dasar yang betul. Jadi, kenapa kita nak jadi macam mereka. Why aim so low?

Ada banyak kajian (Zhang & Liang, 2023 [2], Mihalcea et al, 2013 [3]) yang menunjukkan yang orang yang ada pendidikan lebih bahagia dalam perkahwinan,

Sama ada sebab mereka mampu berfikir macam mana nak improve diri atau mereka boleh dapat gaji yang lebih besar daripada orang yang takde pendidikan. Jadi kenapa nak cari yang tiada pendidikan?

Bila ada pendidikan, kau akan belajar cara buat kajian yang sebenar, sama ada menggunakan kaedah statistik atau membaca kertas kajian. Bukan macam kajian kau yang menggunakan sampel setakat kurang daripada 10 orang dan penuh dengan kekeliruan logik.

Aziz bagi contoh dia ada perasaan pada seorang perempuan daripada Terengganu ni. Dan dia rasa nak kahwin dengan perempuan tu semata mata sebab dia cantik.

Dia tak kenal pun perempuan tu. Tak pernah bersua tegur, tiba tiba dia nak kahwin, atas dasar perempuan tu cantik semata mata. Aziz cakap lelaki kena ada hala tuju, tapi bila perempuan tu dah berpunya, dia terus hilang hala tuju.

Kemudian dia cakap, “memilih mesti tengok yang ada rupa dahulu. Tapi kalau kuat makan, badan gemok, malas mandi, jangan kahwin dengan orang seperti itu”.

Aziz kau pandai demand nak yang ada rupa, kurus, pandai agama, tapi kau sendiri tak stable ekonomi, takde effort nak improve diri walaupun dah nak masuk umur 30.

Kau nak perempuan yang terbaik tapi apa effort kau untuk jadi yang terbaik? Kau nak perempuan cantik tapi apa effort kau untuk jadi lelaki kaya?

Aku teringat satu confession baru ni, “Kerana Dia Seorang Andartu” (https://iiumc.com/kerana-dia-seorang-andartu/). Azam berkenalan dengan Hana, yang andartu.

Akhirnya, Azam memilih Alya semata mata kerana dia cantik tapi bila dah bertunang dengan Alya, Azam mula tercari cari Hana. Azam lupa yang Hana ada personality, matang dan boleh bawa berbincang berbanding Alya. Begitulah habis madu sepah dibuang.

Point yang aku nak cakap di sini ialah, tak semua lelaki tengok rupa dahulu. Dan lelaki yang baca confession ni, tolonglah jangan kahwin dengan seseorang semata mata sebab dia cantik.

Bagi aku, kalau ada duit, semua perempuan boleh jadi cantik. Dan tugas lelakilah kumpul duit untuk mencantikkkan perempuan pilihan anda. Carilah perempuan yang beragama, berilmu, pandai bawa diri, ada ciri ciri keibuan dan yang paling penting, boleh bermaafan dan tak ego.

Jadilah the best version of yourself. Yang berduit, berilmu dan beramal. Tuntutlah ilmu dan belajar lah sampai habis sama ada melalui universiti atau kolej. Moga dengannya, kau dapat memberi manfaat untuk keluarga, mak ayah dan negara bangsa.

Untuk Aziz pula, muhasabah lah diri. Jangan lah kahwin semata mata nak kahwin. Jangan lah kahwin semata mata sebab perempuan tu ada rupa. Kahwin sebab ada hala tuju. Sebab nak bina keluarga yang bahagia dengan pasangan.

Usahakan lah untuk ada pendidikan, untuk ada hala tuju dalam hidup, untuk azam dan bercita cita tinggi. Buanglah perangai misoginistik dan body shaming orang. Jangan jadi bebal dan lihat luaran sahaja. Lihat dalaman mereka, itu yang kekal.

Peace,

– Jack (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. tula manuasia tau judge org lain nak yg terbaik tapi bila tengok diri sendiri tu duluu nan hadoo

  2. Beza betul org ada ilmu dengan orang yang tiada ilmu menulis. Macam baca thesis pula siap ada rujukan.

  3. Saya sbgai perempuan rasa okay je dua2 pandangan tu. Aziz mungkin pandangan dari segi lelaki marhaen. Awak mungkin pandangan dari segi lelaki berpendidikan. There’s always someone for everyone.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *