Sekadar menulis selepas terbaca confession ‘Masih Tiada Kesan Tahajud’ (https://iiumc.com/masih-tiada-kesan-tahajjud/).
Untuk renungan bersama, aku kisahkan tentang diri aku sendiri. Kalau boleh aku tak nak tulis panjang-panjang.
Sekadar nak berkongsi dan ambil pengajaran bahawa ibadah kita biarlah kerana Allah. Bukan kerana yang lain.
7 tahun lalu aku pernah kehilangan seseorang dalam hidup aku. Hanya semata-mata aku ingin Allah kembalikan apa yang pergi dari hidup aku,
Aku sanggup menahan mata yang mengantuk, korbankan masa tidur nyenyak aku, hanya untuk bertahajud, solat hajat dan baca yassin 7 mubin. Hari-hari aku buat tanpa culas kecuali di masa ‘uzur’ aku.
Sedar tak sedar masa berjalan, sudah 4 bulan aku buat rutin yang sama. Tahajud, solat hajat dan baca yassin 7 mubin.
Tapi aku dah mula rasa letih. Tambahan lagi aku tak nampak pun tanda-tanda apa yang hilang dari hidup aku akan kembali semula pada aku.
Akhirnya aku stop bangun solat malam. Aku teruskan hidup macam biasa.
Lepas solat 5 waktu, aku doa simple-simple ja. Sesekali ada masa aku doa juga panjang-panjang. Menangis atas sejadah pun sekadar mengenang dosa-dosa lalu je lah.
Dari setahun ke setahun, sedar-sedar dah 7 tahun berlalu. Entah kenapa satu hari tu lepas subuh aku berteleku kat sejadah.
Aku renung balik diri aku, aku tanya balik diri aku, apa perasaan aku sekarang. Bahagia? Ya, aku bahagia. Tenang? Ya, aku sangat tenang sekarang.
Rezeki? Alhamdulillah sekarang hidup aku serba cukup walaupun tak mewah. Kawan-kawan? Keluarga? Kerja? Alhamdulillah nikmat mana lagi aku nak dustakan.
Semuanya baik-baik. Keluarga yang sangat membantu bila aku dalam kesusahan, bos dan kawan-kawan yang baik kat tempat kerja dan selalu memudahkan urusan.
Apa yang aku tak ada, apa yang aku hilang selama ni cuma satu sahaja. SUAMI.
Allahu… Hati aku bukan terjentik lagi dah tapi dijentik berulang-ulang kali. Betapa selama ini ibadah aku, solat malam aku berbulan-bulan lamanya satu ketika dulu aku buat hanya kerana manusia.
Bila Allah tak makbul terus aku tinggalkan tanpa aku sedar Allah tak pernah janji pun setiap ibadah, setiap kebaikan yang hambaNYA buat akan dibalas atas dunia serta-merta.
Sungguh aku menangis semahu-mahunya seperti anak kecil yang baru lepas dimarahi ibu ayahnya.
Rasa berdosa sangat-sangat kerana telah berburuk sangka dengan aturan Allah hinggakan solat malam ku suatu ketika dulu aku anggap hanya sia-sia.
Aku lupa, nikmat yang Allah telah berikan pada aku selepas itu hingga kini yang telah benar-benar buat aku bahagia hingga aku tak perlu lagi memikirkan apa yang telah pergi dari hidup aku.
Sungguh, insaf terasa benar menjalar ke dalam hati.
Kepada rakan pembaca sekalian, kadang-kadang kita rasa Allah tak pandang pun doa kita selama hari ini hanya kerana apa yang kita minta Allah tak makbulkan.
Mungkin sebab kita lupa tentang betapa perlunya kita bersabar dalam menjalani ujian hidup yang Allah berikan pada kita. Sedangkan kita tahu, pengakhiran kepada kesabaran kita akan tetap berakhir dengan kemanisan.
Buat ibadah tetapkanlah niat, jangan kerana manusia. Sebab kita akan kecewa.
Jangan difikirkan berapa lama kita bertahajud tapi tak nampak hasilnya. Betulkan niat kita untuk apa kita bangun solat malam.
Dan jangan kita hukum orang bangun solat malam tapi masih berbuat dosa. Kita tidak tahu struggle nya seseorang nak jaga hubungan dengan Allah hingga korbankan waktu tidur disaat orang lain sedang enak dibuai mimpi.
Malangnya di siang hari, dia tetap tewas dengan bisikan syaitan. Tak mudah nak menjaga hati dan iman yang hanya senipis kulit bawang.
Tapi aku percaya, bila seseorang itu ikhlas berusaha menjaga hubungan dengan Allah walaupun disisi lain dia masih berbuat dosa, satu masa nanti dia akan berubah juga.
Cuma, keikhlasan seseorang itu kita tak nampak. Yang empunya diri sahaja yang tahu.
Sesungguhnya kawan-kawan, apa yang kita mahu belum tentu itu yang kita perlu.
Aku terfikir, jika dulu Allah makbulkan doa-doa aku, kembalikan pada aku apa yang hilang dulu, adakah aku tidak akan disakiti dan bahagia seperti sekarang?
Aku tidak tahu dan tidak ada jawapan untuk itu. Yang aku tahu, hari ini Allah dah bagi nikmat yang sangat besar berkat kesabaran aku.
Doakan aku istiqomah ya, kawan-kawan. Sebulan dua ni aku baru start solat malam kembali. InshaAllah, Lillahi Ta’ala..
– Puteri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit