Reply: ‘Me Time’ Yang Makan Diri

Kisah Mak Yang sebelum ni, https://iiumc.com/me-time-yang-makan-diri/

Assalamualaikum & salam sejahtera semua readers

Terima kasih Mak Yang yang sudi share dan berikan teguran bab ‘Me Time’ sebelum ni. Saya sebenarnya sedikit keliru dengan istilah ‘Me Time’ ni.

Tapi lepas baca komen-komen yang diberikan dalam kisah Mak Yang, dapatlah sedikit sebanyak info berguna dari readers sekalian.

Sebelum bercerita jauh, saya Ana, berusia awal 30an. Saya seorang suri rumah yang sebelum memutuskan untuk berhenti kerja, saya bekerja dalam bidang professional menghampiri 10 tahun perkhidmatan.

Suami saya bekerja swasta yang mana memerlukan beliau berada di tempat kerja lebih 14jam sehari termasuk perjalanan pergi dan balik.

Keputusan untuk berhenti kerja dibuat selepas mengambil kira kebajikan anak-anak dan juga kemampuan suami untuk menanggung keperluan kami, meskipun ala kadar tapi alhamdulillah mencukupi.

Alkisahnya, saya mempunyai seorang sepupu yang tidaklah terlalu rapat, berusia pertengahan 20an. Saya namakan sepupu saya sebagai Nurul.

Memandangkan usia kami tidaklah terlalu jauh, bilangan anak kami juga sama, situasi dan keadaan kehidupan kami lebih kurang serupa.

Kami sering bertukar cerita dan berjumpa memandangkan kawasan kejiranan yang bersebelahan.

Kerja suami Nurul pula sedikit fleksible berbanding suami saya, tapi pendapatan juga seiring dengan pekerjaan yang dilakukan.

Mungkin pendapatan suaminya sedikit kurang, tapi bagi saya rezekinya lebih pada masa yang dapat diluangkan bersama keluarga.

Keluarga mertua Nurul juga tinggal berhampiran. Disebabkan itu, mereka kadang kala berkunjung ke rumah Nurul, dan ada ketikanya ke rumah saya.

Asbab silaturahim yang telah terjalin sebab kami sepupu, keluarga mertua Nurul juga baik dengan keluarga saya.

Nurul sering kali mengadu, ibu mertuanya sering kali bising akan keadaan rumah Nurul yang tidak begitu bersih dan sering membandingkan dengan rumah orang lain termasuk rumah saya.

Sangat selalu Nurul meluah perasaan melalui media sosial ataupun ‘repost’ luahan perasaan status orang lain berkaitan pandangan orang luar berkaitan kebersihan rumah ibu-ibu yang punya anak kecil. Bagi saya, itu benda biasa.

Bagi saya pula, saya memang melatih diri untuk berusaha sebaik mungkin menjaga kebersihan rumah.

Mungkin sudah jadi rutin harian untuk pastikan rumah sebolehnya bersih. Macam dah jadi budaya dalam keluarga kami, sebolehnya rumah dalam keadaan bersih walaupun tidaklah sekemas mana.

Of course bila ada anak kecil, bukanlah sepanjang masa rumah dapat kekal bersih dan kemas. Menghampiri mustahil rasanya.

Tapi bagi saya, selagi boleh bersihkan, saya cuba untuk bersihkan setiap hari. Bila penat, saya rehat seketika.

Disebabkan suami selalu balik lewat ke rumah, urusan rumah tangga saya serahkan sedikit sahaja iaitu mengemas rumah terutama mainan anak-anak sebelum tidur serta membuang sampah.

Tapi alhamdulillah, dihujung minggu suami masih ringan tulang membantu menguruskan kerja rumah dan jua anak-anak.

Dan bagi saya, saya tak kisah pun mengenai rumah orang lain. Saya kurang gemar menghakimi orang lain. Bagi saya, jadual harian orang berbeza, cabaran juga berbeza.

Cuma yang saya kurang gemarnya, bila rumah kita yang sedikit bersih ni dijadikan perbandingan. Kadang bila mertua Nurul datang ke rumah saya, kerap kali rumah saya dipuji kemas, manakala rumah Nurul dikatakan kurang bersih.

Selalunya saya senyum saja, tidak kurang juga saya ‘backup’ Nurul mengatakan mungkin anak-anak tengah membesar memang suka buat semak.

Tapi bila Nurul kerap menyindir di media sosial mengatakan rumah orang lain yang sedikit bersih ni umpama ingin bertanding lah, nak nampak sempurna lah, nak lantai berkilat lah, saya sedikit terasa.

Yelah katanya, dia malas, orang lain saja yang rajin.

Tidak kurang juga ‘posting’ di media sosial yang menekankan fungsi suami dalam membantu isteri menguruskan rumah tangga. Saya sebenarnya setuju dengan ‘posting’ tersebut.

Bagi saya, pengurusan rumah tangga memang perlu dibuat bersama. Yang saya kurang bersetuju, ayat-ayat status Nurul seperti menyindir sang suami atau keluarga mertua yang dibuat olehnya.

Cuma saya perasan, Nurul ni kerap juga menghabiskan masa dengan media sosial dan menonton drama/ movie.

Ditambah dengan wujudnya aplikasi seperti netflix sekarang. Nurul kerap berkongsi review drama/ movie terkini yang ditonton beliau.

Sampikan kadang saya terfikir, banyak juga masa Nurul sampai boleh menghabiskan berbelas-belas episode drama dalam masa beberapa hari.

Sekali lagi, saya beranggapan mungkin itulah masa untuk Nurul ber’me time’ setelah penat menguruskan rumah.

Nurul juga sering mengajak kami sepupu-sepupu untuk ber’me time’ di luar rumah. Boleh kata hampir setiap minggu.

Jarang sekali saya dapat sertai bersama, sebab banyak masa hujung minggu saya dihabiskan untuk keluar bersama suami dan anak-anak.

Kadang saya disindir seperti risau sangat ingin melepaskan anak-anak untuk punya masa sendiri.

Sebetulnya memang ada ketikanya suami mengizinkan saya keluar rumah seorang diri. Kadang sekadar pergi ke pasar raya membeli barang keperluan rumah.

Tak pun ke salon atau spa untuk mendapatkan servis potong rambut dan urutan. Jadi, tiada istilah tiada ‘me time’ untuk saya sebenarnya. Cuma keperluan ‘me time’ tu saya gunakan bila badan dan emosi sudah terasa penat.

Baru-baru ini juga suami Nurul ada bersembang dengan suami saya. Dalam ayat beralas beliau seperti ingin meminta suami sampaikan kepada saya agar menasihati isterinya supaya lebih peka dengan kebersihan dan urusan rumahtangga.

Kata suaminya, kadang urusan anak-anak seperti mandikan, makan, cuci kencing berak hanya dibuat setelah beliau pulang dari kerja.

Bayangkan, kalau lambat si suami balik, lambatlah urusan anak-anak dibuat. Sudahlah penat dari tempat kerja, kena uruskan hal anak-anak pula. Alasannya, Nurul penat. Nak kena serahkan tugas kepada suami pula.

Pernah anaknya datang ke rumah sebab kelaparan. Bila ditanya mana ibunya, katanya tengah sibuk tengok tv. Saya hanya geleng kepala.

Tapi itulah, memang tak kuasalah kami suami isteri nak sibukkan hal orang lain. Nak nasihat pun rasanya kehilangan ayat walaupun adik sepupu sendiri. Nanti diingat pula kita perasan rajin dan pembersih.

Cuma itulah, kadang saya keliru, istilah ‘me time’ itu sebenarnya bagaimana? Saya tau perlunya ‘me time’ untuk para isteri terutamanya suri rumah sepenuh masa.

Cuma sedikit keliru dengan keperluan yang macam lebih kepada kehendak berlebihan daripada tuan badan. Perlukah saya menasihati Nurul? Atau perlukah saya buat hal sendiri sahaja?

– Ana Kemboja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *