REPLY: Poligami Dari Sudut Andartu

Catatan ini adalah berkaitan dengan posting “Poligami dari sudut pandangan andartu” (https://iiumc.com/poligami-dari-sudut-pandang-andartu/).

Ini pandangan peribadi saya yang juga seorang andartu, lagi beberapa tahun sahaja nak masuk 50.

Sebenarnya kita kena faham. Kenapa ramai masyarakat kita memandang serong terhadap poligami walaupun agama membenarkan.

Ia bukannya kebencian terhadap hukum itu sendiri, tetapi disebabkan pengalaman persekitaran.

Sebagai contoh saya sendiri melihat lebih banyak masalah timbul berkaitan dengan poligami berbanding yang baik².

Kerana apa? Bagi saya, kaum suami sendiri yang tak memperlihatkan hikmah poligami kepada masyarakat.

Apa yang diperlihatkan kebanyakannya pengabaian terhadap isteri dan anak², nafkah yang tak menentu, perhatian dan kasih sayang yang tak setara.

Poligami ni isu yang besarnya adalah adil dan Rasulullah sendiri telah mengatakan tiada lagi suami yang lebih adil dan ia menunjukkan keadilan dalam poligami ni sangat penting, tapi paling susah untuk dicapai oleh para suami selepas dia.

Lihat sendiri mereka yang berniat untuk poligami sekarang ini. Mereka tidak meletakkan keadilan sebagai perkara yang mereka akan sungguh² buat dan utamakan sebelum berpoligami.

Yang diperlihatkan hanyalah hak mereka untuk mengambil lagi mana² perempuan untuk dikahwini. Yang mereka perlihatkan hanya rasa seronok diri sendiri untuk berpoligami.

Poligami itu bukan sunat, hukumnya harus. Ia perkara baik, tetapi bukan untuk keseronokan diri sendiri sahaja. Ia penuh tanggungjawab.

Walaupun tak salah, perkara harus ni boleh jadi pahala jika proses seterusnya dijalankan dengan baik dan boleh jadi DOSA jika proses seterusnya dijalankan dengan buruk.

Sebab tu lah Rasulullah pesan sebaiknya kahwin seorang sahaja*. (*Kami tidak dapat memastikan kesahihan hadis ini. – Admin)

Fikirkan sama ada mampu berlaku adil atau tidak dulu baru fikir untuk tambah isteri. 

Keadilan itu bukan semata dari segi nafkah tanggungan dan harta sahaja. Keadilan ni meliputi dari segi masa, perhatian, kecenderungan, perasaan dan banyak lagi.

Sudah fikir perkara² ini dulu tak? Atau sudah fikir tapi menganggap ia perkara mudah kerana isteri kena ikut cakap suami.

Dalam hal ni, ramai suami fikir bahawa isteri kena dengar cakap suami sebelum si isteri berfikir yang dirinya telah tidak diadili dengan baik. So, isteri tidak boleh merungut, tidak boleh tidak redha.

Padahal isteri itu amanah dari ALLAH yang mana jika suami buat dosa, dia bukan buat dosa pada isteri tetapi pada ALLAH.

Isteri ni bukan amanah dari bapanya atau keluarganya yang mana, jika si suami buat dosa kat isteri boleh minta ampun pada bapa dan keluarganya sahaja.

Bukan seperti isteri yang buat dosa dengan suami, dia kena minta ampun dengan suami itu sahaja.

Kalau perkara seperti ini pun masyarakat tak boleh faham, bermakna mereka belum boleh berpoligami pun sebab hanya akan menyebabkan penganiayaan.

Suami yang cenderung kepada salah seorang isterinya pun dah salah, inikan pula pelbagai lagi isu lain.

Ada jer suami yang nampak berusaha berlaku adil. Memang nampak. Tetapi bilangannya tak signifikan. Hampir tiada.

Malah, sebelum kahwin pun dah nampak takde usaha berlaku adil.

Adil ni bukan bermakna sama pada semua perkara, tetapi meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Ia perlukan usaha.

Bila sungguh orang tu usahakan, walaupun tak niat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi akan nampak juga. Kesemua isterinya pun akan nampak relaks dan bahagia. Anak² pun bahagia.

Di situlah nanti akan nampak poligami ni bukan sesuatu yang menakutkan.

Saya, sama seperti TT sebelum ini pernah beberapa kali terkait dengan suami orang.

Bezanya saya memang menolak semuanya termasuk salah seorang yang diminta oleh isterinya sendiri (kerana berbelas tahun tiada anak).

Walaupun ada yang mengatakan kalau dah jodoh dengan suami orang, kita jangan tolak, lebih² lagi dari lelaki yang baik. Saya tetap tolak.

Kerana pertama, jodoh memang tak boleh tolak kalau dah kahwin, tapi kita boleh pilih untuk tolak SEBELUM berkahwin. Lagipun, belum tentu dia jodoh kita.

Kedua, ALLAH sendiri telah mengatakan bahawa lelaki yang baik adalah yang baik pada isterinya. Bagaimana lelaki baik boleh menyakiti perasaan isteri boleh dianggap baik?

Bagi saya, walaupun mereka bukannya jahat, tetapi tak termasuk dalam kategori baik itu. Mereka cuma biasa² sahaja, so tak perlu bersungguh kata mereka baik.

Ada lagi sebab² lain. Tapi saya tak nak hurai panjang² di sini.

TT mungkin sedih terpaksa mengelak dari poligami atas sebab stigma masyarakat yang buruk. Saya pula memang tidak mahu terlibat kerana saya sendiri yang taknak.

Kalau terkahwin juga, itu di luar perancangan saya. Saya seorang yang objektif dan cukup tak gemar orang yang ajak berkahwin untuk kegembiraan diri sendiri semata.

Kahwin ni bagi saya bukan untuk keseronokan. Keseronokan dan kegembiraan tu akan hadir selepas tanggungjawab dan peranan masing².

Dengan kata lain, keseronokan itu adalah HASIL dari perkahwinan, bukannya TUJUAN perkahwinan.

Ramai suami orang ni ajak kahwin (sama ada dengan saya, kawan saya, orang² yang saya kenal atau dari pembacaan saya), hanya semata untuk diri sendiri, tentang isteri asalnya dia anggap remeh.

Dan ada juga yang cerita buruk² tentang isterinya yang sedia ada itu. Sekadar untuk menambah satu cerita menarik tentang poligami…

Ada seorang perempuan diajak berkenalan seterusnya berkahwin dengan seorang lelaki yang telah berkahwin dua.

Lelaki itu terus terang sahaja tujuan dia mencari seorang lagi isteri untuk bantu perniagaan dia di satu tempat.

Dia kurang percaya dengan orang lain. Isteri pertamanya suri rumah dan tak berminat untuk berniaga.

Isteri ke dua uruskan satu cawangan restorannya. So, dia sekarang perlukan seorang lagi untuk handle restorannya yang lain.

Anak masing² kena bantu juga. Restoran² itu juga akan diletak atas nama isteri² yang berkenaan.

Tak tahu urus, dia akan ajar dan bantu. Walaubagaimana pun, dia akan banyak habiskan masa free dengan isteri pertama.

Tujuan poligaminya jelas. Dia terangkan juga macam mana dia cuba berlaku adil pada semua isterinya.

Galakkan juga jumpa isteri² dia yang ada untuk tahu lebih lanjut.

Dia juga peringatkan agar selepas kahwin nanti, jangan ganggu dia semasa dengan isteri lain kecuali kecemasan, jangan ganggu isteri²nya yang lain dengan kata² atau perbuatan menunjuk² etc.

Saya fikir, lelaki itu memang bagus. Dia bijak kendalikan isteri² dia.

Dan dia memang layak untuk berpoligami. Isteri² dia pun nampak relaks sahaja apabila diberitahu yang suami mereka ajak dia kahwin.

Sebenarnya, banyak lagi situasi lain yang boleh dijadikan contoh poligami yang sebenar menurut Islam.

Tapi, yang paling banyak adalah contoh buruk poligami dan langsung tidak seperti yang dikehendaki Islam – hanya nak isteri redha dia berkahwin lebih.

Sebab itu poligami diperlihatkan sangat buruk. Lagi bertambah buruk apabila poligami itu dilambangkan sebagai suami yang berjaya menunjukkan kekuasaan dia sebagai hak lelaki dalam Islam.

Poligami itu hukumnya harus, bukannya lambang hak suami yang wajib isteri terima tanpa bantahan. Boleh elakkan jika lebih banyak mendatangkan keburukan, boleh teruskan jika lebih banyak mendatangkan kebaikan.

Kita yang andartu ni kena faham perkara ini sebelum masuk dalam sesuatu poligami. Bukan semata kebencian masyarakat.

Tetapi kesan kita masuk dlm sesuatu poligami itu pada diri kita dan orang² yang terkait dengan kita. Jika kita fikir lebih baik utamakan diri sendiri sahaja, itu memang salah!

Jika kita fikir orang lain sahaja, juga salah! Kita kena fikir dari sudut semuanya, pertimbangkan yang mana lebih utama.

Letakkan diri kita pada setiap diri orang² yang terlibat. Adakah kita mampu hadapi jika berada di tempat mereka?

– Nina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *