Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Luahan ini adalah balasan kepada Puan Aimi berdasarkan confession berikut, (https://iiumc.com/salah-ke-menjadi-house-husband/).
Untuk pengetahuan semua, suami ku pernah menjadi seperti suami Puan Aimi. Menjadi house husband selama 2 tahun semasa pandemic.
Namun Alhamdulillah sekarang suami sudah mendapat pekerjaan dan kami telah berpindah dan tinggal bersama di ibu kota.
Gaji suami tidaklah besar mana. Boleh dikatakan hanya cukup makan. Setiap bulan suami akan membayar komitmen sewa rumah dan memberi aku sedikit wang tambahan untuk belanja rumah.
Bagi aku itu semua sudah cukup kerana InshaAllah aku dapat menampung perbelanjaan lain dan aku betul-betul ikhlas demi untuk keselesaan keluargaku.
Suatu hari, terdapat pertelingkahan kecil antara kami. Dan seharian aku merajuk taknak bercakap dengannya.
Aku ni pesen bila tengah stress aku akan main game sepanjang malam. Suami ku tersedar dari tidur dan lihat aku masih belum tidur dan memujuk ku.
Apa lagi.. sesi luahan perasaan bermula dan ku hamburkan segala yang ada dalam benak fikiranku. Aku kecewa sebab merasakan dia selalu tak menghargai aku sebagai isteri yang banyak berkorban untuknya.
Susah nak dengar ucapan terima kasih dari mulutnya. Aku malas nak cerita detail punca kami bergaduh. Tapi punca nya bukan kerana duit semata. Sebab pasal duit aku memang tidak pernah mengungkit.
Tiba-tiba suami ku pula luahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Suami ku berkata setiap kali dia melangkah masuk dalam rumah, otak nya sentiasa berfikir. Apa yang boleh dia bantu aku.
Memang aku akui suami seorang yang sangat rajin. Balik kerja akan terus uruskan anak untuk mandi, suap anak makan, ajar anak mengaji, iron baju kerja dirinya sendiri dan termasuk baju kerjaku.
Itu memang rutinnya setiap hari walaupun akan sampai rumah lewat. Katanya semua itu sanggup dilakukan sebagai tanda terima kasih kepadaku dan meminta maaf kerana tidak pandai meluahkannya.
Dia sedar aku banyak berkorban untuknya. Tambahan pula sekarang keluarga mertua tinggal bersama kami kerana sudah uzur. Memang aku yang banyak uruskan makan minum mereka.
Itu menambahkan lagi tugasanku di rumah. Namun demi kasihkan suami, aku tetap laksanakan tanpa rungutan. Suami kata dia malu sangat dengan aku sebab bab kewangan yang lain memang kebanyakannya aku yang tanggung.
Katanya pernah dia dengar ceramah ustaz di radio semasa dalam kereta yang membincangkan tentang nafkah.
Menangis katanya mendengar ceramah tersebut mengenangkan dirinya tak mampu beri nafkah secukupnya pada aku dan anak-anak.
Dia takut apa yang bakal dijawabnya depan Allah nanti. Semasa sesi luahan ini kami sama-sama menangis Dan aku juga mohon maaf kepadanya. Tidak ku sangka itu yang bersarang dalam hatinya.
Sebab sememangnya selama ini aku memang anggap takde isu pun soal kewangan kami. Sebab aku betul-betul ikhlas.
Aku nakkan hidup bahagia dengan keluargaku. Aku sanggup buat apa sahaja. Lagi pun aku fikir bukan suami ku tiada sumbangan langsung dalam keluarga.
Mungkin ini yang dinamakan ego lelaki.
Sejak dari itu, aku berusaha untuk dapatkannya kerja lain yang mendatangkan income yang lebih baik. Mana tau ada rezeki.
Aku juga ubah doaku, supaya Allah murahkan lagi rezeki suamiku, tinggikan darjat suamiku, supaya dirinya dapat beri nafkah yang lebih baik untuk kami sekeluarga. Doakan kami sentiasa dimurahkan rezeki ya.
Buat Puan Aimi, sekadar pandangan daripada saya. Teruskan usaha untuk suami mendapat kerja. Kerana memang nafkah wajib diberikan suami. Tu memang hukum Allah.
Kita tak boleh nafikan. Suami Puan juga mesti ada ego tersendiri dan mungkin apa yang ada dalam fikirannya tidak ditunjukkan depan puan. Moga puan sentiasa bahagia bersama keluarga tercinta. Sekian.
– Puan Anne (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit