REPLY: “Saya Kesal Pernah Rosak Maruah Anak Orang”

Assalamualaikum semua.

Pertama sekali saya ingin jelaskan saya sendiri tidak pasti sama ada penulis artikel “Saya Kesal Pernah Rosak Maruah Anak Orang” (https://iiumc.com/saya-kesal-pernah-rosak-maruah-anak-orang/) adalah si pelaku saya ataupun tidak.

Cukup kenalkan saya sebagai Nur, sebelum ini saya pernah berkongi kisah “Kesakitan Mangsa Rogol”, di sini juga. Kepada penulis, kifarah itu pasti dan Allah tak pernah tidur.

Kesakitan dirogol itu tidak sesakit dikhianat orang yang kita percaya.

Kami, wanita yang lemah dan mudah layu dek rayuan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada lelaki. Mengharapkan lelaki itulah pelindung diri, mengharapkan agar diri yang bengkok ini diluruskan.

Iya kami bodoh menyerahkan maruah. Kami terleka dalam godaan, kami tewas pada nafsu, janji dan pujuk rayu.

Tapi kami berharap agar si lelaki bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya sayangi kami, kasihi kami. Jangan dibenci, jangan disekat, jangan dimaki, jangan difitnah.

Penulis, kifarah itu ada. Tuhan hadiahkan anak gadis kepada kamu untuk kamu rasa apa itu kesakitan yang telah ibu bapa kami rasakan.

Allah balas balik bagaimana rasanya bila anak yang ditatang dijaga dibelai telah dirobek dihancurkan dikecewakan oleh kamu. Allah tidak pernah tidur penulis.

Seandainya, kamu melutut mohon ampun, menangis air mata darah sekalipun, kemaafan itu telah mati buatmu.

Benar, dalam islam amat menggalakkan kita memaafkan manusia lain. Tapi maaf, luka yang telah kamu berikan tidak mampu terubati meskipun jasad ini telah terkubur.

Luka difitnah, ditinggalkan, dimaki, dimalukan, disekat di semua media sosial amat berat untuk kami galas sepanjang hidup kami sehingga ke liang lahad.

Benar, sudah berpuluh tahun perkara terjadi tapi walau sejuta tahun pun tidak akan ada ruang kemaafan walau setitis buat manusia seperti kamu.

Kami tidak kejam untuk doakan agar anak gadis kamu menjadi mangsa seperti kami, kami masih waras. Kami tidak zalim seperti kamu.

Tapi Allah sendiri memakbulkan doa hambaNya yang teraniaya ini. Sudahlah kau ragut dara kami, kau tipu kami, kau fitnah kami pelacur, kau block kami. Sehina itukah kami di mata kamu wahai si pelaku.

Yang saya tahu, si pelaku yang merosakkan hidup saya masih lagi berumahtangga dengan isterinya dan mempunyai 2 orang anak gadis.

Seperti kata si penulis, walaupun sudah bertaubat tapi kifarah masih berlaku. Kerana apa? kerana kamu terlupa bawah dosa yang kamu lakukan pada manusia perlu mohon ampun pada manusia.

Kepada Azizul (bukan nama sebenar), kemaafan buatmu tidak akan pernah wujud.

– Mangsa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *