Respon Untuk Halangan Ke Fasa Seterusnya Sebagai Seorang Anak Luar Nikah

Ini adalah respon untuk confession, (https://iiumc.com/halangan-ke-fasa-seterusnya-sebagai-seorang-anak-luar-nikah/).

Assalammualaikum Adik Ayana dan pasangan,

Akak harap perkongsian ni dapat membantu sedikit sebanyak untuk urusan Ayana dan mungkin juga rakan yang senasib kita untuk dipermudahkan.

Alhamdulillah adik Ayana dah lepas level pertama- dengan tak menyalahkan ibu dan bapa- malah lebih baik lagi berterima kasih pada keduanya sebab dah jaga dan beri didikan sempurna.

Untuk urusan perkahwinan, daripada pengalaman akak, yang perlu tahu status kita hanyalah pihak pengantin lelaki, sebab dia yang akan terlibat dengan akad nikah serta urusan borang permohonan untuk wali hakim.

Ibu dan bapa pengantin lelaki tak berkaitan secara langsung dari segi pengurusan berkaitan nikah.

Ada beberapa dokumen adik kena uruskan di jabatan agama islam, dan perlu kehadiran kedua ibu bapa selepas segala urusan dokumen dihantar. (Jika masih hidup).

Lepas tu, akan ada panggilan untuk awak dan ibu bapa untuk hadir ke sidang mahkamah.

Jangan takut kalau tengok ramai orang dalam mahkamah, sebabnya dalam mahkamah tu ada pelbagai orang yang berurusan tuntutan nafkah, cerai, poligami dan sebagainya.

Tapi, perbicaraan kes anak tak sah taraf akan dibicarakan pada akhir sesi. Dan semua yang tidak berkenaan akan diperintahkan keluar dewan. Yang ada hanya hakim dan tukang catat.

Masa akad nikah nanti, wali hakim akan datang berjumpa kita, seeloknya pengantin perempuan duduklah di dalam bilik dahulu,

Kerana nanti ada beberapa perkara berkaitan yang akan diterangkan oleh wali hakim kepada kita sebelum majlis akad nikah dimulakan.

Lepas selesai sesi penerangan, barulah keluar dari bilik untuk urusan akad nikah.

Semasa akad nikah pun, tiada disebutkan yang pengantin perempuan berwali hakim. Yang disebutkan hanya nama pengantin perempuan dan jumlah mas kahwin.

Menjawab persoalan adik Ayana, pada pendapat akak, tak perlu rasanya untuk ibu bapa pengantin lelaki untuk tahu status Ayana sebagai anak tak sah taraf, demi menjaga aib ibu bapa Ayana.

Dalam kita nak bergembira mendirikan rumah tangga, janganlah sampai kita korbankan air muka ibu bapa yang menjaga kita. Tak kisah apa pun status kita, ibu bapa inilah yang bergolok gadai membesarkan kita.

Kalau bakal ibu mertua Ayana tahu, akan ada dua kemungkinan untuk Ayana,

1. Diterima – alhamdulillah, bakal mertua orang yang baik dan tidak menilai manusia mengikut status.

Tapi aib ibu bapa Ayana dah diketahui dan seterusnya mereka akan berbesan. Macam mana ibu bapa Ayana nak berdepan dengan besan mereka dalam keadaan aib mereka yang terbuka?

2. Ditolak – lagi parah. Aib ibu bapa dah terbuka, takut akan adanya isu dan kata-kata yang tidak sepatutnya sampai pada telinga yang tak patut mendengar.

Jika pasangan berkeras nak bagitahu ibunya, mungkin anak tak sah taraf seperti kita tak cukup layak untuk dia. Sebab dia masih risaukan pandangan orang lain terhadap status kita.

Tiada keperluan untuk ibunya tahu, jika atas alasan untuk menilai, harusnya Ayana hanya dinilai melalui perkara seperti peribadi yang baik atau agama sahaja.

Sah taraf ataupun tidak, Allah tak menilai kita atas kesalahan yang bukan kita buat. Salah silap ibu bapa kita di masa lalu, biarlah Allah yang menilai.

Kalau ikutkan hati akak, pasangan pun akak tak nak beritahu, tapi tiada pilihan atas sebab segala urusan dokumen dan akad nikah dia terlibat.

Bincanglah dengan pasangan- pada akak majlis pertunangan ini tidak perlu. Lebih baik disegerakan kepada majlis pernikahan sahaja.

Ingat Ayana, tiada sebab untuk kita membelakangkan ibu bapa kita, hanya kerana seorang lelaki yang belum sah menjadi suami.

Utamakan ibu bapa kita dalam segala hal, ini prinsip akak. InsyaAllah kita akan direzekikan jodoh yang baik

Maaf jika ada yang tersalah dan silap. Ini hanyalah pandangan akak sebagai salah seorang anak tak sah taraf yang alhamdulillah bahagia di fasa seterusnya.

Love,

– ATST (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *