“Rest Well, Get Well Soon”

Aku baru keguguran mengandung anak ke-empat. Mungkin masih emo tapi insyaaAllah aku ok. Faktor gugur, sangat pelbagai tapi aku rasa sebenarnya aku penat.

Aku seorang penjawat awam yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat dan sekarang tengah sambung belajar. Suami aku bekerja di negeri lain. Jauh. Jadi kami PJJ.

Masa aku di awal kandungan, aku buat kerja berat macam biasa.

Basuh baju jemur kain dan bila musim hujan angkut semua baju ke dobi untuk keringkan dan biasanya akan angkut sama anak2ku sebab mereka suka naik kereta.

Budak2, kebanyakan masa aku juga yang dukung masa buat perangai ta knak jalan sendiri.

Aku juga setiap hujung minggu yang tidak bekerja (kadang-kadang aku kena kerja) aku akan buang sampah pampers dan segala yang lain ke tong sampah besar dalam jarak 100m dari rumah.

Berat sebenarnya untuk kudrat aku. Anak2ku suka sepahkan rumah dgn mainan dan sisa makanan jadi aku banyak kali akan mengemas dan mengemop.

Adakah aku duduk seorang dengan anak2 kecilku? Tak. Ada ibu ayahku tapi mereka sudah warga emas.

Jadi semasa aku di rumah akulah yang mandikan anak pagi petang dan layan bermain. Bapa mereka pulang ke kampung dalam 2 minggu sekali.

Setiap bulan dan setiap kali pulang memang tak miss duit belanja diberi padaku. Itu aku akui.

Tapi bila beliau di rumahpun aku rasa macam tiada beza dari beban kerjaku. Anak menangis masa tidur malam pun masih aku yang bangun untuk buatkan susu dan tidurkan semula.

Kerjaku di tempat kerja pun sangat ‘demanding’ dan menuntut seluruh tenagaku. Kami tiada had masa 8-5 begitu. Kerja sampai siap. Tiada kerja boleh bawa pulang.

Jadinya kadang-kadang aku dan rakan sekerja pulang malam terutamanya bila beban kerja tinggi.

Bila tiba di rumah, aku sudah sangat penat dan mengantuk. Bila anak ajak bermain aku rasa nak marah. Lalu aku akan masuk bilik dan kunci pintu dan biarkan sahaja mereka menangis di luar pintu sehingga dipujuk atuk nenek.

Sehari selepas PRU15, semasa aku tengah berehat anak kecilku ‘terjun’ ke atas perutku semasa bermain. Malamnya, aku mula ada pendarahan sedikit. Masih aku diamkan.

Selang 2 hari kemudian pendarahan masih berterusan jadi aku dapatkan scan dan doktor mengesahkan denyut jantung janinku tidak dapat dikesan walaupun kandungan sudah masuk 10 minggu.

Kendatipun begitu, bila pulang ke rumah aku juga yang buat kerja rumah macam tiada apa2 berlaku.

Sampailah akhirnya hujung minggu aku mengalami pendarahan yang banyak macam dalam drama2 di tv yang kau tengok darah mengalir kat kaki sampai bercepuk di lantai tu.

Aku minta dengan suami untuk dibawa ke hospital. Masa itu perut aku pun sakit sangat.

Aku ditahan di wad tapi malangnya aku positif covid pula jadi tiada prosedur boleh dilakukan. Masa di wad, aku rasa memang aku direhatkan. Duduk di katil sahaja.

Tahun lepas pun aku rasa aku betul rehat masa ditahan di wad kerana memerlukan pembedahan untuk masalah dalam perut. Bila discaj, semua kerja jadi tugas aku semula.

Jadi bilanya aku akan dapat “Rest well” to “Get Well Soon” enough? Aku rasa ramai lagi ibu di luar sana macam aku. Atau lebih lagi.

Kesiankan kita? Tuntutan kerja hakiki, tugas sebagai anak, ibu, isteri. Orang kata besar pahala kita bila buat semua di atas tapi kita tak layakkah berasa penat dan rehat bukan hanya bila sakit? Me-time?

Apa tu? Bila aku stress dan penat aku marah2. Mak aku pun perasan dan kata aku sangat garang. Kadang2 aku rasa nak bahagi badan aku guna alat yang Doraemon bagi pada Nobita tu.

Maaflah. Aku tak mengharap solusi tapi lebih kepada menyalurkan emosi. Moga Allah mudahkan urusan kita semua. Aamiin.

– Mawar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *