Assalamualaikum dan hai, selamat menyambung fasa berkurung untuk round ketiga. Sementara itu, boleh lah luangkan masa sekejap untuk beri aku pendapat mengenai kisah aku. Sebelum tu, terima kasih kalau kisah ini disiarkan.
Aku bukan arif dalam bab percintaan dan pemilihan jodoh. Sebab? Sebab aku tiada pengalaman langsung. Dalam keluarga pun, aku paling sulung. Makanya, aku tiada pengalaman dalam isu ini sama ada pengalaman diri sendiri ataupun pengalaman adik beradik.
Dan aku pulak, dari sekolah sentiasa berjauhan dengan ibu abah. Makanya, aku lebih kerap memendam masalah sendirian daripada memilih untuk bercerita kepada keluarga.
Kisahnya begini. Aku baru putus cinta. Tiada la baru sangat, tahun lepas lagi. kami bercinta semenjak masih belajar lagi. Tempoh lebih kurang 6-7 tahun la anggaran.
Selama itu hubungan kami bertahan dan family masing-masing pun sudah kenal kami. Tiada masalah dan halangan daripada kedua-dua belah keluarga. Semua okay dan menerima. Aku namakan ex aku sebagai A.
A ni seorang yang sangat baik. Memang baik. Sifatnya yang lemah lembut berbeza dengan aku yang kasar dan lasak. Tiada masalah. Tapi masalahnya apabila aku dan dia putus pada tahun lepas kerana ada isu salah faham. Jadi, kami memilih untuk bawa haluan masing-masing.
Kemudian, aku sekarang sedang berhubungan dengan lelaki yang aku namakan dia B. B seorang yang baik walaupun agak nakal. Nakal yang suka mengusik dan menceriakan hari aku.
Aku berhubungan dengan dia dalam awal tahun baru ni. Sikap aku yang mesra dan peramah dengan orang buatkan aku dan dia cepat serasi dan akrab. Seterusnya daripada fasa berkawan, mula menjadi istimewa dan sekarang memang secara rasmi berhubungan.
Keluarga si B ni memang mengenali aku semenjak hujung tahun lepas lagi dan memang satu keluarganya sukakan aku. Aku? Of course seronok sebab keluarga dia sukakan aku.
Masalah bermula apabila ibu aku tidak berkenan dengan si B. Apabila ibu mengetahui aku sekarang berhubungan dengan B, dibangkangnya sekeras-keras yang amat dan berusaha untuk memutuskan hubungan kami.
Ibu langsung tidak mahu mengambil tahu akan si B berbeza dengan A, ibu sangat sukakan A dan sangat berharap A akan menjadi menantu dia suatu hari nanti.
Berkali kali, aku cuba membina hubungan yang baik di antara ibu dan B, namun ibu tidak mahu memberi kerjasama. Berbeza dengan ayah, ayah tiada isu dan masalah. Kerana bagi ayah, aku berhak membuat pilihan hidup aku.
Aku pernah mendidikan solat sunat istikharah semenjak aku dengan A lagi, kerap kali aku bertanyakan sekiranya benar A lah jodoh aku, maka tenangkanlah hati aku dan hilangkanlah keserabutan yang melanda aku.
FYI, aku dan A sangat kerap mengalami salah faham yang akhirnya aku akan bersedih dan menangis sendirian.
Jadi, aku sentiasa keliru ketika itu, “benarkah A jodoh aku? Kalau benar, kenapa hati aku sentiasa tak tenang? Kenapa hubungan kami kerap panas dan bergaduh? Bukan ke orang kata kalau seseorang itu jodoh kita, kita akan tenang?”
Jadi, kerana keliru dengan perasaan sendiri, aku istikharah untuk buat keputusan. Dan ternyata, setelah aku putus dengan A, aku rasakan hati aku tenang dan tidak serabut seperti biasa.
Kemudian, B pulak. Aku turut mendirikan istikharah kerana ingin memastikan apakah benar apa yang aku sedang lakukan. Benarkah B sesuai untuk aku. Benarkah aku memilih B untuk kehidupan bersama?
Ketika istikharah, hati aku tidak cenderung kepada B kerana aku benar-benar keliru dengan tindakan aku, jadi aku membuat keputusan untuk bertanya kepada Sang Pencipta kerana Dia lebih Mengetahui perjalanan hidup aku.
Namun, aku masih tiada jawapan untuk itu dan benar-benar keliru dengan perasaan sendiri ketika ini.
Aku pernah bertanya kepada rakanku bagaimana kita nak tahu jawapan istikharah. Katanya, melalui ketenangan hati dan juga reaksi ibu ayah. Katanya jawapan istikharah akan disusuli dengan redha mak ayah.
Namun dalam hal ini, aku dapati sulit untuk aku dapatkan redha ibu dalam hubungan kali ini. Jadi, adakah ini salah satu daripada jawapan istikharah aku selama ini? Aku tidak tahu. Jujur aku tidak tahu.
Bagaimanakah yang dikatakan petunjuk istikharah. Dan bagaimana juga yang dikatakan jodoh. Sekiranya B bukanlah jodoh terbaik buatku, aku harap ada cara yang tidak akan menyakitkan kedua-dua belah pihak untuk akan datang. Aku cuma keliru.
Umur aku juga sudah memasuki pertengahan 20-an. Sedang menunggu panggilan kerja. Aku tidak mahu membazirkan usia aku yang semakin menjejak 30 dengan ‘tersilap jaga jodoh orang’.
Kalau benar dia jodohku, akan ku pertahankan hubungan kami sehingga ke pelamin. Namun sekiranya dia bukanlah jodohku, aku tidak mahu membazir waktu aku dan dia. Niat aku bukanlah nak mempermainkan hati orang, niat aku benar-benar serius.
Justeru, pembaca yang budiman. Tolonglah aku dalam hal ini. Kerana aku tidak tahu dan tak nak tersilap langkah. Ngeri aku membayangkan sekiranya aku tersilap dalam hal ini. Bak kata Prof Dr Mahaya, “Wanita yang paling malang adalah wanita yang tersilap memilih suami.”
Doakan aku agar bertemu jodoh yang baik-baik. Dan kalau istikharah, berapa lamakah sebenarnya kita perlu mendirikan istikharah sehingga kita dapat jawapan? Dua minggu? Dan perlukah secara berturut-turut setiap dua minggu itu?
Terima kasih semua.
– Melur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit