Bila baca tentang “Anak Yang Direzekikan Jaga Ibu Bapa” (https://iiumc.com/anak-yang-direzekikan-jaga-ibu-bapa/), buat saya terpanggil untuk berkongsi mengenai hal yang sama supaya orang tidak melihat menjaga ibu bapa sebagai satu beban atau ‘nasib yang malang’ hanya kerana kita tinggal dengan ibu bapa. Sebaliknya, mereka ini ibarat ‘PA’ atau personal assistant ibu bapa yang menjaga keperluan ibu bapa.
Bagi saya, tinggal bersama ibu bapa adalah peluang yang terbaik untuk kita berbakti kepada ibu bapa terutamanya apabila sudah tua. Dalam ramai anak-anak, akan ada satu atau dua yang dipilih untuk tinggal bersama ibu bapa. Anak itu mungkin tidak mendapat kerja seperti abang atau kakaknya, boleh juga mereka bekerja cuma memilih untuk tinggal dengan ibu bapa masing-masing. Tapi siapa pun mereka, mereka ini telah diatur rezekinya bersama ibu bapa hingga akhir hayat.
Saya tidak terkecuali apabila memilih untuk tinggal bersama ibu bapa setelah berhenti kerja di sebuah agensi kerajaan. Ketika itu, ramai yang mempersoalkan kenapa saya menolak rezeki bekerja dengan kerajaan. Namun, saya hanya tersenyum dan menyatakan bahawa saya memilih untuk menjadi PA ibu bapa.
Ketika itu, Um (panggilan ibu saya) dan Abi menawarkan saya bekerja dengan mereka dengan memberi elaun bulanan untuk membantu kerja-kerja mereka. Um dan Abi bekerja sebagai pensyarah di sebuah Universiti di Malaysia dan telah pencen. Oleh itu, khidmat saya diperlukan bagi memudahkan mereka menyelesaikan kerja-kerja mereka yang masih ada apabila diperlukan.
Tugas saya amat mudah, mengikut mereka ke mana sahaja apabila mereka menjalankan kajian mereka, mengambil gambar atau video, menulis ‘research paper’ bersama dan menemani mereka makan atau bekerja di luar kawasan. Saya akan membahagikan masa untuk kedua-dua ibu bapa, pagi bersama Um, petang bersama Abi.
Apabila mendapat tugasan menulis paper dengan Um, saya akan sibuk menghabiskan masa dua ke empat minggu untuk menulis. Pengalaman menulis thesis semasa mengambil Master sebelum itu memudahkan saya untuk menulis paper. Um sangat membantu dalam membimbing saya menulis paper untuknya. Um akan memberi bahan rujukan, dan menceritakan apa yang dikehendakinya dalam paper tersebut. Apabila siap, Um akan edit dan email paper tersebut kepada pihak yang berkenaan.
Jika dengan Abi, saya tak perlu kerja setiap hari, hanya perlu memantau dan membimbing ‘research assistant (RA)’ apabila mengadakan bengkel. Mengambil gambar mengenai projeknya dari semasa ke semasa dan mengemas kini Facebook page projek ‘Community Garden’ yang diusahakannya. Adakalanya saya akan membuat ‘networking’ dan mengadakan bengkel apabila ada yang menghubungi saya untuk melawat tapak projeknya.
Salah satu semester, saya perlu membimbing pelajar-pelajar Abi untuk mengendalikan event sebagai sebahagian kelas yang diajarnya. Pengalaman semasa di universiti membantu saya untuk melatih pelajar-pelajar kelas tersebut untuk menjayakan event mereka. Walaupun penat, tetapi sokongan dari rakan sekerja membolehkan event tersebut dijayakan. Lama kelamaan, projek kami semakin dikenali walaupun pada mulanya tidak ramai yang membantu di tapak projek tersebut.
Banyak yang saya pelajari sepanjang berkhidmat dengan Um dan Abi walaupun tidak bekerja seperti kawan-kawan lain yang sudah punya keluarga, kereta dan rumah sendiri. Tiga tahun berlalu, kami diuji apabila Appendic Um pecah dan mendapat jangkitan lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah sebulan di ICU.
Pemergian Um mengejutkan ramai pihak kerana Um seorang yang sihat dan menjaga kesihatan. Ada yang menyangka Um suka makan pedas, hakikatnya makanan pedas tidak ada kaitan dengan appendic yang pecah. Cuma bagi saya, Appendic yang pecah hanyalah asbab Allah swt untuk menjemputnya pulang.
Hal ini kerana, Doktor memaklumkan, Appendic Um tidak seperti orang lain, Um dilahirkan dengan ‘Retrocecal Appendicitis’. Kedudukan appendic Um ke belakang dan bukan ke depan seperti orang lain. Sebab itu, Um tidak rasa sakit di perut apabila appendicnya pecah. Sebaliknya Um berasa sakit di kaki kanan kerana nanah dari Appendic yang pecah mengalir di antara otot kaki dan tidak sedar mengenai kesakitannya keran menyangka sakit biasa.
Semasa hari Um dimasukkan ke hospital, saya terpaksa ke Kuala Lumpur untuk membuat ‘presentation’ bagi pihak Abi. Um berpesan agar saya pulang segera untuk menjaganya sementara adik beradik yang lain menggantikan saya. Pagi Um selesai pembedahan pertama, saya lega dan dapat membuat ‘presentation’ dengan baik apabila mendapat berita pembedahan Um berjaya.
Walau pun demikian, masih ada baki nanah di kaki kanan yang perlu dibuang dengan memasang tiub di bahagian tepi perutnya. Setiap hari Um perlu menjalankan fisioterapi untuk pulih kembali, walaupun di awalnya Um perlu dipujuk untuk menjalankan fisioterapi, lama-kelamaan Um mahu cuba melakuka fisioterapi dan berusaha untuk pulih kembali.
Setiap pagi, saya akan mengelap badan Um, memandikannya dan menjaga Um di waktu malam sementara adik-beradik lain menjaga di waktu siang. Apa sahaja yang Um minta, saya akan turutkan dan senyum dengan gembira agar Um tidak rasa dia menyusahkan sesiapa.
Um banyak beri tunjuk ajar bagaimana untuk menyalinkkannya agar mudah untuk menjaganya. Sungguh saya tidak pernah rasa susah dan sentiasa gembira untuk menjaganya walau letih macam mana sekalipun kerana sememangnya impian saya untuk berbakti kepada ibu bapa jika mereka sudah tua. Oleh itu, segala perkara menjadi mudah buat saya sepanjang menjaganya.
Namun, kita merancang, Allah mentukan apa yang terbaik untuknya. Baki nanah di kaki kanannya merebak ke pelvis dan perlu dibedah segera setelah scan dibuat. Namun, Um tiba-tiba tidak stabil apabila nafasnya laju dan jantungnya kuat berdegup sekitar 2 pagi apabila saya terjaga dari tidur disisinya.
Saya segera memanggil Doktor yang bertugas untuk melihat keadaannya, beliau memaklumkan bahawa darahnya berkurangan dan perlu ditambah. Oxygen diberi dan sepasukan Doktor dan Nurse segera merawat Um agar kembali stabil.
Dalam cemas, saya cuba untuk menenangkan diri dan memanggil ahli keluarga untuk berkumpul segera. Dalam hati saya berdoa agar Um dipanjangkan umurnya dan kembali stabil. Apabila subuh tiba, Um kembali stabil dan saya segera membantu Um untuk tayammum bersama abang. Kemudian, saya terus menunaikan solat subuh dan tidur sebentar sementara adik-beradik yang lain menjaga Um.
Dekat tengahari, Um dipindahkan ke ICU untuk distabilkan sebelum pembedahan boleh dilakukan. Doktor meminta semua ahli keluarga mengucapkan selamat tinggal sebelum ‘intubated’. Apabila melihat Um ketika itu, Um sedang beristighfar, Abi segera mengucapkan kalimah syahadah sebelum kami keluar. Hanya doa, air mata dan ciuman sahaja dibibirku.
Saya berterima kasih apabil ada seorang sahabat yang datang membantu mempersiapkan mental dan emosi sebelum Um masuk ke dewan pembedahan. Dia mengingatkan saya untuk bersedia untuk redha kerana semasa pembedahan, apa-apa mungkin berlaku dan saya perlu bersedia untuk melepaskan Um pergi jika Um meninggal.
Alhamdulillah Um selamat menjalani pembedahan kedua walaupun risiko tinggi, selama tiga hari Um dibiuskan sebelum Doktor minta kami mengejutkannya. Jika Um tak bangun, Um boleh koma dan lebih bahaya untuknya. Alhamdulillah, hari ke empat, Um sedar dan kami mengajar Um untuk mengucapkan Alhamdulillah dalam hati. Um masih ‘intubated’ selama 11 hari, dan menjalani pembedahan ‘tracheostomy’ bagi menggantikan tiub pernafasan sehinggalah Um menghembuskan nafas terakhir.
Saya bersyukur apabila mendapat banyak sokongan dari kawan-kawan yang mendoakan kesejahteraan Um. Saudara mara, rakan sekerja Um dan Abi, serta rakan sekolah dan teman semasa di Universiti datang tidak putus-putus. Adakalany beratur panjang untuk menziarahi Um sebaik sahaja kami memaklumkan keadaan Um yang makin tenat.
Di minggu pertama Um di ICU, kami banyak memberi sokongan moral dengan bercakap kepada Um. Apabila mempunyai masa bersendirian dengan Um, saya membisikkan kata-kata semangat agar Um tidak berputus asa. Setiap kali pulang, saya akan meminta maaf atas segala dosa dan berpesan agar Um tidak berputus asa dari rahmat Allah swt. Setiap hari, kami tidak putus-putus berdoa, mebaca surah pendek,berzikir dan berselawat apabila melawat Um.
Sehinggalah hari terakhir Um di hospital, Doktor membenarkan cucu-cucunya datang menziarahi kerana telah habis berikhtiar. Semasa melawat Um, saya melihat pandangan Um hari itu hanya satu arah sahaja. Anak matanya hanya memandang hadapan dan tidak lagi respon kepada kami, nafasnya lemah tetapi jantungnya masih berdegup.
Saya pulang sebentar ke hotel petang itu apabila ibu-ibu saudara memaklumkan bahawa mereka akan datang ke hospital. Ketika hendak meletakkan kunci di meja reception hotel, matahari semakin terbenam lalu detik hati terus membuat saya teringat pada Um. “Kamu perlu pulang ke hospital sebelum Maghrib habis”, begitu jelas detik hati memberitahuku. Saya segera berkumpul bersama ahli keluarga untuk ke hospital apabila Abi menelefon agar kami segera ke hospital.
Penghujung maghrib, sebaik masuknya Isya, Um menghembuskan nafas terakhir setelah CPR tidak berjaya. “Innalillah”, dan satu anggukan sahaja yang mampu abang maklumkan kepada saya. Saya segera melawat Um dikatilnya yang kini tinggal sekujur tubuh yang tidak lagi bernafas. Alhamdulillah, Um pergi dengan senyuman yang penuh kelegaan. Sukar untuk saya gambarkan betapa gembira dan leganya hati saya melihat pengakhiran Um .
Sebagai anak yang menjaganya selama Um di hospital, saya amat lega Um tidak lagi menanggung kesakitan. Walaupun sedih tetapi setiap kali melihat wajah Um yang tersenyum, kesedihan itu hilang serta merta. Mungkin berkat doa setiap hari meminta agar saya dapat redha dengan pemergian Um, kami sekeluarga begitu tenang dan redha dengan pemergian Um ketika hari pengebumian.
Banyak urusan pengebumian Um dimudahkan untuk kami. Semua adik beradik Um dapat datang dan membantu kami memandikan dan mengkafankan Um. Hanya Maktok sahaja yang tidak dapat datang atas faktor usia tetapi kamidimaklumkan Maktok juga sangat tenang walaupun tidak dapat hadir semasa pengebumian kerana telah mendapat mimpi yan baik mengenai pemergian Um.
Banyak sebenarnya hikmah disebalik rezeki bersama ibu bapa, tapi nikmat yang paling manis adalah apabila diberi rezeki menjaga ibu atau ayah kita untuk kali terakhir. Tidak semua orang mendapat rezeki tersebut, maka saya harap jika ada yang diberi rezeki tinggal bersama ibu bapa, gunakanlah masa sebaiknya kerana kita tidak tahu berapa lama masa kita bersama ibu bapa.
Jika ibu bapa kita sakit, segeralah pulang dan menjaga mereka, jika mereka sihat selalulah bertanya khabar mereka jika jauh. Jika adik-beradik kita ada yang masih tinggal dengan ibu bapa dan tidak bekerja, hargailah jasa mereka kerana menjaga ibu bapa di saat kita sibuk dan tidak berkesempatan untuk menjaga mereka. Jagalah hubungan sesama adik-beradik dan kekalkan juga silaturahim bersama mereka.
Sekiranya mengenali sahabat dan rakan sekerja ibu bapa kita, teruskanlah silaturahim yang sedia ada agar tidak terputus hubungan baik antara keluarga seperti dahulu. Jika ada saudara mara yang sakit, atau meninggal dunia, datanglah beri sokongan dan bantu mereka jika mampu.
Hal ini kerana, sokongan kepada mereka yang masih hidup untuk meneruskan kehidupan juga penting. Support system amat penting bagi membantu mereka yang kehilangan ahli keluarga. Sekiranya tidak dapat membantu, doakan mereka juga memadai.
Kepada yang diberi rezeki bersama ibu bapa, janganlah sedih dan merasa tidak sempurna. Kerana Allah swt telah memilih kita untuk menjaga ibu bapa. Walau apa pun yang orang cakap, teruskan berbakti pada ibu bapa sebaik mungkin. Redha ibu bapa bererti Allah swt redha akan kita. Maka teruslah istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab agar dapat mencapai redha Allah swt. Janganlah risau akan rezeki lain kerana semua itu Allah swt sudah simpan yang terbaik untuk kita. Percayalah yang Allah swt akan meberi yang lebih baik untuk kita suatu hari nanti.
Jika jodoh lambat, tidak dapat kerja lagi, atau apa sahaja masalah, berdoa dengan yakin bahawa Allah swt akan memberikannya bila tiba masanya. Bergantung haraplah pada Allah swt kerana dialah Ar Razzaq yang Maha Memberi Rezeki. Sentiasa bersangka baik dengan Allah swt kerana Dia sebaik-baik perancang. Tidak ada pelindung dan penjaga yang lebih baik selain Allah swt maka sentiasa berpuas hati dengan setiap rezeki yang Allah swt beri mahupun yang kita belum perolehi.
Saya percaya suatu hari nanti, Allah swt akan beri apa yang terbaik untuk kita. Mungkin bukan sekarang tapi suatu hari nanti, berusahalah untuk menggembirakan ibu bapa dengan masa yang dipinjamkan kepada kita agar suatu hari nanti kita juga pulang dalam keadaan yang paling Allah swt redhai. Tidak ada apa lagi yang lebih tinggi selain redha Allah swt melalui redha ibu bapa kepada kita dan Allah swt sebagai jaminan.
Semoga Allah swt memberi ganjaran yang terbaik buat semua anak yang soleh dan solehah dan semoga Allah swt satukan kita sekeluarga di dalam syurga bersama ibu bapa kita. InsyaaAllah.
– Sakiinah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit