Bismillah, Assalamualaikum para pembaca sekalian, aku S, sebelum ni hanya jadi “silent reader” sahaja di sini dan sekarang cuba untuk meluahkan pengalaman, dan boleh dijadikan teladan untuk semua.
Sebelum aku mulakan cerita, aku perkenalkan diri aku dulu, aku merupakan seorang anak ke 2 dari 3 orang adik beradik. Dari kecil, akulah anak yang paling nakal dan tak mendengar nasihat ibuku. Aku juga seorang anak yang malas belajar.
Jika nak dibandingkan dengan abang dan adikku, memang umpama langit dan bumi. Keluargaku hanya keluarga yang sederhana sahaja, tak susah, dan tak kaya. Hidup kami kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Dari kecil, kami adik beradik di latih untuk berdisiplin oleh ibu. Ibu akan sediakan jadual harian untuk kami, iaitu masa bermain, masa belajar, membaca al quran dan masa menonton tv. Setiap hari, jadual kami akan penuh.
Fasa ini berlalu sehinggalah aku masuk ke sekolah berasrama penuh. Alhamdulillah, berkat doa ibu ayahku, aku berjaya untuk skor didalam upsr, pmr dan spm.
Abang dan adikku pun antara pelajar cemerlang disekolah. Jadi aku percepatkan cerita, habis sahaja peperiksaan akhir di universiti, aku sudah mula cari kerja.
Dan pada masa itu, aku sudah berpunya dan berjanji dengan si dia untuk percepatkan pernikahan.
Alhamdulillah sebelum keluar keputusan peperiksaan akhir, aku telahpun di terima untuk bekerja di salah satu syarikat tempatan. Aku terima sahaja dan pada masa itu, gaji permulaanku cuma RM2200.
Urusan kerja aku berjalan dengan sangat mudah dan baik. Harapan ku cuma untuk membalas jasa ibu ayahku yang dahulunya bekerja keras membesarkan kami adik beradik di samping untuk kumpul duit kahwin.
Dan pada masa itu, aku akan tetapkan 10% dari gajiku akan ku beri pada ibu ayah.
Ya, semua urusan ku menjadi mudah adalah disebabkan hebatnya doa seorang ibu.
Dahulu masa zaman kanak kanak aku sering membangkang nasihat ibu sehingga berkali kali membuat ibuku menangis. Bila umurku berginjak dewasa, baru ku sedar yang aku telah banyak guriskan hati ibu.
Aku tekad untuk berubah, sering memohon doa dari ibu jika aku dalam kesusahan. Sementara ibuku masih ada, inilah senjata yang paling padu sekali, iaitu doa ibu, tiada hijab.
Pada tahun pertama kerja, aku mampu untuk halalkan si dia. Dan bermulalah fasa baru dalam hidup aku. Aku direzekikan seorang isteri yang sangat patuh baik dan paling penting pandai masak. Alhamdulillah syukur.
Namun setelah bertahun tahun, kami masih belum direzekikan zuriat kami sendiri, Isteriku adalah orang yang sering tertekan dengan soalan soalan dari saudara kami.
Disini aku nak berkongsi amalan yang aku selalu buat dengan siapa yang senasib dengan aku, dan aku tahu ramai dalam dunia ni senasib dengan aku, belum dikurniakan zuriat lagi.
Ini antara ujian yang berat bukan sahaja bagi kaum hawa, tapi juga kaum adam. Aku hanya berlakon kuat di depan isteri, dan kadang kadang selepas isteriku tertidur penat menangis, aku pula yang akan menangis sendirian sambil tatap wajah isteriku.
Yang pertama, betulkan solat, dan ini juga peringatan untuk diri aku sendiri yang sering leka dengan solat. Awalkan waktu solat, yang lelaki, lebih afdhal solat berjemaah.
Kalau boleh, bangun solat tahajjud, ini antara solat yang susah untuk aku buat, tapi aku cuba bangun, dan aku akan berdoa sambil menangis, memohon pertolongan Allah hadirkan malaikat kecil dalam rahim isteriku.
Selepas itu, aku akan cari 10 malam terakhir pada bulan ramadhan, aku akan buat apa apa amalan sedekah, tahajjud, solat taubat dan aku sering memohon ustaz2 untuk doakan zuriat untuk aku dan isteri.
Kedua, aku bahagiakan ibu ayah aku. Aku akan usaha cari apa yang mereka teringin nak makan, bila aku nak bercuti kemana mana, aku akan ajak ibu ayahku untuk pergi sekali.
Aku akan selalu minta maaf jika aku ada buat salah dan silap. Aku akan beli apa apa keperluan yang mereka perlu jika aku mampu.
Tentunya aku kena berlaku adil dengan isteriku supaya tak mudah dia tersinggung. Tahun demi tahun, sudah 7 tahun aku bekerja, dan gajiku menghampiri 5 angka dan aku percaya semua ni berkat aku bahagiakan ibu ayah.
Allah bayar “cash” di dunia. Hidup aku dah stabil, aku ada rumah sendiri yang sederhana, aku ada kereta dan aku ada harta dunia yang akan aku tinggalkan nanti.
Namun aku masih tidak dikurniakan zuriat lagi. Aku sering berdoa, semoga Allah hadirkan zuriat sebelum aku hembus nafas terakhir supaya ada doa dari anak yang soleh untuk bekalan aku di sana.
Ketiga, aku cuba bahagiakan isteri. Aku percaya ramai kaum adam yang ada sikap ini, dan memang rezeki mengalir umpama air yang deras, tak putus. Ada sahaja rezeki yang akan dapat.
Doa isteri juga amat mustajab, nafkah jangan culas kalau nak rezeki berkat. Ini antara sebab Allah permudah urusan kita di dunia.
Aku dah stabil dan isteriku tak perlu bekerja, hanya rehat di rumah sediakan makan dan aku akan usaha tolong buat kerja rumah jika aku cuti.
Kami hanya luangkan masa berdua dan aku sering ingatkan isteriku supaya selalu redha dengan qada dan qadar Allah swt. Nescaya akan ada pelangi selepas hujan.
Jika kita bersyukur bila ditimpa musibah, nescaya Allah akan tambah nikmat pada kita. Percaya lah.
Pada tahun ke 7 kami kahwin, alhamdulillah isteriku hamil. Menangis kami. Aku sujud syukur Allah dengar dan Allah tunaikan hajat kami.
Isteriku juga banyak amalan yang dia buat sampai aku pun tak mampu nak buat.
Namun aku percaya ramai lagi diluar sana yang sudah berbelas tahun kahwin, masih belum dikurniakan rezeki anak, ujian mereka lagi hebat berbanding aku kerana semestinya mereka orang orang yang hebat.
Allah tak akan uji jika kita tak mampu untuk hadap. Dan sekarang, isteriku telah selamat melahirkan zuriat kami. Alhamdulillah ini antara hadiah yang terbesar dalam hidup kami.
Aku percaya, ini antara berkat doa doa dari ibu ayah rakan rakan dan ada doa dari orang yang aku tak kenal pun. Allah saja yang tahu.
Tolong doakan Allah jaga zuriat kami dan menjadi anak yang soleh kelak.
Jadi ini antara amalan atau tips yang aku amal sebelum ini, moga dapat menjadi teladan atau ikutan untuk sesiapa sahaja.
Aku percaya ada orang yang dah buat macam macam amalan yang lebih hebat dari ini, tapi masih belum Allah kabulkan.
Percayalah tuan puan, Allah lebih mengetahui, jangan pernah putus asa dengan Allah, jangan pernah salahkan takdir, jangan pernah mengeluh, sentiasa bersyukur nescaya rezeki akan bertambah dan akan datangnya hadiah dari Allah atas ujian yang kita hadap.
Disamping itu, doakan aku untuk terus berubah ke arah kebaikan untuk bimbing keluarga ke syurga. Maafkan aku jika penulisan agak berterabur.
Rezeki yang Allah beri, akan datangnya ujian.
Bersyukurlah bila diberikan rezeki dan bila ditimpa ujian. Nescaya Allah akan gandakan nikmatNya.
Assalamualaikum..
– Mr. S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit